Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan

Apakah hukum seorang wali fasiq menikahkan anak perempuannya dengan seorang lelaki sebelum dia bertaubat? Apakah maksud wali fasiq?

Jawapan

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Rukun nikah sebagaimana yang diketahui mempunyai lima rukun. Salah satu rukun tersebut ialah hendaklah mempunyai wali. Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad. Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/558) antara lain menyebut:

Seseorang perempuan tidak harus dikahwini, mengahwinkan dirinya sendiri atau mengahwinkan orang lain sama ada dengan izin atau tidak, walaupun terdapat ijab dan qabul daripada perempuan tersebut.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: Seseorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.

Riwayat al-Daraqutni (3/227)

dan Ibn Majah (1882)

Para sahabat R.Anhum menggelarkan perempuan yang mengahwinkan dirinya sendiri sebagai perempuan yang jahat, manakala dalam riwayat yang lain, dia disebut penzina.

Menjawab persoalan di atas, wali yang fasiq ialah wali yang tidak adil. Maksud adil ialah tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak mencemarkan maruah diri, seperti kencing di jalanan, berjalan tanpa kasut dan seumpamanya. Wali yang fasiq, iaitu tidak adil tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/558)

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ مُرْشِدٌ

Maksudnya: Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14021)    

Imam al-Syafie Rahimahullah berkata: Maksud mursyid dalam hadith tersebut adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang perwalian dalam perkahwinan.

Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sabda Nabi SAW :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam bahasa arabnya disebut نفي الصحة. Justeru, tanpa adanya wali mursyid ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.

Ini kerana kewalian amat berhajat kepada pengamatan dan mentaqdirkan maslahat. Justeru, tidak layak seorang wali fasiq untuk mewalikan perempuan sama seperti kewalian harta. Inilah mazhab Syafi’e dan Hanbali. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6701-6702)

Pendapat lain menyatakan bahawa adil tidak menjadi syarat dalam perkahwinan.[1] Hal ini kerana kelayakan menjadi wali adalah berdasarkan kepada pertalian waris yang menimbulkan perasaan kasih sayang untuk kebaikan orang di bawah jagaannya sama ada dia bersifat adil atau sebaliknya. Hal ini kerana meletakkan syarat adil kepada wali menyebabkan berlakunya kesulitan yang besar disebabkan orang yang adil sedikit sahaja bilangannya, lebih-lebih lagi pada masa ini. Pada zaman mana-mana sekalipun, tidak pula diketahui ada orang fasiq yang dilarang mengahwinkan anak-anak perempuan mereka. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/562)

Kami mengesyorkan sepertimana yang telah diamalkan oleh Penolong Pendaftar Bahagian Perkahwinan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri iaitu memulakan upacara akad nikah dengan bersama-sama bersyahadah dan beristighfar. Begitu juga berlaku pengulangan istighfar dan taubat beberapa kali sebelum majlis akad nikah. Di samping itu, ambillah kesempatan untuk memberi nasihat agar para wali sentiasa bertaubat dan beristighfar.

Hal ini kerana pada zaman sekarang, adalah sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu. Justeru, sekiranya wali itu merupakan wali mujbir, maka hendaklah diminta untuk bertaubat terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis akad atau mereka boleh wakilkan kepada imam atau jurunikah.

Wallahua’lam.

[1] Ini juga sama seperti pendapat Mazhab Hanafi dan juga Maliki.