Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

kilang arak.JPG

 

Soalan

Saya bekerja di kilang mengeluarkan botol kaca. 60% pelanggan daripada syarikat ini adalah pengeluar arak dan 40% pengeluar makanan. Apakah status pendapatan saya? Dan hukum bekerja di sini. Minta penjelasan daripada Mufti.

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Sunan Tirmizi (1295)

Hadith ini merupakan satu dalil jelas betapa perlunya kita menjauhi diri daripada melibatkan diri dengan amalan meminum arak dan industri pembuatannya.

Berkenaan isu yang ditanya, suka kami bawakan pandangan Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.

Beliau membawakan huraian daripada Syeikh Abu Hamid al-Isfirayini tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “...seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber daripada perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari sumber haram atau tidak, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan ia berasal dari sumber yang halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan; tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir 1/74-75).

Maka dalam konteks persoalan yang diajukan, tidak dapat dipastikan samada botol yang dihasilkan pekerja itu digunakan untuk arak atau tidak, dan tidak dipastikan juga samada hasil pendapatannya bersumber daripada jualan botol untuk arak atau tidak. Maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu iaitu harus.

Ini juga fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Nuh Ali Salman, mantan Mufti kerajaan Jordan pada tahun 2010 apabila ditanyakan dengan soalan yang sama. Menurut beliau, kebanyakan manusia adalah bercampur-baur sumber harta mereka daripada sumber yang halal dan haram. (Rujuk pautan https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=715#.XcLY4egzY2w )

Selain itu, Majelis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 2014 juga pernah mengeluarkan pandangan hukum yang sama berkenaan isu ini, di mana pada asasnya seorang Muslim itu diharuskan untuk bekerja di kilang penghasilan botol umum (bukan kilang yang khusus untuk penghasilan botol arak). Jika kebetulan botol tersebut kemudian digunakan untuk arak, maka ia berada di luar bidang kuasa dan kawalan pekerja tersebut.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa hukum bekerja di kilang yang menghasilkan produk-produk seperti botol, tin dan plastik yang dipasarkan kepada umum adalah harus. Adapun jika didapati sebahagian produk yang dihasilkan digunakan untuk arak, maka ia berada diluar kawalan pekerja tersebut. Namun jika kilang tersebut sememangnya menghasilkan produk yang khusus untuk arak, maka bekerja di kilang tersebut adalah haram tanpa ragu.

Namun demikian, kami juga menasihatkan carilah pekerjaan yang tiada sebarang syubhah kerana ia bersifat lebih aman dan tenang jiwa. Walaupun begitu jika kita merasa sukar mencari pekerjaan yang lain disebabkan keadaan tertentu, maka boleh bekerja di tempat tersebut dengan syarat kita tidak redha dengan syubhat yang dijalankan syarikat tersebut, disamping pada masa sama berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang lebih selamat dan mententeramkan jiwa. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu dan ambillah apa yang tidak meragukanmu.

Sunan al-Nasa’ie (5711)

Sabda Baginda SAW lagi:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.

Sahih al-Bukhari (52) dan Sahih Muslim (20)

Wallahu a’lam.