Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
carian

LEWAT SOLAT JUMAAT.JPG

Soalan

Saya lewat solat Jumaat dan hanya sempat di rakaat kedua. Perlukah saya solat Zohor atau tambah satu rakaat sahaja? Dan apakah saya mendapat Jumaat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan persoalan di atas, jika dia sempat satu rakaat bersama dengan Imam, maka dia mendapat Jumaat. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat (solat jumaat dan lain-lain) maka dia mendapat solat itu.”

Riwayat Bukhari (580) dan Muslim (607)

Disebabkan dia sempat satu rakaat bersama imam, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat sahaja. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”

Riwayat Ibn Majah (1121), al-Baihaqi dalam
al-Sunan al-Kubra (5945) dan al-Hakim (1708)

Akan tetapi, jika dia tidak sempat satu rakaat bersama imam, maka dia perlu menambah 4 rakaat solat Zuhur. Sebagai contoh dia datang ketika imam sedang tahiyyat akhir. Ini kerana solat Jumaat wajib secara berjemaah. Daripada Tariq bin Syihab RA, Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ

Maksudnya: “Jumaat itu adalah hak wajib setiap Muslim lelaki dalam keadaan berjemaah.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Sesungguhnya dikira dapat berjemaah dalam solat Jumaat dengan dapat sekurang-kurangnya satu rakaat penuh. Oleh itu, sekiranya dapat satu rakaat sahaja maka Jumaatnya sah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509)

Di dalam Syarh al-Zad dan Hasyiahnya menyebut: “Sesiapa yang mendapati bersama imam sempat satu rakaat solat Jumaat, maka dia sempurnakan satu rakaat lagi secara ijmak. Tetapi jika tidak sempat walaupun satu rakaat – seperti imam i’tidal pada rakaat, kemudian seseorang itu baru masuk solat bersamanya – maka hendaklah dia sempurnakan solat Zuhur dengan empat rakaat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/572)

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.