Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1102 : BENARKAH BACAAN WA`AFINI DAN WA` FU`ANNI TIDAK WUJUD SEMASA DUDUK ANTARA DUA SUJUD?

af1102 compressed

Soalan:

Saya ada terlihat sebuah poster yang beredar dalam internet. Ia menyebut tiada bacaan wa`afini dan wa`fu `anni dalam bacaan duduk antara dua sujud. Saya pertama kali mengetahui perkara ini. Mohon penerangan.

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum kami mengulas kandungan poster tersebut, seeloknya kami menjelaskan dahulu kedudukan bacaan ketika duduk. Berkata pengarang kitab Imam Ibn Hajar al-Haitami (w.974H) dalam mensyarahkan kalam Imam al-Nawawi (w.676H):

قَائِلًا رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافَنِي لِلِاتِّبَاعِ فِي الْكُلِّ وَسَنَدُهُ صَحِيحٌ زَادَ فِي الْإِحْيَاءِ وَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: "[Disunatkan dia membaca: Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku, rahmati aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepada ku, lindungi aku] kerana ittiba` (mengikut Sunnah Nabi) bagi setiap permohonan itu, dan sanadnya sahih, ditambah dalam (kitab) al-Ihya’: ampunkan aku.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (2/77)

Hadis-hadis yang diriwayatkan menyebut tentang bacaan semasa duduk antara dua sujut ini pelbagai. Para ulama menyusunnya agar lebih banyak fadhilat dan lebih berhati-hati. Fakta ini dihuraikan oleh Imam al-Nawawi dengan katanya: “Adapun hadis Ibn `Abbas maka meriwayatkannya oleh Abu Dawud, al-Tirmidzi dan selain mereka berdua dengan sanad yang baik dan al-Hakim meriwayatkannya dalam al-Mustadrak dan katanya, “Sohih Isnadnya.” Dan lafaz oleh Abu Dawud,”

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي

Dan lafaz al-Tirmidzi seumpamanya tetapi dia menyebut “bantulah aku dan tinggikan darjatku”, dalam riwayat Ibn Majah وَارْفَعْنِي mengganti وَاهْدِنِي. Dan dalam riwayat al-Baihaqi:

رب اغفر لي وارحمني واجبرني وارفعني وَاهْدِنِي

Maka pendapat yang berhati-hati dan lebih terpilih ialah dengan menghimpunkan semua riwayat itu dan menyebut semua lafaznya yang tujuh iaitu:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَأَجِرْنِي وَارْفَعْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي

….Berkata Imam al-Nawawi: “Berkata pengarang kitab al-Tatimmah (Imam Abu Sa`d al-Mutawalli) tidak dita`yinkan (ditentukan) dengan doa ini sahaja bahkan apa-apa doa yang dibaca padanya maka berhasillah sunat tetapi lebih afdal jika dibaca apa yang ada dalam hadis.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/436-438)

Maka jelas kepada kita bahawa tambahan wa`afani itu adalah sabit dalam Sunnah Rasulullah ﷺ dan bukan rekaan yang tertolak.

 

 

Bagaimana pula dengan tambahan wa`fu`anni seperti dalam poster?

Seperti mana yang sudah dijelaskan di atas, tambahan wa`fu`anni disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din (1/155). Tambahan ini juga bukan tambahan yang tertolak kerana duduk ketika duduk adalah waktu berdoa dengan apa-apa pun doa seperti mana yang disebut oleh Imam al-Mutawalli. Tambahan lagi, penambahan tersebut tidak mendahului Sunnah sehingga dikatakan kurang afdhal kerana dibaca selepas dibaca doa-doa yang ma`thur ketika duduk antara dua sujud. Makna wa`fu`anni juga bukan bermaksud buruk sebaliknya meminta agar Allah memadamkan kesalahan-kesalahan kita.

 

Perbezaan di antara “العفو” dan “المغفرة

Para ulama berselisih pendapat dalam masalah ini iaitu dalam menentukan kalimah mana yang lebih ablagh (lebih retorik atau mendalam maksudnya). Sebahagian mereka menyatakan bahawa kalimah “العفو” lebih ablagh berbanding “المغفرة”. Antaranya ialah Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ada menyatakan berkaitan perbezaan di antara dua kalimah ini iaitu “العغو” adalah memohon agar Allah SWT memadamkan dosa-dosa serta berlepas daripada segala maksiat. Ia hampir kepada “الغفور” tetapi kalimah ini lebih ablagh berbanding “الغفور” kerana “الغفور” adalah memohon agar Allah SWT menutup (bukannya memadam). Rujuk al-Maqsad al-Asna (hlm.140).

Selain itu juga, Syeikh Muhammad Munir al-Dimasyhqi berkata di dalam kitabnya, bahawa “العفو” pada hak Allah diibaratkan menghapuskan kesan-kesan dosa keseluruhannya daripada buku catatan amalan dan ia tidak akan dituntut lagi di hari Akhirat kelak. Di samping itu juga, ia dilupakan daripada hati-hati mereka supaya dengan itu mereka tidak akan malu apabila disebut akannya serta ditukar setiap tempat dosa itu dengan kebaikan. Untuk itu, “العفو” lebih ablagh berbanding “المغفرة” kerana “المغفرة” adalah menutup (dosa-dosa). Adapun, “العفو” adalah memadam atau menghapuskan. Rujuk al-Nafahat al-Salafiyyah (hlm. 87)

Pandangan yang kedua menyatakan sebaliknya iaitu “المغفرة” lebih ablagh berbanding “العفو” kerana “المغفرة” adalah menutup dan juga menggugurkan hukuman serta akan mendapat pahala. Adapun “العفو” tidak menutup (dosa yang dilakukan) serta tidak semestinya akan memperolehi pahala atau ganjaran. Antaranya ulama yang cenderung kepada pandangan ini ialah Imam Ibn Rejab al-Hanbali. Beliau menyatakan bahawa “المغفرة” ini tidak akan terhasil melainkan dengan digugurkan hukuman serta tidak akan tuntut lagi. Ini kerana, “المغفرة” sebagai pelindung daripada keburukan dosa secara keseluruhannya dan pengampunan itu biasanya berlaku selepas daripada hukuman. Untuk itu, segala musibah-musibah dunia ini adalah penghapus kepada dosa-dosa dan itu dinamakan sebagai hukuman. Adapun “العفو” boleh berlaku bersama dengan hukuman atau tanpa hukuman. Rujuk Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (2/526)

Daripada sudut hadis, lafaz wa`fu`anni sebagai doa adalah ma`thur yakni berasal daripada hadis-hadis yang disandar kepada Rasulullah ﷺ dan boleh diamalkan. Daripada Ibn Abi `Aufa RA bahawa seorang lelaki berjumpa Rasulullah ﷺ untuk mengajarnya bacaan dalam solat sedangkan dia adalah seorang tidak mampu membaca al-Quran dengan baik, lalu Baginda ﷺ mengajarnya doa berikut:

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Lalu Baginda ﷺ bersabda: “Maka dengan itu, penuhlah kedua tangannya dengan kebaikan.” Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2/532)

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, maka kami cenderung kepada pendapat bahawa dibenarkan membaca doa wa`afini dan wa` fu `anni dalam bacaan doa duduk antara dua sujud kerana sabitnya bacaan yang pertama dalam Sunnah Rasulullah ﷺ, dan umumnya keharusan berdoa ketika duduk antara dua sujud dengan apa-apa doa, selagi mana tidak meninggalkan Sunnah yang sabit. Jika tidak, maka kurang fadilatnya. Semoga penjelasan ini memberikan kita kekuatan untuk beristiqamah dalam mempelajari ilmu dan beramal. Wallahua`lam.