Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ISTERI MUT'AH.JPG

Soalan

Adakah layak bagi seorang isteri yang dicerai selepas bersetubuh itu mut’ah setelah dia mendapatkan mahar mithil?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif mut’ah dan perempuan yang berhak mendapat mut’ah.

Mut’ah berasal daripada kalimah al-Mata’ (المتاع). Ia bermaksud sesuatu yang menyeronokkan dan dapat dimanfaati. Sementara mut’ah dalam bab ini ialah harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab penceraian atau dipisahkan.

 

Perempuan yang Berhak Mendapat Mut’ah

Mut’ah wajib diberi kepada perempuan yang berkeadaan berikut:

  1. Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
  2. Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa aqad nikah.
  3. Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalan aqad nikah.

Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam aqad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian) kepada mereka, orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut, yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan.

(Surah al-Baqarah: 236)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut'ah menurut yang ma'ruf, sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 241)

Inilah sepertimana yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/493-494).

 

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan jawapan di atas dan penerangannya, maka jelas isteri yang diceraikan selepas persetubuhan berhak mendapat mut’ah. Kami juga menekankan konsep ehsan kepada isteri yang diceraikan adalah antara akhlak yang mulia yang dipamerkan oleh bekas suami. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi dan amanah-Nya termasuk hal ehwal kekeluargaan dengan sebaik mungkin. Amin.