Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1061: RAHSIA PENAMAAN SURAH AL-IKHLAS

ikhlas.PNG

Soalan:

Assalamualaikum. Boleh SS Dato’ Seri Mufti terangkan, kenapa surah al-Ikhlas dinamakan sedemikian, sedangkan tiada perkataan ikhlas didapati padanya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (4)

Surah al-Ikhlas (1-4)

Imam Fakhruddin al-Razi menukilkan bahawa sebenarnya terdapat sembilan belas lagi nama lain bagi surah ini selain surah al-Ikhlas:

  • Al-Tafrid
  • Al-Tajrid
  • Al-Tauhid
  • An-Najat, kerana ia menyelamatkan daripada kekufuran di dunia dan azab di akhirat
  • Al-Wilayah, kerana seseiapa yang mengarifi keesaan Allah SWT, maka dia termasuk daripada wali-wali-Nya
  • Al-Nisbah
  • Al-Ma’rifah, surah ini dipenuhi dengan sifat-sifat Allah SWT yang perlu diketahui bagi menyempurnakan ma’rifatullah
  • Al-Jamal, kerana ia menghimpunkan sifat-sifat Allah SWT yang merupakan sesempurna seindah-indah sifat
  • Al-Muqasyqisyah(المُقَشْقِشَة) , kerana ia membersihkan dan menyucikan orang beriman daripada syirik
  • Al-Mu’awwizah, iaitu penyembuh atau pelindung
  • Al-Somad, kerana surah ini menjadi tumpuan dalam isu aqidah
  • Al-Asas, kerana ia asas aqidah
  • Al-Mani’ah, kerana ia mampu menghalang daripada azab kubur dan neraka
  • Al-Mahdhar, kerana para malaikat hadir untuk mendengarnya tatkala ia dibaca
  • Al-Munaffirah, kerana syaitan lari daripadanya tatkala dibaca
  • Al-Barra’ah, kerana ia berlepas diri daripada syirik
  • Al-Muzakkirah, kerana ia mengingatkan tentang
  • Al-Nur, dimana terdapat riwayat dimana Rasulullah SAW menyebut surah ini sebagai cahaya
  • Al-Aman, kerana siapa yang membacanya akan selamat daripada azab

Namun ia lebih dikenali dengan nama Surah al-Ikhlas, dan ia dinamakan demikian kerana orang yang meyakini isi kandungannya akan menjadi ikhlas dalam menjalankan agama Allah SWT, dan orang yang mati dengan ikhlas, akan dijauhkan daripada api neraka. (Rujuk Tafsir Mafatih al-Ghaib karangan Imam Fakhruddin ar-Razi, 32/161)

Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur pula, nama al-Ikhlas lebih masyhur kerana ia menghimpunkan ma’na-ma’na surah ini, dimana ia mengajar manusia sifat ikhlas dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, yakni aqidah yang bebas daripada mensyirikkan Allah SWT dalam ketuhanan. (Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609-610)

Penjelasan para ulama ini konsisten dengan firman Allah SWT yang lain yang menjelaskan makna konsep ikhlas:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: Pada hal mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.

Surah al-Bayyinah (5)

Wallahu a’lam.