Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1053: KANAK-KANAK BERMAIN ‘GAME’ DI DALAM MASJID

 

kafi-1053.png

 

 

Soalan:

Apakah hukum kanak-kanak bermain permainan video di dalam telefon sewaktu di dalam masjid?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Masjid merupakan tempat yang mulia buat umat Islam dan ia juga merupakan salah satu daripada syiar Islam. Justeru itu, perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah membina masjid Quba’ di Madinah al-Munawwarah atau nama lama bagi kota Madinah adalah Yathrib sebagaimana yang disebutkan oleh ulama sirah.

Selain itu juga, kita dituntut untuk sentiasa menjaga adab-adab ketika berada di dalam masjid kerana masjid merupakan rumah Allah SWT. Berdasarkan soalan di atas, hukum asal bagi masjid adalah memuliakannya serta menjaga kehormatannya dengan menghilangkan perkara-perkara yang tidak layak dengannya seperti perkara yang lalai, bathil, bermain-main dan lain-lain lagi yang boleh merosakkan kesucian masjid.

 

  • Firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

al-Nur:36

Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya. Di situ juga dikerjakan ibadat bersuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

 

Tambahan pula, anak-anak merupakan perhiasan hidup buat manusia berdasarkan firman Allah SWT:

 

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

al-Kahfi:46

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

Berdasarkan soalan di atas, berkaitan hukum kanak-kanak bermain-main permainan video di dalam masjid boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

 

Pertama: Kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah harus dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah kerana sifat yang lazim bagi kanak-kanak adalah suka bermain. Namun, sekiranya bermain-main itu mengganggu orang lain yang sedang beribadah atau sebaliknya maka hukumnya adalah haram dan dosa tersebut akan ditanggung oleh ibubapanya.

Ini kerana, Nabi SAW pernah melarang para sahabat agar tidak meninggikan suara di dalam masjid supaya tidak mengganggu orang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Said:

 

  • Daripada Abi Said RA berkata:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ: فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya: Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid, lalu Baginda SAW mendengar para sahabat menguatkan bacaan (al-Quran) mereka. Kemudian Baginda SAW membuka tirai sambil bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya kamu sedang bermunajat kepada Tuhan kamu. Oleh kerana itu, janganlah sebahagian daripada kamu menyakiti (mengganggu) sebahagian yang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu meninggikan suara ke atas sebahagian yang lain ketika membaca (al-Quran) atau di ketika di dalam solat.” [Riwayat Abu Daud (1332)][Sanad hadith ini adalah sahih dan ia mempunyai beberapa syawahid (sokongan) menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Berdasarkan hadith di atas, meninggikan suara ketika membaca al-Quran sehingga mengganggu orang lain adalah dilarang oleh Rasulullah SAW apatah lagi bermain-main sehingga mengganggu orang lain.

 

Kedua: Kanak-kanak yang sudah mencapai usia 7 tahun dan ke atas, perlulah diperintahkan agar mereka menunaikan solat. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

 

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ

Maksudnya: “Perintahlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat ketika mereka telah mencapai usia 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka tidak melaksanakannya ketika mereka telah mencapai usia 10 tahun.” [Riwayat Abu Daud (495)][Sanad hadith ini adalah hasan menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Penutup

Kesimpulannya, hukum kanak-kanak (yang belum lagi mumayyiz) bermain permainan video di dalam masjid adalah harus sekiranya ia tidak mengganggu orang-orang yang berada di dalam masjid. Sekiranya, perbuatan tersebut menganggu maka ia adalah dilarang dan haram hukumnya sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu juga, kami ingin menasihati kepada setiap ibubapa agar sentiasa memerhati dan menjaga setiap tingkah laku anak-anak agar ia tidak menimbulkan kemarahan atau ketidakselesaan orang-orang yang hadir ke masjid. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid dan seterusnya memasukkan kita semua bersama orang-orang yang akan mendapat naungan-Nya di akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam