Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-61: CALON WANITA BERKEMPEN UNTUK PILIHANRAYA DALAM KEADAAN ‘IDDAH

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada-Nya kerana pelbagai kurniaan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Alhamdulillah telah sampai kepada kami banyak persoalan berkenaan dengan isu calon wanita yang berada dalam keadaan ‘iddah (kematian suami). Justeru, kami merasa terpanggil untuk mengemukakan jawapan kepada persoalan tersebut agar ianya dapat difahami dengan sebaik mungkin.

Sebelum kami membahaskannya dengan lebih terperinci, kami nyatakan beberapa noktah pendahuluan:-

Pertama: Syabas diucapkan kepada pihak yang bertanding kerana telah merujuk kepada Mufti Perak S.S. Tan Sri (Dr.) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria untuk memberikan panduan dalam merungkai kemelut isu ini.

Kedua: Ramai tokoh agama mengemukakan pendapat berdasarkan keilmuan dan kefahaman mereka.

Ketiga: Pola pemikiran umat Islam dalam pelbagai aliran dan kefahaman amat cenderung kepada keputusan agama.

Keempat: Sifat dan sikap ingin mengikut ajaran agama amat wajar dihormati dan dijunjungi.

Kelima: Konsep kefahaman yang sebenar berkenaan dengan sesuatu isu amatlah penting berdasarkan sebuah kenyataan:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: Berhukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang dari proses mengenalpasti gambaran sebenar perkara tersebut.

 

Tempoh Iddah Bagi Wanita Yang Kematian Suami

`Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  1. Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  2. Jika isteri tidak mengandung atau mengandung, tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia, seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari.

Nas ilahi menyebut:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya: Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

 

Di dalam sebuah hadis, Ummu ‘Atiyyah R.anha meriwayatkan bahawasanya Nabi ﷺ berkata:

‏ لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ 

Maksudnya: Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.

Riwayat Muslim (938)

 

 

Mafhum & Maksud Ihdad

Antara maksud dan makna pada bahasa adalah tegahan, daripada itu seorang wanita di tegah untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya semata-mata untuk menzahirkan rasa sedih. [Lihat Lisan al-‘Arab, al-Misbah al-munir dan Mukhtar al-Sihah dalam perkataan “حَدَد”]

Sedangkan pada makna istilah, ia memberi maksud seorang wanita di tegah untuk berhias dan yang membawa kepada maknanya pada tempoh tertentu dalam keadaan tertentu. Yang demikian itu menegah daripada bermalam selain daripada rumahnya. [Lihat Fath al-Qadir (3/293),  Ibn ‘Abidin (2/616), al-Khattab (4/154), Nihayah al-Muhtaj (7/140) & al-Mughni li Ibn Qudamah (9/166)]

 

Hukum Ihdad Pada Kematian Suami

Ijmak dan sepakat ulama’ bahawa wajib berihdad (berkabung) dalam ‘iddah kematian suami daripada nikah yang sahih sekalipun belum bersama lagi. Hal ini, berdalilkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berkabung di atas si mati melebihi 3 malam kecuali ke atas suaminya selama 4 bulan 10 hari.”

Riwayat Al-Bukhari (1281)

 

 

Hikmah Pensyariatan Berkabung

Terlalu banyak hikmah pensyariatan berkabung dengan sebab kematian suaminya. Antaranya:

  • untuk menzahirkan kesetiaan
  • meraikan hak suaminya yang besar

Ini kerana ikatan perkahwinan adalah sesuci ikatam yang tidak seharusnya pada syarak dan juga adab akhlak untuk dilupai begitu sahaja. Memang tidak munasabah selepas kematian si isteri memakai pakaian yang hebat dan berhiasan serta berwangi-wangian kemudian keluar daripada rumah seperti wanita yang lain. Hal ini tidak menzahirkan sebarang penghormatan kepada suaminya yang telah meninggal dunia. Justeru, para ulama’ dan imam-imam mazhab yang empat telah membuat kesimpulan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad antara lain kata mereka:

  • bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali [Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291]

 

Perkara Yang Wajib Dijauhi Semasa Ihdad

Para ulama’ telah menyebut beberapa perkara yang wajib dijauhi ketika di dalam keadaan ihdad. Antaranya, setiap apa yang diiktibar sebagai perhiasan sebagai syarak atau uruf sama ada berkaitan dengan tubuh badan, pakaian atau yang boleh menarik pandangan umum kepadanya seperti keluar daripada rumahnya atau yang boleh membawa kepada peminangan kepadanya. Inilah kadar disepakati.

Begitu juga dengan berkenaan bermalam, hendaklah dirumahnya sendiri dan tidak dibolehkan di rumah orang lain. Hal ini berdasarkan riwayat Mujahid, katanya: Telah ramai sahabat Rasulullah SAW mati syahid dalam peperangan Uhud justeru isteri-isteri mereka bertemu dengan Rasulullah SAW seraya berkata: “Ya Rasulullah, kami merasa bimbang waktu malam adakah mungkin kami tidur di rumah salah seorang dari kalangan kami dan apabila pagi, kami segera pulang ke rumah kami?”. Jawab Baginda SAW: “Bercakaplah di sisi salah seorang dikalangan kamu hingga apabila kamu mahu tidur maka pulanglah setiap orang ke rumah masing-masing”. (Riwayat Abdul Razak di dalam Musannafnya, 7/36)

Berkenaan dengan hal yang lain, sebahagian hukumnya adalah haram sebahagain ulama’ yang lain mengatakan tidak. Antaranya:

  • Memakai pakaian yang bercorak dan berwarna-warni
  • Memakai pakaian hitam dan putih serta bercorak tanpa za’faran atau wangian

 

Perkara Yang Harus Dilakukan

Perempuan yang dalam keadaan iddah boleh keluar dari rumahnya untuk menunaikan hajat keperluannya pada waktu siang hari sama ada dia telah diceraikan atau kematian suami. Ini berdasarkan hadith Jabir yang berkata:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: Ibu saudaraku telah diceraikan dengan talak 3. Dia tetap keluar untuk menguruskan kebun tamarnya kemudian bertembung dengan seorang lelaki yang menegahnya. Selepas itu, ibu saudaraku mengadu kepada Nabi SAW lantas Nabi bersabda: “Keluarlah dan uruskanlah kebun tamarmu. Mudah-mudahan kamu dapat bersedekah daripadanya atau melakukan kebaikan”.

Riwayat Muslim (1483).

 

 

Hukum Wanita Beriddah Menyertai Kempen Pilihanraya

Telah kita ketahui bahawa bagi wanita yang kematian suami, iddah serta ihdadnya adalah selama 4 bulan 10 hari dan telah kami jelaskan juga berkaitan perkara-perkara yang boleh dilakukan dan juga perkara yang tidak boleh dilakukan ketika sedang menjalani tempoh ‘iddah dan juga berkabung pada pebincangan sebelum ini.

Melihat kepada situasi yang berlaku, dalam permasalahan ini, para ulama’ memberikan rukhsah buat para mu’taddah (orang yang ber’iddah) untuk keluar dari rumah meskipun terdapat tegahan dan larangan dari nas dan rukhsah yang diberikan itu adalah yang berkait dengan hajat dan juga maslahah mu’taddah.

Antara yang boleh dikategorikan sebagai hajat dan juga maslahah adalah seperti keluar untuk bekerja, membeli barangan rumah yang penting seperti makanan, minuman dan sebagainya (sekiranya tiada orang lain yang boleh membantunya seperti anak-anak melainkan dirinya), keluar untuk menghadiri kuliah/kelas bagi mereka yang belajar (yang mana jika dia tidak menghadiri kelas sepanjang tempoh iddah tersebut akan memberi kesan kepada pelajarannya). Kesemua ini, dikira sebagai hajat keperluan dan maslahah.  

Berdasarkan kepada hujahan di atas, maka kami cenderung kepada hukumnya HARUS BERSERTA DHAWABIT (KRITERIA). Kami sandarkan kepada pendapat jumhur ulama’ di kalangan imam yang empat bahawa perempuan dalam keadaan ‘iddah boleh keluar dari rumahnya jika wujudnya keperluan. Dalil yang kuat berdasarkan hadith Jabir RA riwayat Muslim (1483).

Justeru, dalam hal ini  untuk menjadi calon kami kemukakan beberapa dhawabit. Antaranya:

  1. Tidak keluar rumah dengan sewenang-wenangnya tanpa hajat dan bukanlah keluarnya dia dengan tujuan maksiat serta hendaklah dia menjaga auratnya di luar rumah.
  2. Jika dapat mewakilkan kepada kaum keluarga seperti anak-anak ataupun rakan-rakan lain maka alangkah baiknya.
  3. Menjaga tatasusila dan adab ketika di dalam ihdad (berkabung).
  4. Menjarakkan diri daripada perkara yang membawa kepada fitnah.
  5. Tidak berhias-hias seperti emas, perak permata dengan memakai gelang dan rantai.
  6. Tidak memakai wangi-wangian termasuk juga bukhur ataupun minyak wangi.
  7. Hendaklah dia keluar ke rumah dan selesaikan segala urusan keperluannya itu pada waktu siang hari manakala padu malamnya hendaklah dia berada dan bermalam di rumahnya.

Semoga dengan jawapan ini akan melegakan semua pihak untuk memahami hukum dengan lebih tuntas lagi dan mendalam.

 

Fatwa Ulama’

Untuk mengemaskinikan tarjihan kami berkenaan isu calon wanita ini, adalah baik jika kita rujuk kepada pandangan beberapa tokoh ulama’, antaranya:

 

Pertama: al-Syeikh Abdul Karim al-Khasowanah, Mufti Am Jordan.

Hukumnya harus tetapi dengan syarat:

  • Tiada yang dapat menggantikannya.
  • Keluar yang sedikit dan bukannya dalam masa yang lama.
  • Selamat dirinya.
  • Tempat yang dituju untuk keluar itu hampir.

Asas hujah ini berdasarkan kitab Tuhfah al-Muhtaj (8/261-262)

 

Kedua: Syeikh Muhammad Bin Soleh al-‘Uthaymeen, bekas anggota kibar ulama’ Arab Saudi.

Hukum asal hendaklah wanita kekal dirumahnya kecuali perlu untuk dia keluar kerana hajat. Maka keluarlah di siang hari dan bukannya di malam hari. Lihat al-Liqa’ al-Shahr (7/20) dan Fatawa Nur ‘ala al-Darb (10/464)

 

Ketiga: al-Syeikh al-Munajjid, salah seorang ulama’ di Arab Saudi

Harus keluar dari rumah bagi yang beriddah jika berlaku hajat dan darurat tetapi keluar pada siang hari sahaja dan bukannya pada waktu malam. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Mujahid berkenaan beberapa isteri sahabat dari kalangan syuhada’ Uhud. Lihat Musannaf Abd al-Razzaq al-Son’aani (12077).

 

Keempat: Dr. Abdullah al-Tayyar, Ahli Majlis Fatwa di al-Qasim

Tidak harus keluar kecuali kerana hajat dan darurat seperti bekerja, pergi ke hospital dan lain-lain. Adapun selain daripada hajat darurat maka dia tidak boleh keluar kecuali seepas berlalu 4 bulan 10 hari. Lihat jawapannya di dalam Manar al-Islam.

 

Kelima: Sheikh Dr. Abdul Rahman al-Kilani, Pengerusi Rabitah Ulama’ Jordan.

Kami sempat mengajukan persoalan berkenaan isu ini kepada Syeikh Dr. Abdul Rahman al-Kilani yang kebetulan sekarang ini sedang berada di Malaysia dan berikut merupakan intipati jawapan beliau:

Calon wanita bagi pilihanraya berhajat (memerlukan) untuk dirinya keluar dari rumah disebabkan dia ingin bertemu dengan orang ramai, duduk dan mendengar permasalahan mereka. Adakah kesemua perkara ini turut dikira sebagai suatu hajat (keperluan) yang membolehkan dirinya untuk keluar ? Jika mengambil kira bahawa calon wanita ini memiliki kelayakan dari sudut keilmuan yang mencukupi, dari sudut status kewarganegaraan maka ini juga diambil kira sebagai perkara yang membolehkan untuk keluar. Telah warid dalil yang menunjukkan bahawa seorang perempuan apabila terdapat keperluan baginya untuk keluar dari rumah maka boleh untuknya keluar. Di antara dalilnya adalah apa yang telah sabit bahawa sebahagian isteri para sahabat yang mana suami-suami mereka telah mati syahid ketika peperangan Uhud. Maka mereka mengadu berkenaan keadaan mereka kepada Rasulullah S.A.W maka baginda mengizinkan mereka itu untuk berkumpul di salah satu rumah dari kalangan mereka pada siang hari. Kemudian pada waktu malam mereka bersurai dan bermalam di rumah mereka sendiri. Ini jelas menunjukkan bahawa keluar disebabkan terdapatnya keperluan maka hukumnya harus. Majoriti ulama kontemporari telah membenarkan wanita yang berada dalam keadaan iddah untuk keluar dari rumah mereka bagi tujuan berkerja. Seperti wanita tersebut merupakan seorang doktor, guru, para pegawai, dan dia tidak mampu untuk tidak menghadiri tugas dan tanggungjawabnya tersebut selama empat bulan sepuluh hari. Maka dia keluar daripada rumahnya untuk hajat pekerjaan. Sama juga keadaannya bagi seorang wanita yang menjadi calon pilihanraya. Dengan makna keluarnya dia dari rumah untuk urusan tersebut merupakan suatu keperluan baginya serta tidak ada orang lain yang dapat menggantikan tempatnya dari sudut keilmuan, kepemimpinan dirinya, maka boleh untuk keluar kerana ini merupakan keperluan yang berkait dengan dirinya dan masyarakat awam. Boleh untuk wanita tersebut keluar, duduk serta mendengar permasalahan orang awam. Manakala yang haram buat dirinya adalah supaya tidak dipinang, berkahwin, berhias-hiasan, dalam tempoh iddah ini.

 

Penutup

Alhamdulillah, selesailah sudah perbahasan isu ini dengan melihat kepada maslahah dan juga maqasid al-Syariah. Walaupun hukumnya harus akan tetapi dhawabit yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’ dan ulama’ serta nas yang sarih perlu diraikan berdasarkan dhawabit yang telah kami kemukakan. Tambahan pula, pada zaman kini banyak teknologi maklumat yang boleh digunapakai untuk menyampaikan matlamat, buah fikiran dan kempen. Begitu juga banyaknya wakil dan petugas yang boleh mengambil alih tugasan seseorang wanita dalam keadaan ‘iddah yang perlu dihormati.

Sebelum mengakhiri perbincangan ini, saya menasihatkan kepada yang terbabit dalam pilihanraya agar mendahulukan akhlak islamiyyah dan sakhsiah yang unggul ketika kita berkempen dan mengemukakan hujah serta alasan masing-masing. Ingatlah antara sesame kita terdapatnya hubungan ukhuwah Islamiyyah yang wajib kita pelihara.

Semoga pencerahan ini menatijahkan kesan yang baik kepada kita untuk beramal dengan sebaik mungkin perintah tuhan dan syariat Islam yang sewajarnya kita memelihara dan menyunjungnya. Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Mei 2016 bersamaan 23 Sya’ban 1437 H.