Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-75: IKTIBAR DAN PENGAJARAN DARI FENOMENA KEMENANGAN DONALD TRUMP SEBAGAI PRESIDEN AS


Pertamanya, kami telah menerima banyak persoalan dan pertanyaan berkaitan isu ini selepas kemenangan Donald Trump daripada Parti Republikan dalam Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016 yang baru berlangsung. Masing-masing memberi pandangan dan akhbar utama dunia, antarabangsa dan tempatan banyak mengulas isu ini. Kebanyakannya berbelah bahagi. Ada yang menyokong dan ada yang menentang dengan pelbagai nada samada suka ataupun sebaliknya Lambakan berita dari Facebook, Twitter, juga media sosial yang lain menunjukkan dua pendapat seperti dua kem samada menyokong atau tidak.

Pada saat yang sama, saya dapati ramai pemimpin dari pelbagai negara memberi ucapan tahniah sekalipun daripada blok negara Islam seperti Turki, Indonesia, Arab Saudi termasuk Malaysia. Kami teringatkan satu hadith Nabi SAW:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ، قَالَ: لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ سَمِعْتُهَا مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَّامَ الجَمَلِ، بَعْدَ مَا كِدْتُ أَنْ أَلْحَقَ بِأَصْحَابِ الجَمَلِ فَأُقَاتِلَ مَعَهُمْ، قَالَ: لَمَّا بَلَغَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ أَهْلَ فَارِسَ، قَدْ مَلَّكُوا عَلَيْهِمْ بِنْتَ كِسْرَى، قَالَ: «لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً»
Daripada Abi Bakrah, beliau berkata: “Sesungguhnya Allah SWT memberi manfaat kepadaku dengan kata-kata yang aku dengar daripada Rasulullah SAW ketika Perang Jamal, selepas aku hampir membenarkan mereka [ashab al-Jamal] dan berperang bersama mereka. Ketika sampai khabar kepada Rasulullah SAW bahawa bangsa Parsi mengangkat puteri Kisra sebagai pemimpin. Baginda bersabda: ‘Tidak akan beruntung satu kaum yang menyerahkan urusan [pemerintahan] mereka kepada seorang wanita.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 4425)

Kami tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut berkenaan kepemimpinan wanita kerana ia merupakan perbahasan yang sangat luas dalam perbendaharaan politik Islam. Apa yang ingin dibawakan adalah beberapa sisi lain hadis ini yang wajar dititikberatkan.

  1. Hadis ini jelas membuktikan bahawa Rasulullah SAW sentiasa cakna dan prihatin akan perkembangan negara jiran kerana empayar Parsi adalah salah satu empayar yang terkuat di dunia pada ketika itu. Inilah bukti satu sisi universalime Islam.
  2. Rasulullah SAW sendiri memberikan pandangan Baginda terhadap pelantikan puteri Raja Parsi tersebut

Maka, kita tidak hairan apabila pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat mendapat begitu banyak ulasan daripada pelbagai pihak. Ini adalah satu tanda kecaknaan terhadap apa yang berlaku di dunia. Mungkin terlalu awal untuk menetapkan apa-apa jawapan tuntas. Namun, kita masih menantikan dasar-dasar luar Amerika akan datang di bawah beliau dengan Israel, Blok European Union (EU), Rusia, China, Blok Negara Arab, Blok Negara Islam, serta blok ASEAN.

Merenung Sejarah Kita
Tunjukkanlah akhlak dan Syakhsiyyah Islamiyyah yang tinggi serta jadikan ia sebagai perhiasan bagi diri. Bacalah sejarah kerana ia membuktikan kepada kita bahawa akhlak adalah senjata yang boleh mengubah persepsi dan peribadi seseorang sekalipun dia adalah seorang yang amat zalim.

Kita pasti masih ingat bagaimana Baghdad jatuh ke tangan kaum Tartar yang terkenal dengan ganas, dipimpin oleh Genghis Khan dan diteruskan oleh Hulagu Khan yang telah menakluk China dan India. Kerajaan Mamalik di Mesir yang pada ketika itu dipimpin oleh Sultan Zahir Baibars berketurunan Turki memimpin bala tentera Islam yang setia. Sultan Zahir dengan penasihat seperti Imam al-Nawawi dan Sultan al-Ulama’ Izzuddin Abdus Salam menanamkan semangat Islam dan mengislahkan kerajaan yang korup serta suka bermewah-mewahan menjadi sebuah kerajaan itu diubah untuk berhadapan dengan Tentera Tartar.

Dalam peristiwa Ain Jalut pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260, tentera Sultan Zahir dan Qutuz di Mesir telah berjaya mengalahkan Tentera Tartar. Secara kebiasaannya menurut Ibn Khaldun, bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajah yang berkuasa dan kuat. Tetapi, ketika bangsa Tartar memerintah dengan undang-undang yang mencampuradukkan Islam, Yahudi, Kristian dan logik akal, para ulama’ dan rakyat bangkit menentang undang-undang sebegini. Selepas bangsa Tartar dikalahkan, akhirnya mereka pula yang memeluk Islam. Inilah satu keajaiban yang disebutkan oleh Maulana Abu al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi; hanya dalam sejarah Islam berlakunya keadaan penjajah memeluk agama rakyat yang dijajah. Kerajaan inilah juga yang kemudiannya berjaya membina tamadun tersendiri ketika menjadi Kerajaan Mogul di India.

Menjadi satu keutamaan bagi umat Islam untuk meninggikakan keluhuran akhlak dan budi sehingga ia mampu menawan segenap jiwa yang menyaksikannya. Ahmad Shauqi, seorang penyair terkenal pernah berkata

إنمـا الأمـم الأخلاق مـا بقيـت، فإن هم ذهبت أخلاقـهم ذهبــواً
Maksudnya: “Sebuah peradaban itu akan tetap terjaga kewujudannya selama akhlaknya masih ada. Apabila akhlaknya telah lenyap maka lenyaplah peradaban itu.”
Sesebuah negara dan bangsa tatkala akhlak anak bangsanya punah dan hancur, sudah pasti membawa kemunduran sesebuah negara.

Marilah kita mentadabbur ayat yang sering kita baca, dengan mata hati yang dimakrifatkan dengan ilmu. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
(Surah al-Anfal: 60)

Ayat di atas adalah satu bentuk iktibar kepada kita untuk memahami bahawa:

  1. Persediaan untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan ujian. Bukannya hanya sebagai pemerhati atau penonton, lalu membuat rumusan yang tidak menjejak dalam realiti sebenar.
  2. Persediaan dengan “segala jenis kekuatan” (مَا اسْتَطَعْتُمْ) adalah puncak tertinggi bagi satu-satu persiapan dengan sepenuh kemampuan, bukannya ala kadar. Antara yang terpenting, sudah tentu ilmu, akhlak, ibadah, kerukunan rumahtangga, pegangan hidup.

Syeikh Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India yang pada ketika itu dijajah oleh Inggeris: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Tetapi malangnya, umat Islam kini umpama buih-buih (ghuthā’) yang lemah, tiada kudrat dan prinsip, bahkan goyah serta hanya mengikut arus angin sahaja. Tinggal menjadi buih-buih kecil yang tidak mampu memberi kesan apa-apa. Pun begitu, usah dilupakan buih-buih juga mampu menyatu membentuk gelombang ombak yang menghempas kuat pantai. Molekul-molekul air yang kecil, memejal menjadi bongkah ais yang besar (iceberg) jugalah yang menenggelamkan sebuah kapal Titanic yang gah dan hebat pada 1912.

Nasihatku
Wahai saudaraku!
Sudah sampai masanya umat Islam bersedia dengan ‘road map’ yang jelas, bukan hanya untuk 20 – 50 tahun ke hadapan tetapi dengan visi yang lebih luas, ufuk yang jauh mencapah hingga ke destinasi kita ke alam akhirat sana.

Sebelum terjadi peperangan Qadisiyah antara tentera Muslim pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas RA dengan tentera Parsi pimpinan Rustam, Sa’ad terlebih dulu mengirim utusan kepada Rustam beberapa kali. Di antara utusan tersebut adalah Rib’i bin ‘Amir. Rib’i segera masuk menemui Rustam dalam keadaan mereka menghiasi tempat pertemuan itu dengan bantal-bantal yang dijahit dengan benang emas, serta permadani yang disulam daripada sutera.

Mereka mempertontonkan kepada Rib’i bin Amir berbagai macam perhiasan berupa permata-permata yang mahal, dan perhiasan lain sementara Rustam memakai mahkota dan sedang duduk di atas singgahsana yang dibuat dari emas. Rib’i bin Amir pula masuk dengan hanya mengenakan baju yang sangat sederhana, tersisip pada pinggang beliau sebilah pidang, perisai, dan bersamanya seekor kuda yang pendek. Rib’i bin Amir masih tetap di atas kudanya hingga mencecah hujung permadani. Kemudian beliau turun dan menambat kudanya di sebahagian bantal-bantal yang terhampar. Beliau kemudiannya masuk dengan senjata, baju besi, dan topi besi.

Pengawal Rustam berkata, “Letakkan senjatamu!” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah berniat untuk bertemu kalian tetapi kalianlah yang mengundangku datang ke sini. Jika kalian memerlukanku maka biarkan aku masuk dalam keadaan seperti ini. Jika tidak kalian izinkan, maka aku akan segera pulang.”

Rustam berkata, “Biarkan dia masuk.” Maka Rib’i bin Amir datang sambil bertongkat dengan lembingnya dalam keadaan posisi ujung tombak ke bawah sehingga bantal-bantal yang dilewatinya penuh dengan lubang-lubang bekas lembingnya. Mereka bertanya,”Apa yang membuat kalian datang ke sini?”
Rib’i bin Amir menjawab,

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الاديان إلى عدل الاسلام، فأرسلنا بدينه إلى خلقه لندعوهم إليه، فمن قبل ذلك قبلنا منه ورجعنا عنه، ومن أبى قاتلناه أبدا حتى نفضي إلى موعود الله.
“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Al-Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah”

Mereka bertanya,”Apa yang dijanjikan Allah (kepada kalian)?” Beliau menjawab, “Syurga bagi sesiapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Rustam pun berkata, “Sungguh, aku telah mendengar perkataan-perkataan kalian. Tetapi mahukah kalian memberikan penangguhan perkara ini sehingga kami mempertimbangkannya dan kalian pun mempertimbangkannya?” Beliau menjawab, “Ya, berapa lama waktu yang kalian sukai? 1 hari atau 2 hari?” Rustam menjawab,”Tidak, tetapi hingga kami menulis surat kepada para pembesar kami dan para pemimpin kaum kami.”

Maka beliau pun menjawab,”Rasul kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk menangguhkan peperangan apabila bertemu musuh lebih dari 3 hari. Maka pertimbangkanlah perkaramu dan mereka, dan pilihlah 1 dari 3 pilihan apabila masa penangguhan telah berakhir.”

Rustam bertanya,”Adakah kamu pemimpin mereka?” Beliau menjawab,”Tidak, tetapi kaum Muslimin ibarat jasad yang satu. Yang paling rendah daripada mereka, dapat memberikan jaminan keamanan terhadap yang paling tinggi.”

Maka akhirnya Rustam mengumpulkan para pembesar kaumnya dan berkata, “Pernahkah kalian melihat sesuatu yang lebih mulia dan lebih benar dari perkataan lelaki ini?” Mereka menjawab, “Kami minta perlindungan Allah daripada terpengaruh kepada sesuatu daripada ajakan ini dan dari menyeru agamamu kepada (agama) anjing ini. Tidakkah engkau melihat kepada pakaiannya?”

Rustam menjawab, “Celakalah kalian! Janganlah kalian melihat kepada pakaian. Akan tetapi lihatlah kepada pendapat, ucapan, dan jalan hidupnya! Sesungguhnya orang Arab menganggap ringan masalah pakaian dan makanan. Tetapi mereka menjaga harga diri mereka.”

اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Ya Allah berilah kami petunjuk sebagaimana orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah aku perlindungan (dari penyakit dan apa yang tidak disukai) sebagaimana orang yang pernah Engkau lindungi, sayangilah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sayangi. Berikanlah keberkatan terhadap apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku, jauhkanlah aku dari keburukan apa yang Engkau telah takdirkan, sesungguhnya Engkau yang menjatuhkan hukum, dan tidak ada orang yang memberikan hukuman kepada-Mu. Sesungguhnya orang yang Engkau bela tidak akan terhina, dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Mahasuci Engkau, wahai Rabb kami Yang Maha Tinggi.

Semoga penulisan yang ringkas ini dapat membuka mata kita dan memberikan semangat baru untuk kita terus memandang ke hadapan bagi meneruskan misi dakwah dan akhlak Nabi SAW dalam membina satu ummah yang gemilang. Jika Donald Trump membawakan slogan “Make America Great Again”, apa salahnya jika kami menyeru kepada slogan #MakeMuslimGreatAgain. 

Akhukum fillah, 

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
11 November 2016 bersamaan 11 Safar 1438H