Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
carian

mahar tinggi.JPG

Soalan

Jika mahar mithil (مهر مثل) itu agak tinggi, adakah suami tetap perlu bayar jika keadaan ekonomi si suami itu tidak mampu untuk membayarnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami nyatakan terlebih dahulu nilai mahar mithli seperti di dalam al-Fiqh al-Manhaji: Mas kahwin ini dinilai berdasarkan nasab kaum kerabat isteri sebelah bapa. Ia dinilai mengikut mas kahwin kerabat perempuan yang terdekat hubungannya, iaitu saudara perempuan seibu sebapa, anak-anak perempuan saudara lelaki dan ibu-ibu saudara sebelah bapa.

Ia juga dinilai menurut persamaaan mereka berdasarkan sifat-sifat yang dijelaskan kemudian.

Sekiranya tiada kaum kerabat perempuan yang terdekat tersebut atau mereka masih belum berkahwin, mas kahwin akan dinilai mengikut kaum kerabat terdekat sebelah ibu, seperti ibu, nenek, ibu saudara sebelah ibu dan anak-anak perempuan saudara perempuan. Hal ini adalah kerana mereka lebih utama berbanding perempuan-perempuan yang bukan kerabat.

Jika kaum keluarga perempuan sebelah ibu pun tiada, maka mas kahwin dinilai mengikut kadar mas kahwin perempuan terdekat, berdasarkan persamaan sifat antara mereka.

 

Sifat-sifat yang diakui dalam menentukan mahar mithil

Persamaan sifat bagi penilaian mas kahwin mithil yang dimaksudkan adalah umur, akal, kecantikan, kekayaan, maruah, keagamaan, ketaqwaan, keilmuan, anak dara, janda dan semua sifat yang lain berbeza-beza berdasarkan tujuan yang baik. Hal ini adalah kerana mas kahwin akan berbeza-beza mengikut perbezaan sifat-sifat ini.

 

Dalil Pensyariatan Mahar Mithli

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya:

أَنَّهُ سُئِلَ عَنْ رَجُلٍ تَزَوَّجَ امْرَأَةً, وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا, وَلَمْ يَدْخُلْ بِهَا حَتَّى مَاتَ, فَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: لَهَا مِثْلُ صَدَاقِ نِسَائِهَا, لَا وَكْسَ, وَلَا شَطَطَ, وَعَلَيْهَا الْعِدَّةُ, وَلَهَا الْمِيرَاثُ، فَقَامَ مَعْقِلُ بْنُ سِنَانٍ الْأَشْجَعِيُّ فَقَالَ: قَضَى رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فِي بِرْوَعَ بِنْتِ وَاشِقٍ - امْرَأَةٍ مِنَّا - مِثْلَ مَا قَضَيْتَ, فَفَرِحَ بِهَا ابْنُ مَسْعُودٍ.

Maksudnya: “Dia ditanya tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan, sedangkan lelaki itu belum menetapkan mas kahwinnya dan belum menyetubuhinya sehingga lelaki tersebut meninggal dunia. Ibn Mas’ud menjawab: Isteri itu berhak mendapat mas kahwin dengan mas kahwin keluarga perempuannya tanpa kurang atau lebih. Dia juga hendaklah ber`iddah dan berhak mewarisi harta peninggalan suaminya. Lalu Ma’qil bin Sinan al-Asyja’ie bangun berkata: “Rasulullah SAW telah menyatakan hukum yang sama dalam masalah Birwa’ binti Wasyiq, seorang perempuan di kalangan kami.” Abdullah bin Mas’ud pun berasa gembira mendengarnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1145), al-Nasa'ie (3524)
dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (1590)

Ini adalah sepertimana yang dinukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/488-489).

 

Kami berpendapat bahawa ia perlu dibayar berdasarkan kepada nas feqah. Antaranya: Suami diwajibkan membayar mahar mithli melalui tiga cara: sama ada diwajibkan oleh hakim atau dengan persetujuan kedua pasangan pengantin atau kerana kerana telah berlakunya persetubuhan menurut pendapat dalam Mazhab Shafi’e. (Lihat Kifayah al-Akhyar fi Hal Ghayah al-Ikhtisar, 2/37)

Jika sekiranya suami tidak mampu, maka dia dianggap sebagai berhutang yang tertanggung atas zimmah suami yang mesti dilunaskannya. Kecualilah jika suami berunding dan berbincang dengan baik kepada isterinya untuk memohon pengurangan. Ini kerana mas kahwin adalah hak isteri yang wajib diberikan oleh suaminya.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama sehingga dapat kita mengikutinya. Amin.