Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #845 : WAS-WAS MENGGUNAKAN KEMUDAHAN KEM PERKHEMAHAN

af845 33354287 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan. Baru-baru ini saya ada menyertai kem latihan dan aktiviti dijalan dipadang terdapat najis seperti tahi anjing.Ada peserta yang kasutnya terkena mungkin terkena pakaiannya. Tetapi mereka tidak ambil kisah dan kami berkongsi bilik tidur dan bilik mandi. mereka sekadar basuh seperti biasa sahaja. Adakah dikira peralatan, keadaan bilik tidur dan bilik mandi kami dikira bernajis? kami memang selalu buat program di situ. Saya berasa was-was setiap kali menggunakan kemudahan-kemudahan disitu. Mohon pandangan ustaz.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Jika jelas kelihatan ain najis anjing dari segi kesannya, bentuknya dan lain-lain bukti yang menunjukkan bahawa ianya najis maka ia perlu dibasuh dengan tatacara yang telah ditetapkan. Iaitu sebanyak 7 kali basuhan salah satu basuhan tersebut adalah dengan air tanah. Ini berdasarkan hadis :

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya :” Sucinya bekas kalian apabila dijilat anjing adalah (dengan) membasuhnya 7 kali. Salah satunya adalah dengan tanah.”

Riwayat Muslim (677)

Imam Ibnu Ruslan di dalam matan al-Zubad menyatakan :

نجاسة الخنزير مثل الكلب # تغسل سبعا مرة بترب

Najis khinzir adalah seperti najis anjing. Dibasuh tujuh kali sekali dengan tanah.”

Namun, jika ianya tiada bukti adanya ain najis, maka hukum asalnya adalah suci. Ini berdasarkan 2 kaedah fiqh yang masyhur iaitu :

  1. اليقين لا يزول بالشك iaitu keyakinan tidak hilang dengan syak
  2. الأصل بقاء ما كان على ما كان iaitu asal (bagi satu hukum) adalah dengan mengekalkan sepertimana ia.

Maka, dengan dua kaedah ini, sesuatu yang tidak jelas ain najisnya bahkan tiada kesan najis, maka tidak perlulah ragu kerana ianya tetap suci.

Kami tegaskan kesuciannya berdasarkan kaedah zahir. Sepertimana kata Imam al-Nawawi :

إنما يحكم بالظواهر والله يتولى السرائر

"Sesungguhnya ia dihukum secara zahir dan Allah yang Maha Mengetahui di sebaliknya."

Cuma nasihat kami, agar jauhilah sifat was-was. Ini kerana was-was itu adalah bisikan syaitan. Allah swt berfirman :

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya : "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”

Surah al-Nas (5)

Sheikh Wahbah al-Zuhaili ketika menjelaskan ayat ini,beliau menyatakan bahawa bisikan tersebut adalah bisikan yang buruk ke dalam hati.

Rujuk al-Tafsir al-Munir (30/479)

Ini disokong oleh hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud :

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ثُمَّ قَرَأَ (الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ)

Maksudnya :” Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran. Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah. Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam. Kemudian Baginda membaca : “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji” [Surah al-Baqarah : 268]

Riwayat al-Tirmizi ( 3256) & al-Nasaie (11051) di dalam al-Sunan al-Kubra

Oleh itu,jauhilah was-was yang pada hakikatnya sangat menyusahkan kehidupan. Jangan disebabkan oleh was-was, kehidupan kita menjadi rumit dan menyulitkan perkara yang mudah.Semoga Allah melindungi kita semua.

Wallahu’alam.