Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 76

 

Soalan: Apakah terdapat fadhilat khusus berkaitan solat 40 waktu secara berjemaah di Masjid Nabawi?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab soalan di atas, suka bagi kami untuk menjelaskan bahawa masjid Nabawi merupakan salah satu masjid yang mulia kerana padanya terdapat kelebihan yang tidak terdapat pada masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram. Ini dijelaskan berdasarkan sebuah hadith yang sahih:

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”.
[Riwayat Muslim (1394)]

 

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa kelebihan solat di masjid al-Nabawi melebihi solat di masjid lain dengan seribu kali solat ganjaran yang diberikan melainkan solat di masjid al-Haram kerana ia melebihi seribu solat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 163/9]

Di samping itu juga, kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. [Riwayat al-Bukhari (1189)]

 

Melihat kepada hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kelebihan dan fadhilat yang terdapat pada masjid Nabawi dan kelebihan ini tidak terdapat di masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Aqsa. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan nas atau teks hadith yang menceritakan akan kelebihan sebagaimana yang disebutkan di atas:

 

Matan Hadith

Berikut adalah matan hadith yang menceritakan akan kelebihan solat 40 waktu di masjid Nabawi:

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي مَسْجِدِي أَرْبَعِينَ صَلَاةً، لَا يَفُوتُهُ صَلَاةٌ، كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ، وَنَجَاةٌ مِنَ الْعَذَابِ، وَبَرِئَ مِنَ النِّفَاقِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat di masjidku (masjid Nabawi) 40 kali solat (40 waktu) dalam keadaan dia tidak pernah terlepas walaupun satu solat (waktu) pun, akan ditulis baginya keselamatan daripada api neraka, pelepasan daripada azab dan terselamat daripada sifat munafiq”. [Riwayat Ahmad (12583)][Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (5444)]

 

Hukum Hadith

Berkaitan hukum hadith ini telah menjadi perselisihan daripada kalangan ulama’ kepada dua pendapat:

Pertama: Ulama’ yang menilai sebagai sahih kerana perawinya adalah thiqah. Antaranya ialah:

 

  • Imam Ibn Hibban menilai Nubaith bin Umar sebagai thiqah (dipercayai) yang mana Nubaith ini telah meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik dan telah meriwayatkan daripadanya Abdulrahman bin Abi al-Rijal. [Lihat: al-Thiqat, 5/483]
  • Imam al-Haithami mengatakan hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Thabarani di dalam al-Awsath dan perawinya adalah thiqah. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 4/8]
  • Imam al-Munziri berkata hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad serta perawinya adalah sahih dan diriwayatkan juga oleh al-Thabarani di dalam al-Awsath. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/139]

 

Kedua: Ulama’ yang menilai sebagai dha’if disebabkan jahalah (tidak diketahui keadaan) perawi bernama Nubaith bin Umar. Antara ulama’ yang menghukum hadith ini sebagai dha’if ialah:

  • Imam al-Thabarani mengatakan hadith ini tidak diriwayatkan oleh Anas melainkan daripada Nubaith bin Umar dan telah bertafarrud Ibn Abi al-Rijal. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath, 5/325]
  • Syeikh al-Albani juga menilai hadith ini sebagai munkar kerana sanad hadith dha’if disebabkan Nubaith tidak dikenali di dalam hadith ini. Walaupun begitu, Imam Ibn Hibban telah menilai Nubaith sebagai seorang perawi yang thiqah berdasarkan kaedahnya iaitu mengthiqahkan perawi-perawi yang majhul dan penilaian ini dijadikan sandaran utama oleh Imam al-Haithami dengan mengatakan perawi-perawi hadith ini adalah thiqah. Begitu juga, Imam al-Munziri mengatakan hal yang sama iaitu perawi-perawi hadith ini adalah sahih. Akan tetapi, ini adalah satu kesilapan kerana Nubaith bukanlah daripada kalangan perawi yang sahih dan Nubaith juga tidak termasuk di dalam perawi-perawi pemilik kutub sittah (al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa’ie dan juga Ibn Majah). [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, 1/540]
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini dha’if disebabkan keadaan perawi bernama Nubaith bin Umar tidak diketahui dan Abdulrahman bin Abi al-Rijal telah bertafarrud (menyendiri atau keseorangan) meriwayatkan hadith daripada Nubaith. [Lihat: Musnad Ahmad, 20/40]

 

Pendapat Yang Dipilih

Setelah melihat sebahagian perbahasan di atas, kami cenderung untuk mengatakan hadith tersebut adalah dha’if walaupun kedha’ifan itu sedikit dan ini juga merupakan pendapat sebahagian ulama’ kontemporari hadith iaitu Syeikh Abu Ishaq al-Huwaini, Syeikh Mustafa al-‘Adawi dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, hadith ini boleh diamalkan di dalam fadha’il al-‘Amal kerana dha’ifnya adalah ringan. Tambahan pula, terdapat sebuah hadith yang hampir dengan hadith di atas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُولَى كُتِبَ لَهُ بَرَاءَتَانِ: بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ، وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari secara berjemaah dalam keadaan dia tidak pernah terlepas takbir pertama (takbirat al-Ihram bersama imam), akan ditulis baginya dua pelepasan iaitu pelepasan daripada api neraka dan pelepasan daripada sifat munafiq”. [Riwayat al-Tirmizi (241)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai mawquf dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai dha’if [Lihat: al-Talkhis al-Habir, 2/68]. Akan tetapi, Syeikh al-Albani [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 4/631] mengatakan hadith ini mempunyai banyak jalur dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal].

Kesimpulannya, hadith solat selama 40 hari menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ berkaitan hukumnya. Akan tetapi, terdapat berbeza di antara hadith ini dengan hadith di atas kerana hadith ini mengatakan sesiapa yang solat selama 40 hari dan bukannya 40 waktu. Selain itu juga, hadith ini tidak menyebut masjid Nabawi sepertimana hadith solat 40 waktu di atas, bahkan sesiapa solat kerana Allah di mana-mana sahaja bukannya hanya di masjid Nabawi.

 

Keterangan Kami (Tarjih)

Setelah melihat kepada perbahasan di atas, difahami bahawa hadith yang menceritakan kepada kita akan kelebihan solat 40 waktu di masjid Nabawi adalah hadith yang menjadi pertikaian di antara para ulama’ akan kesahihannya. Untuk itu, sesiapa yang mampu dan berkesempatan untuk melaksanakannya maka itu adalah perkara yang baik kerana ia termasuk di dalam fadha’il al-‘Amal. Selain itu, barangsiapa yang tidak dikurniakan kesempatana atau kelapangan maka bukannlah menjadi kewajipan baginya untuk mengejar 40 waktu di atas kerana terdapat fadhilat atau ganjaran yang  lain berdasarkan hadith sahih sebagaimana yang kami nyatakan di atas iaitu solat di masjid al-Haram pahalanya adalah lebih besar berbanding solat di masjid Nabawi dan juga di masjid-masjid yang lain. Maka, beramal dengan hadith yang sahih atau disepakati akan kesahihannya adalah lebih utama untuk diamalkan dan dikejar berbanding beramal dengan hadith yang diperselisihi akan kesahihannya.

Di samping itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut mazhab al-Syafie serta jumhur memahami pengecualian di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa solat di masjid al-Haram adalah lebih baik berbanding masjid Nabawi adalah dengan mengatakan bahawa solat di masjid al-Haram lebih afdhal atau utama daripada solat di masjid al-Nabawi. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 163/9]

Ini menunjukkan bahawa ganjaran solat di masjid al-Haram adalah lebih besar berbanding solat di masjid Nabawi.

Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

 

Berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa ganjaran bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram adalah amat besar berbanding solat di masjid-masjid yang lain termasuklah di masjid Nabawi. Di samping itu juga, kita juga melihat terhadap amalan-amalan para jemaah yang datang ke Madinah, sebahagian besar mereka menetap di Madinah kurang daripada 8 hari. Dengan itu, difahami bahawa apabila seseorang itu tidak berada di Madinah selama 8 hari maka dia tidak berpeluang untuk menyempurnakan 40 waktu di masjid Nabawi.

Sehubungan dengan itu juga, hal ini didasarkan kepada amalan para ulama’  dan negara Islam yang mana mereka ini tidak mencukupkan keberadaan mereka di Madinah sehingga cukup 40 waktu solat di masjid Nabawi. Inilah yang biasa dilakukan oleh mereka dan ini juga melihat kepada suasana pertambahan kuota haji serta tempat yang begitu terhad. Maka kami katakan apa yang telah diatur oleh pihak pengurusan adalah lebih baik untuk diikuti bagi mengelakkan insiden atau kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.

Keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 27 Julai 2017 bersamaan 3 Zulkaedah 1438H turut bersetuju dengan pendapat yang membolehkan untuk jemaah tinggal di Madinah kurang daripada 40 waktu solat iaitu kurang dari 8 hari.

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak dinafikan lagi bahawa solat di masjid al-haram dan juga masjid Nabawi mempunyai kelebihan yang amat besar dan tersendiri. Dengan itu, kami nyatakan sekali lagi bahawa hadith berkaitan solat 40 waktu di masjid Nabawi adalah dha’if. Akan tetapi, ia boleh diamalkan di dalam bab fadhail al-‘Amal. Barangsiapa yang berkesempatan melakukannya maka ia adalah baik dan bagi sesiapa tidak berkesempatan maka ia tidaklah menjadi satu kesalahan. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya. Amin.