Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2054: BOLEHKAH MEMEGANG WANG KERTAS YANG DITULIS DI ATASNYA AYAT AL-QURAN TANPA BERSUCI

BOLEHKAH_MEMEGANG_WANG_KERTAS_YANG_DITULIS_DI_ATASNYA_AYAT_AL-QURAN_TANPA_BERSUCI.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya ada menerima wang kertas yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Soalan saya bolehkah saya memegang duit tersebut dalam keadaan tidak berwuduk. Setahu saya memegang ayat al-Quran mestilah dalam keadaan berwuduk. Mohon penjelasan SS Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Tidak diwajibkan untuk bersuci ketika memegang dan membawa wang kertas yang ditulis di atasnya ayat al-Quran, ini kerana wang tersebut tidak dikategorikan sebagai mushaf. Selain itu juga, wang tersebut boleh dibawa masuk ke dalam tandas dengan dipastikannya terhindar daripada terkena kekotoran serta najis bagi menjaga kesucian ayat al-Quran. Wang yang rosak akibat diconteng dan seumpamanya boleh ditukar untuk dilakukan proses pelupusan di mana-mana instusi kewangan atau Bank Negara.

Huraian Jawapan

Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Para ulama dalam kalangan empat mazhab mensyaratkan bahawa individu yang ingin menyentuh dan membawa mushaf al-Quran mestilah suci daripada hadas kecil atau besar.[1] Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;.”

(Surah al-Waqi’a 79)

Dalam isu menyentuh dan membawa wang kertas yang ditulis ayat al-Quran di atasnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i, seseorang yang berhadas dibenarkan untuk membawa dan menyentuh wang yang diukir ayat al-Quran, ini kerana wang tersebut tidak dikategorikan sebagai mushaf.[2]

Begitu juga, kertas yang bertulis ayat al-Quran sebagai contoh azimat dan seumpamanya yang ditulis bukan untuk tujuan pembelajaran, maka tidak disyaratkan bersuci untuk menyentuh dan membawanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syirwani.[3] Menurut beliau lagi, perkara ini sebagaimana surat yang dihantar oleh Baginda SAW kepada Raja Hercules yang ditulis padanya ayat al-Quran dan Baginda SAW tidak memerintahkan supaya utusan surat tersebut untuk bersuci.[4] Dalam hal ini juga, wang yang ditulis ayat al-Quran boleh dibawa masuk ke dalam bilik mandi dengan memastikan terhindar daripada kekotoran.[5] Manakala sunat tidak dibawa masuk wang yang ditulis ayat al-Quran masuk ke dalam tandas namun tidaklah wajib untuk meninggalkannya.[6]

Kesimpulan

Tidak diwajibkan untuk bersuci ketika memegang dan membawa wang kertas yang ditulis di atasnya ayat al-Quran, ini kerana wang tersebut tidak dikategorikan sebagai mushaf. Selain itu juga wang tersebut boleh dibawa masuk ke dalam tandas dengan dipastikan terhindar daripada terkena kotoran dan najis bagi menjaga kesucian ayat al-Quran, namun sunat tidak dibawa ke dalamnya. Wang yang rosak akibat diconteng dan seumpamanya boleh ditukar untuk dilakukan proses pelupusan di mana-mana institusi kewangan atau Bank Negara.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Kuwait: Dar al-Salasul, 1404-1427H) Jdl. 17 Hlm. 127

لاَ يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ الْمُصْحَفِ كُلِّهِ أَوْ بَعْضِهِ عِنْدَ فُقَهَاءِ الْمَذَاهِبِ الأَْرْبَعَةِ، لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {لاَ يَمَسُّهُ إِلاَّ الْمُطَهَّرُونَ} وَلِقَوْلِهِ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ: لاَ تَمَسَّ الْقُرْآنَ إِلاَّ وَأَنْتَ طَاهِرٌ

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Tibyan fi Adam Hamlah al-Quran. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1414H) Hlm. 194

إذا مس المحدث أو الجنب أو الحائض أو حمل كتابا من كتب الفقه أو غيره من العلوم وفيه آيات من القرآن أو ثوبا مطرزا بالقرآن أو دراهم أو دنانير منقوشة به أو حمل متاعا في جملته مصحف أو لمس الجدار أو الحلوى أو الخبز المنقوش به فالمذهب الصحيح جواز هذا كله لأنه ليس بمصحف وفيه وجه أنه حرام

[3] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, 1357H) Jld. 1 Hlm. 149)

(وَمَا كُتِبَ لِدَرْسِ قُرْآنٍ إلَخْ) بِخِلَافِ مَا كُتِبَ لِغَيْرِ ذَلِكَ كَالتَّمَائِمِ الْمَعْهُودَةِ عُرْفًا نِهَايَةٌ عِبَارَةُ الْمُغْنِي أَمَّا مَا كُتِبَ لِغَيْرِ دِرَاسَةٍ كَالتَّمِيمَةِ، وَهِيَ وَرَقَةٌ يُكْتَبُ فِيهَا شَيْءٌ مِنْ الْقُرْآنِ وَيُعَلَّقُ عَلَى الرَّأْسِ مَثَلًا لِلتَّبَرُّكِ وَالثِّيَابِ الَّتِي يُكْتَبُ عَلَيْهَا وَالدَّرَاهِمِ كَمَا سَيَأْتِي فَلَا يَحْرُمُ مَسُّهَا وَلَا حَمْلُهَا وَتُكْرَهُ كِتَابَةُ الْحُرُوفِ أَيْ مِنْ الْقُرْآنِ وَتَعْلِيقُهَا إلَّا إذَا جُعِلَ عَلَيْهَا شَمْعٌ أَوْ نَحْوُهُ وَيُسْتَحَبُّ التَّطَهُّرُ لِحَمْلِ كُتُبِ الْحَدِيثِ وَمَسِّهَا اهـ

[4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 1 Hlm. 150

مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج (1/ 150)

فَلَا يَحْرُمُ مَسُّهَا وَلَا حَمْلُهَا؛ لِأَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «كَتَبَ كِتَابًا إلَى هِرَقْلَ وَفِيهِ: {يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ} [آل عمران: 64] آلُ عِمْرَانَ الْآيَةَ وَلَمْ يَأْمُرْ حَامِلَهَا بِالْمُحَافَظَةِ عَلَى الطَّهَارَةِ»

[5] Ibid. Jld. 1 Hlm. 152

وَتَجُوزُ بِلَا كَرَاهَةٍ بِحَمَّامٍ وَطَرِيقٍ إنْ لَمْ يَلْتَهِ عَنْهَا، وَإِلَّا كُرِهَتْ

[6] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 2 Hlm. 73-74.

كان إذا دخل الخلاء أي أراد الدخول: أم حكم المسألة فاتفق أصحابنا على استحباب تنحية ما فيه ذكر الله تعالى عند إرادة دخول الخلاء ولا تجب التنحية وممن صرح بأنه مستحب المصنف وشيخه القاضي أبو الطيب في تعليقه والمحاملي في كتبه الثلاثة وابن الصباغ والشيخ نصر المقدسي في كتبه الثلاثة الانتخاب والتهذيب والكافي وآخرون قال المتولي والرافعي وغيرهما لافرق في هذا بين أن يكون المكتوب عليه درهما ودينارا أو خاتما أو غير ذلك وكذا إذا كان معه عوذة وهي الحروز المعروفة استحب أن ينحيه صرح به المتولي وآخرون وألحق الغزالي في الإحياء والوسيط بذكر الله تعالى اسم رسول الله صلى الله عليه وسلم وقال إمام الحرمين لا يستصحب شيئا عليه اسم معظم ولم يتعرض الجمهور لغير ذكر الله تعالى