Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1262: IKTIBAR & PENGAJARAN DARIPADA PEPERANGAN AL-QADISIYYAH

Gambar al Qadisiyyah

 

SOALAN

Bolehkah SS Datuk Seri Mufti ceritakan dengan serba ringkas mengenai peperangan al-Qadisiyyah dan pengajaran yang kita boleh ambil daripada peristiwa tersebut?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari

Terdapat banyak catatan kemenangan umat Islam dalam peperangan dan pembukaan yang telah direkodkan dalam kitab-kitab tarikh Islam, sama ada dalam kitab-kitab turath mahupun moden. Salah satu daripada catatan kemenangan bersejarah buat umat Islam adalah kejayaan dalam peperangan al-Qadisiyyah. Untuk edisi kali ini, kami akan kongsikan latar belakang secara ringkas mengenai peperangan ini dan iktibar serta pengajaran yang boleh kita ambil berdasarkan peristiwa bersejarah dalam tarikh umat Islam.

 

Latar Belakang Peperangan

Peperangan al-Qadisiyyah telah berlaku pada tahun ke-14 Hijrah. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang sangat hebat di antara tentera Islam di era pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA dan dipimpin oleh panglima perang yang disegani, Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bertembung dengan tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum bin Farrukhzad al-Armani. Tarikh at-Tobari (3/487).

Kekuatan tentera Islam yang menyertai peperangan ini dianggarkan seramai sekitar 30,000 sehingga 36,000 orang, yang mana 300 lebih daripada mereka adalah para sahabat Nabi SAW, 70 lebih daripada mereka adalah di kalangan ahli Badar, dan sejumlah 700 orang anak-anak para Sahabat RadhiyaAllahu ‘anhum. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/616), Tarikh at-Tobari (3/487).

Tentera Parsi yang terlibat dalam peperangan ini adalah dalam sekitar 80,000 orang. Riwayat lain mengatakan tentera Parsi adalah seramai 120,000 orang berserta 33 ekor gajah. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/619)

Dalam peperangan ini, Sa’ad bin Abi Waqqas RA tidak dapat menyertai tentera Islam untuk berperang secara lansung kerana keuzuran yang menimpanya. Dia telah memberi arahan kepada tentera Muslimin daripada Istana lama yang mana dia berehat di dalamnya. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/629).

 

Sebelum Tercetusnya Peperangan

Ketika mana kedua-dua tentera sudah bersedia untuk bertempur, Rustum telah meminta dihantar kepadanya seorang yang bijak dan berilmu di kalangan tentera Islam untuk berdialog dengannya. Maka, Sa’ad RA menghantar al-Mughirah bin Syu’bah RA.

Ketika dialog antara mereka berdua sedang berjalan, Rustum telah mencuba untuk memujuk al-Mughirah RA agar mereka tidak diserang dengan mengatakan mereka adalah jiran kepada umat Islam dan tidak melakukan kejahatan terhadap umat Islam, bahkan tidak menghalang umat Islam dari masuk dan berniaga di negara mereka. Al-Mughirah RA menjawab bahawa umat Islam tidak mengejar dunia, tetapi ingin menyeru kepada Islam dan mentauhidkan Allah seterusnya menerangkan asas-asas Islam kepada Rustum. Jika mereka tidak mahu menerima Islam, maka mereka perlu membayar jizyah kepada kerajaan Islam.

Penerangan dan dakwah yang disampaikan oleh al-Mughirah serta tawaran yang diberikan telah menarik minat Rustum. Selepas sesi dialog tersebut, Rustum berbincang dengan pembesar-pembesar kaumnya tentang perkara tersebut, namun mereka menolak untuk memeluk agama Islam ataupun membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/621).

Kemudian, Sa’ad RA mengutus Rib’i bin ‘Amir RA pada hari berikutnya[1], seterusnya Huzaifah bin Mihsan RA dan yang terakhir, sekali lagi Sa’ad mengutuskan al-Mughirah RA untuk berdialog serta menyampaikan mesej Islam kepada Rustum dan pembesar-pembesarnya. Namun, Rustum dan pembesar-pembesarnya menolak untuk menerima Islam atau membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah (9/622-623).

 

Perang 4 Hari

Setelah jalan pendamaian menemui jalan buntu, maka peperangan antara tentera Islam dan tentera Parsi pun meletus selama lebih kurang 4 hari. Pada hari pertama, peperangan berlanjutan sehingga ke waktu Subuh, namun kedua-dua pasukan kental bertahan dan tiada tanda-tanda peperangan akan tamat. Tentera Islam menghadapi kesukaran untuk menembusi tentera Parsi yang menggunakan gajah sebagai senjata utama dalam tentera mereka.

Pada hari berikutnya, umat Islam memperolehi bantuan tentera daripada Syria yang baru selesai menghadapi peperangan Yarmuk dan peperangan berterusan sehingga hari keempat. Pada hari keempat, telah berlaku ribut pasir yang sangat kuat sehingga terangkat khemah-khemah tentera Parsi. Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum Muslimin untuk menyerang tentera Parsi dalam ribut pasir tersebut sehingga terbunuhnya Rustum di tangan Hilal bin Ullafah al-Taimi. Pembunuhan Rustum telah menjatuhkan moral tentera-tentera Parsi, seterusnya membawa kepada kemenangan besar tentera Islamke atas tentera Parsi. Lihat al-Kamil fi at-Tarikh (2/302-316), Tarikh at-Tobari (3/529-579)

Kemenangan umat Islam dalam peperangan ini menjadi titik tolak kepada kejatuhan empayar Parsi serta penguasaan umat Islam terhadap negeri-negeri di bawah taklukan kerajaan Parsi dan kawasan sekitarnya.

 

Beberapa Iktibar dan Pengajaran daripada Peperangan al-Qadisiyyah

  1. Islam adalah agama rahmat. Jalan peperangan merupakan jalan yang terakhir selepas seruan dakwah dan tawaran bayaran jizyah ditolak oleh sesuatu kaum. Prinsip ini dapat dilihat apabila Sa’ad RA telah menghantar beberapa orang wakil untuk menyatakan dan memberikan pilihan yang Islam tawarkan. Selepas tawaran ditolak dan jalan pendamaian menemui jalan buntu, barulah jalan peperangan dipilih untuk menegakkan agama Allah.
  1. Kewajipan menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Walaupun sudah berada di ambang peperangan, kewajipan menyampaikan dakwah, menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran tetap diteruskan melalui utusan-utusan yang telah dihantar oleh panglima perang tentera Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas RA. Utusan-utusan yang telah dihantar tersebut dengan berani dan tanpa rasa gentar telah menyatakan kebenaran walaupun berada di kubu musuh dan di hadapan panglima perang mereka.
  1. Keangkuhan membawa kepada kehancuran. Orang-orang Parsi dengan angkuhnya menolak tawaran yang ditawarkan kepada mereka, bahkan mereka menghina utusan-utusan yang telah dihantar kepada mereka. Akibatnya, mereka telah ditewaskan dalam peperangan ini dengan kekalahan yang sangat teruk.
  1. Tidak lari daripada tanggungjawab walaupun diuji. Kita boleh mengambil semangat dan tauladan yang telah ditunjukkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas RA yang terus memimpin tentera Islam dan tidak lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atasnya oleh Khalifah Umar al-Khattab RA mengikut kemampuannya ketika itu walaupun ketika itu sedang jatuh sakit.
  1. Bantuan daripada Allah kepada mereka yang benar-benar berjuang. Pada hari keempat peperangan al-Qadisiyyah, bantuan Allah yang berupa angin ribut telah menjadi sebab kepada kemenangan umat Islam. Ini adalah bantuan daripada Allah kepada tentera-tentera Islam yang tidak berputus asa dan ikhlas untuk berjuang walaupun menghadapi kesukaran menewaskan tentera Parsi yang dilengkapi dengan tentera bergajah.

 

Kesimpulan

Ini hanyalah beberapa catatan ringkas mengenai kisah peperangan agung di dalam sejarah Islam, iaitu peperangan al-Qadisiyyah serta beberapa pengajaran dan iktibar di sebalik peristiwa ini. Kami mengesyorkan kepada semua umat Islam untuk membaca, menganalisis dan meneliti kisah dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa peperangan al-Qadisiyyah. Untuk mengetahui kisah peperangan al-Qadisiyyah dengan lebih mendalam dan terperinci, kami ingin mencadangkan beberapa buah kitab yang ada membicarakan secara khusus tentang peperangan ini:

  • Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan al-Hafiz ibn Kathir Rahimahullah, jilid ke-9, muka surat 618 sehingga 635.
  • Kitab Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk (Tarikh at-Tobari) karangan Imam ibn Jarir at-Tobari Rahimahullah, jilid ke-3, muka surat 477 sehingga 579.
  • Kitab al-Kamil fi at-Tarikh karangan Imam ‘Izzudin ibn al-Athir Rahimahullah, jilid ke-2, muka surat 284 sehingga 316.

Semoga peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam dapat kita ketahui dengan sebaiknya, seterusnya mampu menjadikannya sebagai satu iktibar dan pengajaran untuk kita teladani serta sebagai suatu motivasi buat seluruh umat Islam di masa kini yang menghadapi pelbagai ujian dan tekanan daripada pelbagai aspek. 

 

[1] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan artikel yang berkaitan dengan dialog antara Rib’i bin ‘Amir dengan Rustum. Boleh baca artikel tersebut di pautan: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2858-al-kafi-948-dialog-rib-i-ibn-amir-dengan-panglima-parsi-rustum