Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1442

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah hukum memberi tumpang naik motor kepada seorang mak cik yang berumur 60 tahun dan telah putus haid ? Adakah dikira berdosa sekiranya ia telah berlaku ? Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perbuatan menumpang di belakang seseorang dengan menaiki kenderaan sama ada haiwan tunggangan seperti unta, kuda, keldai, dan selainnya, atau dengan menggunakan kenderaan moden seperti motosikal, disebut sebagai الإرداف di dalam bahasa Arab.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَرْدَفَ الْفَضْلَ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W menjadikan Al-Fadhl (bin Al Abbas) menumpang di belakang baginda (di atas haiwan tunggangan).

Riwayat Al-Bukhari (1685)

Maka jelas dari riwayat di atas ini akan keharusan untuk orang lelaki menjadi penumpang kepada pemandu atau pembonceng lelaki. Demikian juga dibolehkan bagi seorang perempuan menjadi penumpang kepada suaminya, begitulah juga boleh bagi seorang suami menjadi penumpang kepada isterinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

 أَقْبَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ خَيْبَرَ، وَإِنِّي لَرَدِيفُ أَبِي طَلْحَةَ وَهْوَ يَسِيرُ وَبَعْضُ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَدِيفُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Kami datang daripada Khaibar bersama dengan Rasulullah S.A.W dan aku menjadi penumpang kepada Abu Talhah dan beliau memandu. Dan sebahagian isteri Rasulullah S.A.W menjadi penumpang kepada baginda S.A.W.

Riwayat Al-Bukhari (5968)

Manakala dalam isu pembonceng dan penumpang yang berlainan jantina dalam erti kata bukan mahram atau bukan suami isteri, maka disebutkan dalam Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

وَأَمَّا إِرْدَافُ الْمَرْأَةِ لِلرَّجُل الأْجْنَبِيِّ، وَالرَّجُل لِلْمَرْأَةِ الأْجْنَبِيَّةِ فَهُوَ مَمْنُوعٌ، سَدًّا لِلذَّرَائِعِ، وَاتِّقَاءً لِلشَّهْوَةِ الْمُحَرَّمَةِ

Maksudnya: Adapun seorang perempuan menumpang (di belakang) seorang lelaki yang ajnabi, dan seorang lelaki menumpang di belakang seorang perempuan yang ajnabiyyah, maka ia adalah dilarang (mengikut konsep) sad al-zarai’ (iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada keharaman). Serta suatu langkah berjaga-jaga dari syahwat yang diharamkan. Rujuk Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah (3/91).

Meskipun begitu, tidak dinafikan bahawa ada juga pendapat yang menyebutkan bahawa boleh bagi seorang perempuan menjadi penumpang di belakang pembonceng motosikal yang bukan mahram sekiranya lelaki tersebut merupakan seorang yang terpercaya peribadinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ bint Abu Bakr R.Anha beliau menceritakan kepada Al-Zubair dalam sebuah riwayat :

وَكُنْتُ أَنْقُلُ النَّوَى مِنْ أَرْضِ الزُّبَيْرِ الَّتِي أَقْطَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى رَأْسِي وَهْىَ عَلَى ثُلُثَىْ فَرْسَخٍ - قَالَتْ - فَجِئْتُ يَوْمًا وَالنَّوَى عَلَى رَأْسِي فَلَقِيتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَمَعَهُ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِهِ فَدَعَانِي ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ إِخْ إِخْ ‏"‏ لِيَحْمِلَنِي خَلْفَهُ - قَالَتْ - فَاسْتَحْيَيْتُ وَعَرَفْتُ غَيْرَتَكَ فَقَالَ وَاللَّهِ لَحَمْلُكِ النَّوَى عَلَى رَأْسِكِ أَشَدُّ مِنْ رُكُوبِكِ مَعَهُ

Maksudnya: Aku pada suatu hari memindahkan biji-biji kurma (dengan meletakkannya di atas kepalaku) daripada tanah yang telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W kepada Al-Zubair dan tanah tersebut seluas dua pertiga farsakh. Maka beliau (Asma’) berkata: ‘’Maka aku pun datang pada satu hari dalam keadaan biji-biji kurma berada di atas kepalaku kemudian aku pun bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan bersama dengan baginda beberapa orang dari kalangan sahabat. Lalu baginda memanggil aku dan berkata ‘ikh’ ‘ikh’ untuk membawa aku di belakang baginda. Maka aku pun berasa malu dan aku tahu akan kecemburuanmu (Al-Zubair). Maka Al-Zubair pun berkata: ‘’Demi Allah, kamu memikul bijian kurma di atas kepala mu itu lebih berat berbanding kamu menaiki kenderaan bersama baginda.’’

Riwayat Muslim (2182)

Berdasarkan hadis di atas, Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini meletakkannya di bawah tajuk berikut :

باب جَوَازِ إِرْدَافِ الْمَرْأَةِ الأَجْنَبِيَّةِ إِذَا أَعْيَتْ فِي الطَّرِيقِ 

Maksudnya : Bab keharusan membawa seorang perempuan ajnabiyyah untuk menumpang di belakang apabila dia keletihan di jalanan.

Justeru, dapat difahami bahawa secara fekahnya Imam Al-Nawawi berpandangan bahawa harus hukumnya untuk menumpangkan seorang perempuan ajnabiyyah di belakang kenderaan sekiranya kita menemukannya dalam keadaan yang letih (dalam kes ini Asma’ mengangkat bijian kurma di atas kepala).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang kami kemukakan di atas, secara asasnya hukum berduaan di atas motosikal bersama individu yang bukan mahram adalah dilarang. Meskipun begitu, sekiranya seseorang lelaki yang terpercaya dari sudut agama dan keperibadiannya, ingin menumpangkan seorang wanita tua atas dasar belas ehsan dan ingin membantu, kami berpendapat bahawa hal ini diharuskan. Ini ditambah lagi apabila ternafinya syahwat dan terhindarnya fitnah yang mengharamkan dari perbuatan tersebut.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.