Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2004: HUKUM MEMAKAI CINCIN PADA IBU JARI BAGI KAUM LELAKI

HUKUM_MEMAKAI_CINCIN_PADA_IBU_JARI_BAGI_KAUM_LELAKI.jpg

Soalan

Assalammualaikum WBT

Saya ingin bertanya berkenaan hukum lelaki memakai cincin di ibu jari, kerana saya ada membaca yang dilarang lelaki memakai cincin di jari tengah dan telunjuk tetapi tidak dinyatakan Ibu Jari.

كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم- فِى هَذِهِ. وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى

Maksudnya: Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya)

(Riwayat Muslim)

Ringkasan Jawapan

Hukum memakai cincin pada ibu jari bagi kaum lelaki adalah makruh sebagaimana hukum memakainya pada jari telunjuk dan jari tengah.

Huraian Jawapan

Dalam Islam golongan lelaki diharuskan memakai cincin yang diperbuat daripada perak bahkan menurut mazhab al-Syafi’i pemakaian cincin adalah disunatkan. Ibn Muflih menyebutkan bahawa afdal memakai cincin pada tangan kanan kerana ia lebih utama untuk dimuliakan. Menurut beliau lagi, makruh bagi lelaki memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah begitu juga ibu jari.

Sunnah bagi lelaki memakai cincin pada jari kelingking. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi, kata beliau:

وَأَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ السُّنَّةَ جَعْلُ خَاتَمِ الرَّجُلِ فِي الْخِنْصَرِ

Maksudnya: Ulama telah bersepakat bahawa sunat memakai cincin pada jari kelinking bagi lelaki.

Hal ini juga terpakai pada jari kelingking tangan kiri namun lebih diutamakan ialah pada jari kelingking tangan kanan.

Syeikh Ibrahim al-Bajuri menyebutkan bahawa memakai cincin pada jari kelingking tangan kiri hukumnya tidak makruh bahkan ia tetap dikira menepati amalan sunnah namun afdal memakainya pada jari kelingking tangan kanan.

Kesimpulan

Hukum memakai cincin pada ibu jari bagi kaum lelaki adalah makruh sebagaimana hukum memakainya pada jari telunjuk dan jari tengah.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan:

  1. Ibn Muflih Ibrahim bin Muhammad, al-Mubdiʻ fi Syarh al-Muqniʻ (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 2: hlm. 364. الْيَمِينُ أَفْضَلُ، لِأَنَّهَا أَحَقُّ بِالْإِكْرَامِ، وَيُكَرَهُ فِي السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى لِلنَّهْيِ عَنْهُ، قَالَ أَبُو الْمَعَالِي: وَالْإِبْهَامُ مِثْلُهُمَا
  2. Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392), jld. 14: hlm. 71.
  3. Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri, al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala al-Syama’il al-Muhammadiyyah, ed. ‘Imad Zaki al-Barudi (Kaherah: Dar Mustafa li al-Tibaʻah, 2015), hlm. 187. وبالجملة: فالتختم في اليسار ليس مكروهًا ولا خلاف الأولى بل هو سنة لكنه في اليمين أفضل.