Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan

Apakah yang dimaksudkan dengan tahallul dan apakah perbezaan di antara tahallul haji dan umrah?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tahallul dari segi bahasa ialah menjadi boleh atau dihalalkan. Menurut syarak pula perkataan tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam waktu ihram.

Dalam ibadah haji dan umrah, perbuatan tahallul dijadikan salah satu dari rukun dalam kedua-dua ibadah tersebut. Dalam erti kata lain, tidak sempurnalah ibadah haji atau umrah seorang jemah haji jika tidak melaksanakan rukun tahallul ini.

Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saei’ di dalam masjid al-haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram.

Talallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal dan tahallul thani.

Pertama, tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara serti dibawah.

  1. Melontar jamrah al-kubra
  2. Tawaf rukun dan saie’ (jika saie’ masih belum dilaksanakan)
  3. Bercukur atau bergunting

Dalam melaksanakan talallul awwal, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.

Kedua, tahallul thani ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram - insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) - Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath : 27)

Kesimpulan

Tahallul ialah pembebasan ataupun pelepasan ke atas setiap jemaah haji yang melakukan ihram. Dengan bertahallul, setiap larangan yang terdapat selepas pelaksanaan ihram dapat dibuat ataupun luputlah larangan tersebut seperti sediakala (sebelum ihram).

Dalam ibadah haji dan umrah, terdapat garisan-garisan yang menjadi perbezaan di antara tahallul haji dan umrah. Tahallul haji yang sempurna (tahallul thani) boleh dicapai apabila selesai melaksanakan ketiga-tiga perkara yang telah dinyatakan di atas. Manakala tahallul bagi umrah terjadi apabila melaksanakan bergunting ataupun bercukur rambut bagi mereka yang melaksanakan umrah. Justeru, setiap jemaah haji dan umrah harus tahu dan mengambil cakna berkenaan hal-hal tahallul ini kerana dibimbangi jika tidak diketahui dengan betul maka kita akan tergolong dari golongan yang akan dikenakan denda (dam) kerana melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.