Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #853: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT PARKIR BERBAYAR DI GEREJA

parkir gereja.PNG

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan bekenaan sumbangan kepada rumah ibadat agama lain. Bangunan tempat saya bekerja mempunyai parkir yang cuku, tetapi mahal (RM300/bulan) dan di sebelah bangunan kami ada sebuah gereja dimana parkirnya boleh dibayar RM200/bulan. Apakah etika dan hukum seorang islam yang  menyumbang kepada pembangunan rumah ibadat agama lain, sedangkan saya mampu untuk membayar RM300/bulan? Adakah saya dikira bersubahat dalam perkara kemaksiatan dan kemungkaran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Isu menggunakan khidmat parkir berbayar yang disediakan gereja ini kami masukkan di bawah perbahasan urusan mu’amalah, dan satu kaedah fiqh yang masyhur ada menyebut:

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksudnya: Hukum asal dalam mumalat ialah harus.

Selain itu, kami juga nyatakan bahawa hukum sesuatu perkara itu bergantung kepada niat pelakunya, sebagaimana dinyatakan dalam hadith Nabawi:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap perkara itu bergantung kepada niat, dan setiap orang akan diberi ganjaran atau balasan berdasarkan niatnya.

Sahih al-Bukhari (1)

Menggunakan perkhidmatan parkir di gereja menurut hemat kami tidaklah melibatkan pengagungan terhadap gereja dan agama Kristian itu sendiri. Kami sandarkan pandangan ini kepada perkataan Imam Ibnul Qayyim berkenaan mu’malah dengan non-Muslim, di mana beliau berpandangan jika suatu pekerjaan itu tidak melibatkan pengagungan syi’ar agama lain, maka pekerjaan itu diharuskan. (Lihat Ahkam Ahl az-Dzimmah, hal. 569)

Menggunakan khidmat parkir menurut pandangan kami tidaklah secara langsung bermaksud mengagungkan atau membesarkan syi’ar agama lain, namun ia sekadar menggunakan khidmat yang disediakan atas dasar harga yang ditawarkan lebih murah tanpa sebarang niat untuk membantu memakmurkan atau mengembangkan agama lain.

Dalam hal ini, menggunakan khidmat parkir berbayar di gereja (dan juga rumah ibadat agama lain) disebabkan harganya lebih murah berbanding khidmat parkir ditempat lain, kami cenderung menyatakan hukumnya harus dalam situasi seperti berikut:

  1. Pihak yang menyediakan parkir tidak menyatakan secara langsung bahawa wang hasil parkir akan disalurkan bagi tujuan pembangunan rumah ibadat atau hal-hal yang berkaitan ibadat agama lain;
  2. Pengguna yang ingin menggunakan parkir tersebut benar-benar dalam keadaan tidak berkemampuan untuk membayar parkir yang lebih mahal;
  3. Sentiasa mengutamakan parkir yang tidak mempunyai apa-apa keraguan walaupun harganya mungkin lebih mahal sedikit.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami berpandangan hukum menggunakan khidmat parkir berbayar di gereja atau di rumah ibadat agama lain adalah harus. Hal ini kerana ia termasuk di bawah urusan muamalat sesama manusia yang diharuskan oleh syarak, selagi mana tidak ada dalil yang melarang dan menegah.

Walau bagaimanapun, ingin kami tegaskan, hukum dalam isu ini amat bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang, dan jika dia mampu membayar lebih, maka lebih utama ke atasnya untuk menggunakan khidmat parkir yang lain. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi:

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya: Keluar dari khilaf itu amat dituntut.

Allah SWT juga telah berfirman:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."

[Al-Mumtahanah : 8]

Ayat ini menjadi asas yang penting dalam rangka hubungan seorang Muslim dengan saudaranya yang bukan Muslim, dengan kewajipan untuk berbuat-baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak bersikap jahat dan memusuhi Islam dan penganutnya.

Kami juga ingin menegaskan bahawa selagi mana ia tidak melibatkan secara langsung dengan sebarang pengagungan dan memuliakan rumah ibadat agama lain, maka keterlibatan dalam sebarang urusan mu’amalah dengan pihak berkenaan adalah harus dengan mengambil kira maslahah, situasi dan keperluan.

Wallahu a’lam.