Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1116 : IMAM TERLUPA MEMBACA AYAT AL-QURAN SELEPAS MEMBACA AL-FATIHAH

af 1116 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Harap ustaz dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya.Ada satu hari tu ketika solat isyak, imam selepas membaca Al-Fatihah tidak membaca surah. Apa hukumnya ustaz?

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jeja\k langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat mempunyai sunat-sunatnya yang menjadi pelengkap dan kesempurnaan di dalam solat. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada perkara-perkara sunat yang dilakukan sebelum bermulanya solat. Ada juga yang dilakukan di dalam solat dan juga ada perkara sunat selepas dari solat.

Bagi perkara sunat di dalam solat ianya terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah ab’ad iaitu perkara sunat yang mana jika dilakukan akan mendapat pahala akan tetapi jika ditinggalkan tidaklah membatalkan solat. Akan tetapi, jika perkara itu ditinggalkan, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi di akhir solat. Yang kedua ialah haiat. Iaitu perkara sunat yang mana jika dilakukan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak membatalkan solat. Begitu juga, tidak perlu melakukan sujud sahwi jika meninggalkan perkara sunat haiat.

Di antara sunat haiat ialah membaca surah atau apa sahaja ayat al-Quran selepas daripada membaca Al-Fatihah.Ini berdasarkan athar daripada ‘Atha’ yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij. Kata Ibnu Juraij :

أَخْبَرَنِي عَطَاءٌ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ فِي كُلِّ صَلَاةٍ يُقْرَأُ فَمَا أَسْمَعَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى عَنَّا أَخْفَيْنَا عَنْكُمْ وَإِنْ لَمْ تَزِدْ عَلَى أُمِّ الْقُرْآنِ أَجْزَأَتْ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ

Maksudnya :”Atha’ mengkhabarkan kepada aku bahawa beliau mendengar Abu Hurairah berkata : Di dalam setiap solat dibaca (surah). Apa yang diperdengarkan oleh Rasulullah SAW kami perdengarkan kepada kalian. Apa yang Baginda baca secara perlahan kami baca secara perlahan. Jika kamu tidak menambah apa-apa selepas ummul Quran (iaitu selepas membaca Al-Fatihah) maka solat kamu tetap sah. Jika kamu menambah (iaitu membaca surah atau ayat Al-Quran) maka ia lebih baik.”

Riwayat Al-Bukhari (772)

Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa membaca surah selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyah atau sirriyah. Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam.

Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ (1/142)

Jika seseorang meninggalkan bacaan surah maka tidak perlu untuk sujud sahwi.Ini kerana ianya termasuk di dalam perkara sunat haiat. Kata Imam Al-Nawawi :

“Adapun selain daripada sunat ab’ad (iaitu sunat ab’ad) maka tidak perlu untuk melakukan sujud sahwi jika dia meninggalkannya. Inilah pandangan yang sahih lagi masyhur.”

Rujuk Raudhah Al-Talibin Wa Umdah Al-Muftin (1/109)

Ini bermakna bahawa seseorang yang meninggalkan bacaan surah atau ayat Al-Quran selepas daripada membaca Al-Fatihah sama ada sengaja atau tidak sengaja, maka solatnya tetap sah dan tidak perlu untuk sujud sahwi jika meninggalkannya. Namun jika imam terlupa membaca surah selepas daripada membaca Al-Fatihah dan terus rukuk maka ada dua keadaan bagi makmum :

1.Jika makmum merupakan makmum yang masbuq iaitu tidak sempat membaca atau menghabiskan Al-Fatihah maka dia boleh terus rukuk bersama imam selepas daripada takbiratul ihram dengan kadar subhanallah.

2.Jika makmum merupakan makmum yang muwafiq maka dia perlu untuk menghabiskan Al-Fatihah.Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit bahawa Nabi SAW :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya :” Tidak ada solat (tidak sah solat) bagi sesiapa yang tidak membaca pembuka Al-Kitab (Surah Al-Fatihah).”

Riwayat Muslim (900)

Dan dalam keadaan ini dia boleh menghabiskan Al-Fatihah dan tidak boleh terlambat daripada imam dengan kadar tiga rukun yang panjang iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua.

Kesimpulannya, jika imam tertinggal bacaan surah selepas daripada bacaan Al-Fatihah, maka solatnya dan solat makmum tetap sah. Jika makmum adalah makmum masbuq dia boleh terus rukuk bersama imam setelah takbiratul ihram dengan kadar subhanallah. Jika makmum seorang muwafiq, maka perlu menghabiskan Al-Fatihah dengan syarat tidak terlambat daripada imam dengan kadar tiga rukun yang panjang.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.