Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

doa remeh.PNG

Soalan:

Apakah hukumnya jika saya sering berdoa dan meminta perkara-perkara yang remeh-temeh kepada Allah SWT? Contohnya agar diberi peluang makan di restoran yang bagus, atau supaya lampu isyarat merah cepat-cepat bertukar kepada lampu hijau. Jazakallah khair.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Surah Ghafir (60)

Ayat ini merupakan jaminan daripada Allah SWT, bahawa Dia akan mengabulkan setiap permintaan hamba-Nya yang berdoa.

 

Doa perkara kecil dan remeh?

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ

Maksudnya: Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.

Jami’ Tirmizi (3604)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri sewaktu mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa milik Allah lah seluruh khazanah kekayaan, dan tiada Pemberi selain-Nya; maka mintalah apa sahaja dari-Nya hatta perkara-perkara yang ringan, kecil dan remeh. Sesungguhnya jika Allah SWT tidak memudahkan suatu urusan, nescaya ia tidak akan menjadi mudah untuk kita mendapatkannya. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami al-Tirmizi, 10/52)

Hakikatnya, segala apa yang kita perolehi di dunia ini datangnya daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadits qudsi, Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلاَّ مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعِمُونِي أُطْعِمْكُمْ يَا عِبَادِي كُلُّكُمْ عَارٍ إِلاَّ مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ

Maksudnya: Wahai hamba-Ku, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang Aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaku, niscaya aku akan berikan. Wahai hamba-Ku, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepada-Ku, niscaya akan aku berikan.

Sahih Muslim (2577).

Menurut Imam Ibn Rejab al-Hanbali, hadith ini menjadi dalil bahawa Allah SWT suka akan hamba-Nya yang meminta daripada-Nya segala permintaan yang berkaitan dengan maslahah ukhrawi dan duniawi, sama ada makanan, minuman, pakaian dan lain-lainya, sebagaimana dia berdoa supaya dikurniakan hidayah dan petunjuk. Kerana itu, sewaktu berdoa, kita sebenarnya sedang menzahirkan rasa kebergantungan dan betapa perlunya kita kepada Allah SWT. (Rujuk Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/38)

Perhatikan juga pesanan Rasulullah SAW kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

 إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ

Maksudnya: Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu.

Jami’ Tirmizi (2516)

Allah SWT juga berfirman:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ ثُمَّ رَزَقَكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

Maksudnya: Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu;

Surah al-Rum (40)

Memandangkan Allah SWT lah yang mencipta dan memberikan rezeki, maka kepada siapa lagi yang berhak untuk kita meminta segala hajat dan keperluan?

 

Kesimpulan

Tuntasnya, meminta dan berdoa perkara-perkara yang kecil dan remeh kepada Allah SWT bukan setakat dibolehkan, bahkan ia sebenarnya satu anjuran yang dipesan oleh Nabi SAW kepada umat Baginda.

Permintaan kita kepada Allah SWT hatta dalam sekecil-kecil perkara juga menunjukkan betapa tingginya pergantungan kita kepada-Nya. Ini menunjukkan bahawa sebagai hamba, kita sebenarnya tidak akan pernah mampu berlepas diri daripada Allah hatta sesaat, dan kita akan sentiasa memerlukan pertolongan dan ‘inayah dari-Nya.

Renungilah firman Allah SWT:

كَلَّا إِنَّ الْإِنسَانَ لَيَطْغَىٰ ﴿٦﴾ أَن رَّآهُ اسْتَغْنَىٰ ﴿٧﴾ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ الرُّجْعَىٰ ﴿٨﴾

Maksudnya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6) Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (7) (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).

Surah al-‘Alaq (6-8)

Ayat ini memberi peringatan agar tidak sesekali merasa cukup daripada berdoa dan meminta kepada Allah SWT, kerana akhirnya, kepada Allah jualah kembalinya segala perkara dan urusan.

Wallahu a’lam.