Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #997: HAFALAN AL-QURAN SEBAGAI MAS KAHWIN

hafalan quran.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Berkaitan mas kahwin, dulu ada berlaku mas kahwin dengan bacaan hafalan surah Quran. Tapi kini mesti mata benda dijadikan mas kahwin. Apa pandangan ustaz? Dan apa maksud mas kahwin dengan hafalan al-Quran? Mohon penjelasan, terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Mas kahwin atau al-sadaq (الصداق) ialah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab aqad nikah. Ia dinamakan sadaq untuk menunjukkan bahawa lelaki tersebut benar-benar ingin berkahwin.

Hukumnya adalah wajib ke atas suami sebaik sahaja sempurna aqad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa aqad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

 

Bolehkah Mas Kahwin dengan Hafalan al-Quran?

Melihat keadaan mas kahwin ini, yang namanya mahar itu, ia asalnya ialah benda. Melainkan kepada orang yang tidak mempunyai benda sesuatu. Contohnya seseorang itu mempunyai kepakaran untuk mengajar mengaji dan sebagainya maka ia boleh.

Tetapi pada asalnya, hendaklah memberikan sesuatu benda. Disebabkan itulah Nabi SAW menyebut:

الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi”

Riwayat al-Bukhari (5135)

Iaitu walaupun sebentuk cincin besi, sebagai benda yang kita boleh lihat maka itulah yang sebenarnya.

Berkenaan dengan persoalan mas kahwin dengan hafalan al-Quran, ia adalah dengan maksud suami mengajar isterinya akan al-Quran sehingga boleh membaca sepertimana disebut di dalam hadis.

Daripada Sahl bin Sa’ad R.A, beliau berkata:

أَتَتِ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak berhajat kepada perempuan.” Lalu seorang lelaki berkata: “Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu.” Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya.”

Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada sekian dan sekian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan ayat-ayat al-Quran yang ada padamu.”

Riwayat al-Bukhari (4741)

Di dalam satu riwayat Muslim, disebutkan:

انْطَلِقْ فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا فَعَلِّمْهَا مِنْ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Pergilah, aku telah menikahkanmu dengan wanita itu. Ajarkanlah dia daripada al-Qur’an.”

Riwayat Muslim (1425)

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata:

وَفِي هَذَا الْحَدِيث دَلِيل لِجَوَازِ كَوْن الصَّدَاق تَعْلِيم الْقُرْآن

Maksudnya: “Di dalam hadis ini terdapat dalil akan bolehnya mahar berupa pengajaran al-Qur’an.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/214)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya. Amin.