Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #838: HUKUM MENGHADIAHKAN ARAK KEPADA NON-MUSLIM

ARAK NON MUSLIM.PNG

 

Soalan:

Apakah hukum memberi makanan dan minuman yang haram kepada non-Muslim? Contohnya saya mendapat hadiah cabutan bertuah yang mengandungi arak, maka adakah boleh saya menghadiahkan arak tersebut kepada rakan atau jiran saya yang non-Muslim?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum menghadiahkan atau memberi arak kepada non-Muslim adalah haram. Dalilnya ialah hadith daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلًا كَانَ يُهْدِي لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّ عَامِ رَاوِيَةً مِنْ خَمْرٍ، فَأَهْدَاهَا إِلَيْهِ عَامًا، وَقَدْ حُرِّمَتْ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهَا قَدْ حُرِّمَتْ» ، فَقَالَ الرَّجُلُ: أَفَلَا أَبِيعُهَا؟ فَقَالَ: «إِنَّ الَّذِي حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا» ، قَالَ: أَفَلَا أُكَارِمُ بِهَا الْيَهُودَ؟ قَالَ: «إِنَّ الَّذِي حَرَّمَهَا حَرَّمَ أَنْ يُكَارَمَ بِهَا الْيَهُودُ» ، قَالَ: فَكَيْفَ أَصْنَعُ بِهَا؟، قَالَ: «شُنَّهَا فِي الْبَطْحَاءِ»

Maksudnya: Ada seorang lelaki yang sentiasa menghadiahkan kepada  Nabi Muhammad SAW seuncang arak pada setiap tahun, dan pada satu tahun dia menghadiahkannya, arak telahpun diharamkan. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “Arak telahpun diharamkan”. Lelaki itu berkata: “Bolehkah aku menjualnya?” Nabi SAW menjawab: “Tuhan yang mengharamkan meminum arak, juga mengharamkan menjualnya.” Lelaki itu bertanya lagi: “Bolehkah aku menghadiahkannya kepada orang Yahudi? Baginda SAW menjawab: “Tuhan yang mengharamkan arak, juga mengharamkan menghadiahkannya kepada orang Yahudi”. Lantas dia bertanya: “Maka apa yang aku patut lakukan dengannya?” Nabi SAW menjawab: “Curahkannya di tepi jalan”.

Musnad al-Humaidi (1064), 2/229

Selain itu, ada juga hadith riwayat Anas bin Malik R.A yang berkata:

كُنْتُ سَاقِيَ الْقَوْمِ فِي مَنْزِلِ أَبِي طَلْحَةَ، وَكَانَ خَمْرُهُمْ يَوْمَئِذٍ الْفَضِيخَ، فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مُنَادِيًا يُنَادِي ‏"‏ أَلاَ إِنَّ الْخَمْرَ قَدْ حُرِّمَتْ ‏"‏‏.‏ قَالَ فَقَالَ لِي أَبُو طَلْحَةَ اخْرُجْ فَأَهْرِقْهَا، فَخَرَجْتُ فَهَرَقْتُهَا، فَجَرَتْ فِي سِكَكِ الْمَدِينَةِ

Maksudnya: Aku dahulu bertugas sebagai pembantu di rumah Abi Thalhah, dan arak pada waktu itu dibuat daripada tamar, dan Rasulullah SAW menyuruh agar diumumkan bahawa arak telah diharamkan. Abi Thalhah pun menyuruhku keluar dan mencurah arak-arak yang ada dan aku pun melakukannya, sehingga penuh jalan-jalan sekitar Madinah dengan arak.

Sahih al-Bukhari (2464)

Menurut riwayat di atas, para sahabat tatkala diarahkan bahawa arak telah diharamkan, mereka terus mencurahkan semua arak yang ada tanpa teragak-agak.  Jika mengambil manfaat dari arak ini dibenarkan, sudah pasti para sahabat akan menjual arak-arak yang mereka miliki dan menggunakan hasil jualan itu untuk menguatkan ekonomi umat Islam ketika itu. Hal ini jelas menunjukkan kesedaran betapa besarnya mudarat arak kepada kehidupan manusia itu sendiri dari segenap segi.

Hukum haram ini juga bersandarkan kepada satu qaedah fiqh iaitu:

مَا حُرِّمَ أَخْذُهُ حُرِّمَ إعْطَاؤُهُ

Maksudnya: Apa yang diharamkan untuk memperolehnya, haram juga untuk memberikannya.

(Rujuk Imam al-Suyuthi, Al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/150; dan Imam Ibn Nujaim, Al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/132)

Menurut Syeikh Muhammad al-Zarqa, qaedah ini bermaksud, suatu perkara haram yang tidak boleh diambil dan dimanfaatkan dengannya, haram juga untuk memberikannya kepada orang lain, samada dengan cara pemberian atau pertukaran. Hal ini kerana pemberian itu seolah-olah satu bentuk ajakan dan bersubahat dalam perkara yang diharamkan.

(Rujuk Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/215)

Arak juga telah terbukti memberi mudarat yang besar kepada manusia, menjadi penyebab kepada 2.8 juta kematian pada tahun 2016 dan menyebabkan hampir 10% kematian dalam kalangan yang berumur 15 hingga 49 tahun. Tambahan pula, kajian terbaharu telah mendapati bahawa alkohol walau sesikit manapun jumlah yang diambil tetap memberi mudarat kepada manusia. [1]

Oleh yang demikian, selaku orang Islam yang telah mengetahui dan beriman dengan bahaya arak yang tsabit melalui dalil naqli dan aqli, mestilah berusaha sedapa-upaya untuk menghapuskan tabiat meminum arak dalam kalangan manusia tanpa mengira agama.

Kesimpulan

Tuntasnya, hukum memberi arak kepada non-Muslim adalah haram, dan ini termasuk juga makanan yang mempunyai unsur daging babi yang jelas haram melalui al-Qur’an dan al-Sunnah, selain terbukti mempunyai kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Jika kita dihadiahkan, ditawarkan untuk menerima hadiah atau memenangi hadiah yang mengandungi perkara yang diharamkan, hendaklah kita menolaknya dan menerangkan sebab-sebab penolakan dengan cara yang baik.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk https://www.npr.org/2018/08/24/641618937/no-amount-of-alcohol-is-good-for-your-health-global-study-claims dan https://www.bloomberg.com/news/articles/2018-08-23/no-amount-of-alcohol-use-is-safe-analysis-of-studies-finds