Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #896: BERAPA UMUR NABI NUH AS?

USIA NABI NUH AS.jpg

 

 

Soalan: Assalamualaikum. Boleh saya tahu, berapa usia Nabi Allah Nuh AS kerana saya dengar banyak pendapat yang berbeza-beza?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini pendapat-pendapat ulama’:

Pertama, usia Nabi Nuh AS 1050 tahun. Ini adalah pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang berkata: “Allah utuskan Nuh ketika berusia 40 tahun dan dia bersama dengan kaumnya 950 tahun. Berdakwah kepada mereka dan hidup selepas taufan atau banjir besar selama 60 tahun. Maka jadilah usianya 1050 tahun.”

Ini juga dikemukakan oleh al-Suyuti dalam kitab al-Durru al-Manthur (11/537-538), Ibn Abi Hatim al-Razi dalam Tafsirnya (9/3041), Tafsir al-Khazin (5/198-199), Tafsir al-Sam’ani (4/171), Tafsir ‘Izz bin ‘Abd al-Salam (1/846), al-Kasyf wa al-Bayan oleh al-Naisaburi (7/274), Tafsir al-Baghawi (6/236) dan Tafsir Ibn Kathir (6/268).

Kedua, usianya 950 tahun. Ini adalah pendapat al-Tabari dalam Tafsirnya (20/17).

Ketiga, usianya 992 tahun. Ini pendapat dalam Tafsir al-Baidhawi (1/310).

Keempat, 1340 tahun. Ini yang diriwaatkan dalam al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil (1/1403).

Kelima, ulama’ tidak menentukan usianya ketika wafat tetapi memadai apa yang disebut di dalam Quran iaitu 950 tahun.

 

Yang rajihnya, masa risalahnya ketika dia menyampaikan kepada kaumnya ialah selama 950 tahun. Adapun sebelum itu, tidak dapat ditetapkan jumlah masa. Begitu juga selepas bah besar. Inilah pendapat yang kami pegang dan pendapat ini juga disebut oleh para ulama’ antaranya al-Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam Tafsirnya (hlm. 6959-6960), Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (20/200) dan Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran (5/455).

Yang pentingnya, pengajaran dan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh AS. Begitu juga sifat kesabarannya sehinggalah Allah memberikan kejayaan dalam dakwahnya. Bacalah Surah Nuh yang mempamerkan kisah Nabi Nuh dengan panjang lebar.

Semoga Allah memberi kefahaman yang baik kepada kita. Amin.