Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

af1161 compressed

Soalan

Assalamualaikum. Sahkah wuduk dan mandi wajib sekiranya terdapat kotoran dalam kuku ? Kedua, perlukah dibuang daki ketika mandi wajib dan berwuduk ? Adakah daki menghalang air untuk sampai ke badan ?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Islam merupakan agama yang sangat mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang sentiasa membersihkan jiwa dan fizikal. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Antara buktinya Allah SWT mensyariatkan ibadah bersuci seperti wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar bagi membolehkan dia melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran (Rujuk Syarah al-Yaqut al-Nafis, hlmn. 67).

Imam Nawawi menyebut, terdapat tiga perkara mewajibkan seseorang itu mandi iaitu tenggelamnya hasyafah (kepala zakar) ke dalam faraj, keluar air mani, keluar darah haid atau nifas (Rujuk Al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 2:213). Jika sekiranya seseorang melakukan atau mengalami salah satu perkara di atas, maka wajib ke atasnya untuk mandi sebelum menunaikan ibadah. Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا 

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: 6)

Syarat fardu mandi junub ada tiga iaitu:

            1) Niat. Hendaklah seseorang itu berniat mandi wajib bagi membolehkannya melaksanakan ibadah yang haram dilakukan kerana junub.

            2) Membersihkan najis dan kotoran yang melekat pada badan dan menghalang air daripada sampai ke kulit.

            3) Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuk kulit dan bulu-bulu yang ada di badan. (Rujuk al-Majmu’ Syarah Muhazzab, 2/213)

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu ketika mandi junub untuk menggosok keseluruhan badannya. Bahkan disisi Imam Malik, beliau mewajibkannya kerana meratakan air sahaja tidak mencukupi dan tidak sempurna (Rujuk Syarah al-Yaqut al-Nafis, hlm. 86). Walaubagaimanapun, kotoran yang sedikit seperti daki, tidak menghalang air daripada terkena kulit. Oleh itu, sah hukum mandi wajib walaupun tidak menghilangkan daki tersebut terlebih dahulu.

Namun, bagi kotoran yang terdapat di dalam kuku pula, ulama’ berbeza pandangan seperti berikut:

Pandangan pertama: Jika sekiranya kotoran di bawah kuku tersebut terjadi daripada suhu atau tindakbalas semulajadi badan, maka ia tidak menjejaskan sah mandi dan wuduk tersebut. Namun jika sekiranya kotoran itu daripada kotoran luar seperti tanah, tepung dan sebagainya, maka wajib untuk menghilangkannya terlebih dahulu supaya sampai air ke bawahnya

Pandangan kedua: Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin dan para ulama’ yang sependapat dengan beliau, berpandangan bahawa tidak wajib untuk menghilangkan kotoran di bawah kuku tersebut (Rujuk Syarah al-Yaqut al-Nafis, hlm. 69).

Kami lebih cenderung untuk memilih pandangan yang pertama untuk berjaga-jaga kerana dikhuatiri kotoran tersebut menghalang kulit dari terkena air dan sebagai langkah untuk keluar daripada khilaf. Oleh itu, kita hendaklah menghilangkan dahulu kotoran yang ada di bawah kuku sebelum mengambil wudu’ atau mandi wajib.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan penerangan di atas, kami menyimpulkan bahawa daki tidak menghalang air daripada terkena kulit. Oleh itu, sah mandi wajib dan juga wuduk walaupun terdapat daki di anggota badan yang dibasuh. Walaubagaimanapun, lebih baik sekiranya ia digosok dan dihilangkan ketika mandi untuk memastikan badan kita benar-benar bersih.

Manakala, berkaitan kotoran di bawah kuku pula, pada kebiasaannya adalah disebabkan dari benda kotor asing dan bukan dari tindakbalas semulajadi badan, maka wajib untuk menghilangkannya terlebih dahulu sebelum berwuduk dan mandi wajib.

Wallahu a’lam.