Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #938: HUKUM TERLUPA HAFAZAN AL-QURAN

 


Lupa Hafazan.PNG
Soalan:

Saya pernah mendengar hadith Nabi SAW, yang menyatakan tidak ada dosa yang lebih besar melainkan melupakan hafazan al-Qur’an. Adakah hadith ini sahih? Dan berdosakah jika terlupa hafazan al-Qur’an yang telah dihafal?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Asalnya, hukum menghafal keseluruhan al-Qur’an ialah fardhu kifayah dan sunat ‘ain, yakni sunat ke atas setiap Muslim. (Rujuk Radd al-Muhkhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin 1/538).

Dalam isu ini, adalah diperingatkan akan hadith daripada Abdullah R.A:

بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا

Maksudnya: Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Qur’an sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Qur’an, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya.

Sahih Bukhari (5032) dan Sahih Muslim (790)

Menurut Imam Khatib Syarbini, berdasarkan hadith ini, sunat untuk kita menggunakan istilah dilupakan daripada al-Qur’an, berbanding kita menggunakan istilah terlupa atau melupakan al-Qur’an. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/39)

 

Hukum Terlupa Hafazan al-Qur’an

Terdapat beberapa hadith yang diriwayatkan daripada Baginda SAW berkenaan isu ini, antaranya ialah:

مَا مِنِ امْرِئٍ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ يَنْسَاهُ إِلاَّ لَقِيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَجْذَمَ

Maksudnya: Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil.

Sunan Abi Daud (1474)

Al-Munziri mengatakan di dalamnya terdapat perawi yang bernama Yazid Bin Abi Ziyad,yang mana hadithnya tidak dijadikan hujjah. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud 4/242)

Begitu juga dengan hadith riwayat Anas bin Malik R.A:

عُرِضَتْ عَلَىَّ أُجُورُ أُمَّتِي حَتَّى الْقَذَاةِ يُخْرِجُهَا الرَّجُلُ مِنَ الْمَسْجِدِ وَعُرِضَتْ عَلَىَّ ذُنُوبُ أَمَّتِي فَلَمْ أَرَ ذَنْبًا أَعْظَمَ مِنْ سُورَةٍ مِنَ الْقُرْآنِ أَوْ آيَةٍ أُوتِيهَا رَجُلٌ ثُمَّ نَسِيَهَا

Maksudnya: Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku lihat dosa yang lebih besar dari dosa seorang lelaki yang diberikan satu surah atau satu ayat dari al-Quran kemudian dia melupakannya.

Sunan Tirmizi (2916) dan Sunan Abi Daud (461)

Hadith ini diinilai gharib oleh Imam Tirmizi sendiri, manakala al-Munziri pula mengatakannya dhaif kerana terdapat perawi yang bernama Abd Majid Bin Abd Aziz. (Rujuk Tuhfatul Ahwazi 8/188) Selain itu, Ali bin al-Madini juga menyatakan bahawa Al-Mutthalib bin Abdillah yang meriwatkan hadith ini daripada Anas bin Malik R.A juga sebenarnya tidak pernah mendengar hadith daripada Anas. (Rujuk Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih 2/429)

Dari sini kita dapati, hadith-hadith yang memberi ancaman terhadap mereka yang lupa hafazan al-Qur’an dipertikaikan kesahihannya oleh sebahagian ulama’. Namun demikian, terdapat ramai juga para ulama yang menggunakan hadith-hadith ini sebagai dalil yang menunjukkan mereka menerimapakainya sebagai dalil dan menganggapnya sebagai sahih.

 

Pandangan dan Perbahasan Ulama

Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari, haram hukumnya melupakan hafazan al-Qur’an berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan di atas, dan menurut Imam al-Ramli pula, ia haram jika disebabkan kecuaian dan malas, dan ia merupakan salah satu dosa besar (Rujuk Asna al-Mathalib 1/64 dan Fatawa al-Ramli 4/376)

Imam Ibn Hajar menyebut beberapa riwayat daripada salaf, dimana ada yang menganggapnya sebagai antara dosa-dosa besar seperti al-Dhahhak dan Abu al-‘Aliyah, dan ia dipersetujui oleh para ulama mazhab Syafi’e seperti Imam Khatib Syarbini, Imam Ibn Hajar al-Haitami, al-Ruyani dan al-Qurthubi. Selain itu, ada yang memakruhkannya seperti Ibn Sirin. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 9/86, Mughni al-Muhtaj 1/39 dan Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir 1/201).

Menurut Imam al-Syaukani pula, melupakan hafazan al-Qur’an merupakan antara dosa terbesar daripada kategori dosa-dosa kecil sekiranya ia tidak disertai dengan niat meremehkan keagungan al-Qur’an. (Rujuk Nail al-Authar 2/178)

Menurut Ibn Husamuddin al-Rahmani, ancaman terhadap mereka yang melupakan hafazan al-Qur’an adalah kerana al-Qur’an itu merupakan pusat ajaran Islam dan syari’ah. Melupakannya bererti merosakkan syariah itu sendiri. Hafazan al-Qur’an juga merupakan salah satu nikmat Allah SWT yang amat mulia, maka melupakannya bereri mengkufuri nikmat yang telah diberi. (Rujuk Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih 2/429)

Selain itu, Ibn Rusyd juga menukilkan ijma’ bahawa jika seseorang itu terlupa hafazan al-Qur’an kerana sibuk mempelajari ilmu-ilmu yang wajib dan ilmu-ilmu sunat, dia tidak berdosa. (Rujuk Mathalib Uli Nuha 1/605)

Sementara Abu Syammah, guru Imam al-Nawawi pula mentafsirkan kalimah نسيان dengan erti kata meninggalkan dan tidak beramal, bukan semata-mata lupa dari sudut hafalan. (Rujuk Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir 1/201)

Adapun jika terlupa disebabkan tabiat sifat manusiawi, maka ia tidaklah berdosa, kerana Nabi SAW sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Qur’an. Daripada ‘Aisyah R.Anha:

سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ ‏ "‏ يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Qur’an pada suatu malam, dan bersabda: “Moga Allah SWT merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Qur’an yang telah dilupakan daripada aku.

Sahih Bukhari (5038) dan Sahih Muslim (788)

Oleh kerana itu Nabi SAW juga berpesan dan memberikan tips bagaimana mengekalkan hafazan al-Qur’an melalui sabda Baginda:

وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Maksudnya: Apabila seorang sohibul Qur’an membacanya (sewaktu solat) pada waktu siang dan malam, nescaya dia akan hafal dan ingat ayat al-Qur’an, namun jika dia tidak melakukan yang demikia, maka dia akan melupakannya.

Sahih Muslim (789)

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum melupakan hafazan al-Qur’an disebabkan oleh kemalasan, kecuaian dan kerana terlampau disibukkan oleh hal-hal keduniaan, maka dia telah berdosa, berdasarkan mafhum umum akan larangan melupakan pesan-pesan al-Qur’an, hadith-hadith ancaman daripada melupakan al-Qur’an, hadith-hadith berbentuk galakan supaya menghafalnya dan juga pandangan para ulama.

Adapun jika telah berusaha memeliharanya tapi terlupa kerana lemahnya ingatan yang merupakan antara sifat manusiawi, maka dia tidaklah berdosa.

Wallahu a’lam.