Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

pakaian mahal.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin tahu, apa hukum memakai pakaian yang mahal? mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi antara lain menyebut: Jika masyarakat Arab suatu ketika dahulu diselubungi semangat kebadawian dan cuaca padang pasir telah mempengaruhi penduduknya dan kebanyakan penduduknya mengabaikan kebersihan diri, Nabi SAW memberi perhatian dan bimbingan untuk menyedarkan mereka sehingga Baginda SAW berjaya mengubah kehidupan mereka yang lama kepada sikap suka menghias diri secara sederhana dan menjaga kebersihan diri. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 144)

Berkenaan persoalan di atas, hukum memakai pakaian yang cantik dan mahal adalah harus jika berkemampuan. Hammad bin Abi Hanifah pernah berkata bahawa Abu Hanifah suka memakai pakaian yang mahal dan indah kerana menzahirkan nikmat Allah ke atasnya dan memuliakan ilmu yang dimilikinya. (Lihat Istilah-istilah Fiqah dan Usul Empat Mazhab, hlm. 17)

Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya seraya bersabda:

فَإِذَا آتَاكَ اللَّهُ مَالاً فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ ، وَكَرَامَتِهِ

Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya.

Riwayat Abu Daud (4063)

Berkenaan dengan selekeh dan tidak terurus diri adalah suatu keadaan yang tidak baik dan elok. Sepatutnya seseorang itu mampu menguruskan dirinya agar dilihat dalam keadaan yang baik dan sempurna penampilannya.

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, beliau berkata:

أَتَانَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَرَأَى رَجُلاً شَعِثًا قَدْ تَفَرَّقَ شَعْرُهُ فَقَالَ : أَمَا كَانَ يَجِدُ هَذَا مَا يُسَكِّنُ بِهِ شَعْرَهُ ، وَرَأَى رَجُلاً آخَرَ وَعَلْيِهِ ثِيَابٌ وَسِخَةٌ ، فَقَالَ أَمَا كَانَ هَذَا يَجِدُ مَاءً يَغْسِلُ بِهِ ثَوْبَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah datang kepada kami, lalu Baginda melihat seorang lelaki yang tidak terurus di mana rambut kepalanya dibiarkan berterbangan lantas sabda Nabi SAW: “Tidakkah dia mendapat sesuatu yang boleh dia menguruskan rambutnya?” Kemudian Baginda melihat seorang lelaki yang lain dengan pakaian yang kotor lalu Baginda SAW bersabda: “Apakah orang itu tidak mendapati air untuk dia basuh pakaiannya?”

Riwayat Abu Daud (4062)

Suatu peristiwa, seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW dengan rambut di kepalanya kusut masai dan janggutnya yang tidak terurus. Rasulullah SAW pun mengisyaratkan ke arah kepalanya supaya dia membetulkan rambutnya yang kusut masai itu. Lelaki itu keluar untuk membetulkan rambutnya, kemudian dia kembali lagi. Lantas Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

أَلَيْسَ هَذَا خَيْراً مِنْ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدُكُمْ ثَائِرَ الرَّأْسِ، كَأَنَّهُ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Bukankah cara begini lebih baik daripada datang seseorang kamu dengan kepalanya tidak terurus seperti lagaknya syaitan?”

Riwayat Malik di dalam al-Muwatta’ (3494)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6043)

Walaupun begitu, kami berpendapat pakaian yang mahal dan cantik boleh dipakai dengan beberapa dawabit atau garis panduan yang perlu difahami dan diikuti. Antaranya:

  • Bukan pakaian yang diharamkan terhadap orang lelaki seperti sutera. Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَلْبَسُوا الْحَرِيرَ وَلَا الدِّيبَاجَ

Maksudnya: “Jangan kamu pakai sutera dan sutera dibaj”

Riwayat al-Bukhari (5426) dan Muslim (5521)

  • Jangan sampai kepada tahap membazir. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Surah al-Isra’ (26-27)

  • Bukan pakaian yang boleh membawa kepada sifat takabbur. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا أَلْبَسَهُ اللَّهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memakai pakaian yang melambangkan kemasyhuran, nescaya Allah SWT akan memakaikannya pakaian kehinaan di hari kiamat.”

Riwayat Ahmad (5664), Abu Daud (4029),
al-Nasaie (9487) dan Ibn Majah (3607)

Pernah terjadi, seorang lelaki bertanya kepada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: “Pakaian yang bagaimana boleh aku pakai?” Jawabnya: “Pakaian yang bukan menjadi kebanggaan orang-orang jahat dan tidak dicela jika kamu memakainya oleh ulama dan bijaksana.”

  • Janganlah pakaian tersebut menyerupai pakaian acara agama lain. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar RA katanya:

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَلَىَّ ثَوْبَيْنِ مُعَصْفَرَيْنِ فَقَالَ : إِنَّ هَذِهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلاَ تَلْبَسْهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melihatku memakai dua helai pakaian yang dicelup (bersifat menghampiri pakaian orang bukan Islam), lalu Baginda SAW berkata: Sesungguhnya pakaian serupa ini adalah pakaian orang-orang kafir, maka janganlah kamu memakainya.

Kami berpendapat dari sudut fiqh aulawiyyat juga perlu diambil kira di saat mereka yang memerlukan bantuan lebih banyak lagi, maka mengelakkan dari memakai pakaian seumpama tersebut adalah lebih utama.

Semoga Allah memberi ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.