Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan:

Assalam Ustaz saya nak tanya pasal haid bagi perempuan yang menyusukan bayi. Biasanya hormon perempuan menyusu ini tak stabil. Tiba-tiba keluar darah sekejap selepas tu dah tiada. Maka saya nak tanya, macam mana dengan solat saya? Perlukah saya tunggu sampai yakin dah tiada darah atau macam mana ustaz?

Jawapan:

Definisi darah haid ialah: “Darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”

Manakala, tempoh pula dibahagikan kepada tiga; iaitu paling singkat, paling lama dan kebiasaan.

  • Tempoh yang paling singkat, sehari semalam
  • Tempoh yang paling lama, 15 hari.
  • Tempoh kebiasaan, enam atau tujuh hari.

Sekurang-kurangnya tempoh suci antara dua haid ialah 15 hari, manakala tempoh suci yang paling lama tiada hadnya. Apabila seseorang perempuan mengalami keluar darah kurang daripada tempoh haid yang paling pendek, iaitu kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada tempoh haidh yang paling lama, iaitu melebihi 15 hari, maka darah tersebut dianggap darah penyakit (استحاضة) dan bukan darah haidh.

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77-78).

Berdasarkan keterangan di atas, difahami bahawa darah yang keluar pada faraj daripada pangkal rahim semasa waktu kebiasaan haid, yakni bukan semasa tempoh sekurang-kurang suci, adalah darah haid apabila apabila ia keluar selama sehari dan semalam. Justeru, jika ia keluar kurang daripada tempoh sehari semalam, maka itu bukan darah haid.

Berkenaan hukum menunaikan solat, orang yang berhaid wajiblah meninggalkan solat dan perkara-perkara lain yang diharamkan semasa haid. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah (w.767H) dalam al-Tahqiq (hal. 147): “Apabila seorang wanita melihat, sewaktu tempoh berkemungkinan atau kebiasaan haid itu, suatu darah maka wajiblah dia meninggalkan apa-apa yang ditinggalkan sewaktu haid. Namun, sekiranya darah itu berhenti sebelum tempoh sekurang-kurang haid, maka itu bukan haid, justeru, qadha’lah kembali solat itu.” Darah yang berhenti sebelum sehari semalam adalah darah penyakit.

Para ulama berkata cara untuk mengetahui darah haid sudah berhenti ada dua:

  1. Berhentinya darah dan keluar cecair berwarna putih yang kebiasaannya keluar apabila habis haid. Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’:

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: “Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

  1. Memasukkan kapas, atau seumpamanya, ke dalam faraj ketika berada dalam keadaan bertinggung duduk seperti untuk membuang air. Jika masih ada darah, maka masih haid.

Rujuk al-Tahqiq (hal.162); Tuhfah al-Aʿizza’ (hal.105)

Hikmah kenapa menggunakan kapas adalah untuk memastikan benar-benar tiada baki darah di dalam faraj yang tidak nampak pada luarannya. Justeru, boleh jadi tidak nampak darah di tuala wanita tetapi jika diperiksa dengan kapas nescaya ada darah. Maka wanita itu dianggap masih lagi berhaid.

Bagi wanita yang kebiasaannya keluar darah lalu berhenti (naqa’) dan kemudian datang darah semula, terdapat dua pendapat ulama dalam kes ini. Sekiranya didapati memang tiada langsung kesan darah, dan darah yang sudah keluar melebihi sehari semalam, maka wajib bagi wanita berkenaan untuk mandi wajib mengikut pendapat Imam al-Nawawi. Namun, mengikut pendapat Imam al-Rafie, bagi wanita yang beradat boleh menunggu sehingga bilangan hari kebiasaannya kerana secara zahirnya darah itu akan kembali semula. Rujuk artikel Al-Kafi #690 : Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar untuk penjelasan lanjut.

Adapun jika darah yang keluar itu tidak cukup sehari semalam tetapi keluar secara terputus-putus selama kurang daripada lima belas hari, kemudian jika dikumpul waktu yang keluar darah itu maka cukuplah sehari semalam atau 24 jam, maka itu adalah darah haid. Ini adalah pendapat Sahb yang merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab. Adapun pendapat al-Laqt yang juga difatwakan oleh para ulama, waktu darah keluar adalah haid sementara waktu darah tidak keluar (naqa’) adalah waktu suci dan boleh melakukan perkara yang diharamkan semasa haid, seperti mandi wajib, solat dan puasa. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hal.166)

Kesimpulannya, kami mencadangkan beberapa perkara berikut:

  • Sebaiknya perkara ini dipelajari di hadapan seorang yang alim dalam permasalahan darah wanita untuk mendapatkan kepastian. Boleh juga hubungi PMWP melalui telefon atau temu janji.
  • Kami juga mencadangkan berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah gangguan hormon tersebut.
  • Jika darah itu keluar secara terputus-putus dalam tempoh kurang lima belas hari dan apabila dihimpunkan waktu yang keluar itu cukup 24 jam maka itu adalah darah haid.
  • Jika darah itu keluar secara terputus-putus dalam tempoh lebih lima belas hari maka itu adalah darah istihadah.
  • Hendaklah puan mengetahui cara yang betul untuk memeriksa haid seperti menggunakan kapas atau putik kapas.
  • Jika darah itu tidak nampak di bahagian luar tetapi jika dimasukkan kapas atau seumpamanya, maka kelihatan bekas-bekas darah, maka itu masih dalam kategori haid.

Wallahua`lam.