Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2006: KIRAAN TUJUH HARI SELEPAS KELAHIRAN YANG DISUNATKAN AKIKAH

KIRAAN_TUJUH_HARI_SELEPAS_KELAHIRAN_YANG_DISUNATKAN_AKIKAH.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, bagaimanakah kaedah pengiraan tujuh hari selepas kelahiran yang disunatkan untuk melakukan akikah? Adakah hari pertama itu bermula pada hari kelahiran bayi atau bermula sehari selepas kelahiran bayi ? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti

Ringkasan Jawapan

Para ulama berpandangan bahawa hari kelahiran bayi termasuk dalam tujuh hari yang disunatkan untuk melakukan akikah. Namun, sekiranya bayi itu dilahirkan pada malam hari, maka hari pertama itu tidak dihitung bermula malam tersebut bahkan bermula pada keesokkan harinya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Allah SWT telah mensyariatkan ibadat akikah bagi bayi yang baru dilahirkan. Hukum akikah adalah sunat muakkad sebagaimana ibadat korban. Justeru itu, wali yang menanggung bayi tersebut disunatkan melakukan akikah kerana mengikuti perbuatan Rasulullah SAW dan para sahabat. Berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى ‏

Maksudnya: “Setiap anak (yang baru dilahirkan) tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh kelahirannya, kemudian dicukur (kepalanya) dan diberikan nama.”

(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa ibadat akikah bermula selepas kelahiran bayi sehingga dia mencapai umur baligh. Namun apabila anak itu telah mencapai umur baligh dan belum sempat diakikahkan oleh bapa atau datuknya, maka anak tersebut boleh melakukan akikah bagi dirinya sendiri. Waktu penyembelihan akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu bahkan ia merupakan waktu yang paling afdal. Sekiranya tidak sempat, maka boleh dilaksanakan pada hari ke-14, hari ke-21 dan seterusnya.

Para ulama mazhab Syafi’i berbeza pandangan berkenaan kiraan tujuh hari selepas kelahiran bayi yang disunatkan akikah. Pandangan pertama yang disebutkan oleh Imam al-Qaffal al-Syasyi dan sebahagian ulama bahawa hari kelahiran termasuk dalam kiraan tujuh hari yang disunatkan akikah. Manakala pandangan kedua menyatakan bahawa hari kelahiran tidak termasuk dalam kiraan tujuh hari yang disunatkan akikah. Ini adalah pendapat yang disebutkan oleh Imam al-Buwaiti namun pandangan pertama dianggap lebih kuat kerana ia bersesuaian dengan zahir hadis. 

Perkara Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

وَيُحْسَبُ مِنَ السَّبْعَةِ يَوْمَ الْوِلَادَةِ عَلَى الْأَصَحِّ

Maksudnya: “Dihitung daripada tujuh hari tersebut bahawa ia termasuk hari kelahiran menurut pandangan yang kuat”.

Walau bagaimanapun, sekiranya bayi dilahirkan pada malam hari maka perkiraan hari pertama itu bermula pada keesokkan harinya menurut kesepakatan ulama. Bahkan perkiraan hari kelahirannya pada malam hari tersebut tidak dikira sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Buwaiti.

Kesimpulan

Para ulama berpandangan bahawa hari kelahiran bayi termasuk dalam tujuh hari yang disunatkan untuk melakukan akikah. Namun, sekiranya bayi itu dilahirkan pada malam hari, maka hari pertama itu tidak dihitung bermula malam tersebut bahkan bermula pada keesokkan harinya.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan:

1. Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. al-Minhaj al-Qawim. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2000). Hlm 310.

ووقتها من الولادة إلى البلوغ، ثم يعق عن نفسه، والأفضل في اليوم السابع، فإن لم يذبح فيه ففي الرابع عشر وإلا ففي الحادي والعشرين

2. Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.(Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). 8/431.

وَهَلْ يُحْسَبُ يَوْمُ الْوِلَادَةِ مِنْ السَّبْعَةِ فِيهِ وَجْهَانِ حَكَاهُمَا الشَّاشِيُّ وَآخَرُونَ (أَصَحُّهُمَا) يُحْسَبُ فَيُذْبَحُ فِي السَّادِسِ مِمَّا بَعْدَهُ (وَالثَّانِي) لَا يُحْسَبُ فَيُذْبَحُ فِي السَّابِعِ مِمَّا بَعْدَهُ وَهُوَ الْمَنْصُوصُ فِي الْبُوَيْطِيِّ وَلَكِنَّ الْمَذْهَبَ الْأَوَّلُ وَهُوَ ظَاهِرُ الْأَحَادِيثِ

3. Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.(Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). 8/431.

فَإِنْ وُلِدَ فِي اللَّيْلِ حُسِبَ الْيَوْمُ الَّذِي يَلِي تِلْكَ اللَّيْلَةَ بِلَا خِلَافٍ نَصَّ عَلَيْهِ فِي الْبُوَيْطِيِّ مَعَ أَنَّهُ نَصَّ فِيهِ أَنْ لَا يُحْسَبَ الْيَوْمُ الَّذِي وُلِدَ فِيهِ