Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-126 : HUKUM MEROSAKKAN UNDI

Mukadimah

Baru-baru ini, kami menyampaikan ceramah perdana di Kuching, Sarawak, lebih tepat lagi pada 27 Januari 2018 yang lalu. Antara soalan yang ditanya ialah apa hukum merosakkan undi atau menjadikan undinya rosak. Lantas kami menyatakan jawapan yang panjang dan perlu kepada sedikit kajian. Justeru, kami kemukakan pada kali ini Bayan Linnas khusus masalah isu yang dibangkitkan di atas.

Kami tidaklah membincangkan isu-isu yang lain semata-mata kerana isu ini yang dibangkitkan dan pencerahan hanya kepada isu ini. Disebabkan adanya mereka yang cuba memperjuangkan undi rosak dan Pilihanraya Umum ke-14 yang akan diadakan pada tahun ini. Kami berharap tajuk ini seperti di atas Bayan Linnas: Hukum Merosakkan Undi boleh merungkai sedikit sebanyak isu yang dibangkitkan ini.

 

Definisi Undi dan Mengundi

Undi didefinisikan sebagai:

  • Sesuatu untuk memilih atau menentukan sesuatu (misalnya siapa yang akan mendapat sesuatu, memulakan sesuatu permainan, dan lain-lain); kertas undi pula ialah kertas yang ditandakan sebagai menunjukkan pilihan; undian pemilihan seseorang atau penentuan sesuatu dengan penandaan pada kertas undi (pungutan suara dan sebagainya): undi kaum wanita merupakan 50% daripada seluruh undi negara; berundi sedang memilih (menentukan dan lain-lain) dengan undi.

Manakala mengundi pula didefinisikan:

  • Menentukan (memilih dan lain-lain) dengan membuang undi;
  • Mengundi suara memutuskan sesuatu dengan mengira undi (memungut suara dan lain-lain), memilih (menentukan dan lain-lain) sesuatu dgn membuang undi.

Undian pula ialah:

  • sesuatu yang diundi, loteri, seperti undian wang loteri (wang); menarik undian mendapat hadiah dalam undian wang dan lain-lain, menang loteri;
  • hasil mengundi, pemilihan undi: pada hari ini, terpaksalah wakil-wakil dilantik dengan undian ramai; (untuk menentukan sesuatu), ujian; pengundian perihal (perbuatan, proses, dan sebagainya) mengundi, pemilihan dengan cara mengundi: pengumuman keputusan undian memilih pucuk pimpinan UMNO; pengundi
  1. Orang yang mengundi: bilangan undian yang berdaftar di seluruh Tanah Melayu dijangka meningkat hingga tiga juta orang; undian hantu pengundi tidak berdaftar yang muncul dengan tiba-tiba saja dalam sesuatu pengundian (pilihan raya dan sebagainya);
  2. Sesuatu yang digunakan utk mengundi (kertas, surat, dan lain-lain).

Rujuk Kamus Dewan Bahasa (Edisi Keempat).

Menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, “kertas undi rosak” ditakrifkan menurut Seksyen 1 mempunyai erti yang diberikan kepadanya oleh Peraturan 21. Peraturan 21 pula memerikan kertas undi rosak sebagai “seseorang pengundi yang telah melakukan sesuatu dengan cara tidak sengaja ke atas kertas undinya sehingga kertas undi itu tidak boleh digunakan sebagai kertas undi boleh memulangkannya kepada ketua tempat mengundi dan jika ketua tempat mengundi itu berpuas hati bahawa keadaan kertas undi itu disebabkan oleh perbuatan tidak sengaja, dia hendaklah mengeluarkan suatu kertas undi lain bagi menggantikan kertas undi yang dipulangkan itu, dan kertas undi yang dipulangkan itu hendaklah dalam Peraturan-Peraturan ini disebut “kertas undi rosak” dan kertas undi rosak itu hendaklah dengan segera dibatalkan oleh ketua tempat mengundi itu.

 

Manakala menurut Peraturan 25 (7), undi rosak atau undi yang ditolak ialah mana-mana kertas undi:

  1. yang tidak dicapkan atau ditindikkan dengan tanda rasmi, atau tidak ditandangani secara ringkas oleh ketua tempat mengundi;
  2. yang padanya undi diberikan kepada lebih daripada seorang calon;
  3. yang padanya ada sesuatu dituliskan atau ditandakan yang membolehkan pengundi itu dikenal pasti;
  4. yang tidak bertanda atau yang ditandakan selain di tempatatau mengikut cara yang diperuntukkan; atau
  5. yang tidak menunjukkan dengan jelas tujuan pengundi itu:

Ketua tempat mengundi dikehendaki untuk menimbangkan pendapat calon, ejen pilihan raya atau ejen mengira undi, jika hadir, berkenaan kertas undi ragu sebelum berpuas hati menerima kertas undi  tersebut atau menolaknya sebagai kertas undi yang ditolak. Seksyen 41 Akta Pilihan Raya 1954 pula memperuntukkan bahawa keputusan seorang pegawai pengurus atau ketua tempat mengundi untuk menolak atau menerima kertas undi adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

Berdasarkan takrifan-takrifan di atas, undi rosak boleh diklasifikasikan sebagai kertas undi yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dalam pilihan raya di satu-satu Dewan Undangan Negeri dan Parlimen daripada dimasukkan dalam jumlah undian yang sah, sama ada dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja.

 

Undi Rosak dan Perkara-Perkara Yang Seumpama Dengannya

Kami nyatakan di sini, menurut kesimpulan pada takrif sebelum ini, secara mudahnya terdapat tiga keadaan apabila undian seseorang itu tidak dianggap sebagai sah:

Pertama: Seseorang itu yang mempunyai kelayakan untuk mengundi tidak mendaftar menjadi pengundi sedangkan dia adalah warganegara Malaysia yang sah.

Kedua: Seseorang itu tidak pergi mengundi sekalipun sudah berdaftar sebagai pengundi tetapi sengaja untuk memilih tidak mengundi.

Ketiga: Seseorang itu pergi mengundi dan merosakkan kertas undi dengan pelbagai cara yang dikira oleh SPR bahawa kertas undi tersebut adalah rosak.

Kami berpendapat ketiga-tiga cara ini kedudukannya adalah hampir sama dengan hukum merosakkan undi. Kami akan menerangkan alasan-alasan bagi hukum tersebut satu per satu.

 

Adakah Mengundi Sekadar Hak?

Kami kemukakan di sini hukum mengundi daripada sudut undang-undang di Malaysia:

  • Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa tiap-tiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya dan berdaftar sebagai pengundi adalah berhak untuk mengundi dalam pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
  • Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan negaranya sama ada secara langsung atau melalui wakil yang dipilih olehnya secara bebas (Terjemahan dari: Everyone has the right to take part in the government of his/her country, directly or through freely chosen representatives.]

Kami kemukakan JUGA di sini dua daripada rukun negara serta huraiannya.

  • Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

  • Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

Berdasarkan peruntukan dan falsafah bagi kedua-dua dokumen tersebut, kami berpendapat bahawa  hukum mengundi bukan hanya sekadar hak yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia.

Kami menganggap perlu adanya pengundian sebagai salah satu proses untuk pelaksanaan perlembagaan dan juga undang-undang. Ini kerana tugas wakil rakyat sebagai pembuat dasar dan penggubal bagi maslahat negara dan rakyat. Justeru tidak dapat tidak, pengundian adalah perkara yang wajib. Ini selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: Perkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib

Dalam bahasa yang mudah, pelantikan wakil rakyat, menteri dan pemerintah sebenarnya adalah wajib. Makanya untuk melantik adalah melalui proses pilihanraya atau pengundian, dalam konteks fiqh siyasah di Malaysia. Justeru, hukum mengundi dan menyediakan infrastruktur pilhanraya yang adil dan saksama itu hukumnya adalah wajib.

 

Pendapat Ulama Tentang Kewajipan Melantik Pemimpin

Kami katakan, tidak hairanlah apabila kita melihat ramai tokoh dan ulama Islam menjelaskan isu pelantikan pemerintah ini, antaranya:

  • Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata:

الدين أس والسلطان حارس وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang”

        Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad (hlm. 128)

  • Imam Mawardi Rahimahullah berkata:

الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.”

       Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah (hlm. 5)

  • Imam al-Haramain al-Juwaini Rahimahullah berkata:

الإمامة رياسة تامة وزعامة تتعلق بالخاصة والعامة في مهمات الدين والدنيا

 Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.”

     Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam (hlm. 15)

  • Imam al-Nasafi Rahimahullah berkata:

نيابة عن الرسول عليه السلام في إقامة الدين بحيث يجب على كافة الأمم الاتباع

Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti rasul Alaihimussalam dalam menegakkan agama sekira-kira menjadi wajib atas semua umat dan pengikut.”

        Lihat al-Aqaid al-Nasafiyyah (ms.179)

  • Imam Al-Iji Rahimahullah  berkata:

هي خلافة الرسول  صلى الله عليه وسلم  في إقامة الدين بحيث يجب اتباعه على كافة الأمة

Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti Rasul SAW dalam menegakkan agama di mana ia adalah wajib diikutinya ke atas semua umat.”

   Lihat al-Mawaqif (hlm. 395)

  • Imam Ibnu Khaldun berkata:

هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية والدنيوية الراجعة إليها، إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة، فهي في الحقيقة خلافة عن صاحب الشرع في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: “Ia adalah memikul kesemua urusan syarak dalam maslahat mereka dunia dan akhirat yang kembali kepadanya. Ini kerana segala urusan dunia semuanya di sisi syarak dilihat kepada maslahat akhirat. Maka ia pada hakikatnya adalah pengganti kepada pemilik syarak dalam mengawal agama dan bersiasah dengannya.”

 Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun (hlm. 190)

  • Professor Muhammad Najib al-Muti’i berkata:

المراد بها - أي الإمامة- الرئاسة العامة في شؤون الدنيا والدين (

Maksudnya: “Dikehendaki dengannya- iaitu pemerintahan- pemerintahan yang umum dalam urusan dunia dan agama.”

    Lihat Takmilah al-Majmu’ (19/191)

 

  • Para pengarah kitab Fiqh al-Manhaji:

“Al-Imamah al-'Uzma (pemimpin utama atau pemerintahan tertinggi) merupakan jawatan agama bagi mengambil alih tugas kenabian. Ini bermakna pemerintah merupakan pengganti (khalifah) kepada Nabi SAW dalam mentadbir urusan umat Islam. Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara pemerintah dengan Nabi SAW. Nabi SAW menerima hukum-hakam yang wajib dipegang oleh umatnya dalam bentuk wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Pemerintah pula menerima hukum-hakam itu dalam bentuk nas-nas yang sah daripada al-Quran dan sunnah, atau ijma' yang disepakati oleh para ulama', atau pemerintah berijtihad berpandukan dalil-dalil umum dan kaedah-kaedah yang sah, sekiranya tiada nas dan ijma’.

Jawatan pemerintah tertinggi begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam.”

  • Professor Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia mengulas ketika musim pilihanraya Mesir tentang hukum mengundi:

واجب شرعي، على كل مصري أن يذهب إلى صناديق الانتخاب، من لم يذهب فهو آثم، ارتكب ذنب عند الله، لا تكتموا الشهادة"

Maksudnya: “Hukumnya adalah wajib syarak ke atas setiap warga Mesir untuk pergi ke pos-pos undian untuk mengundi. Barangsiapa yang tidak pergi maka dia melakukan dosa di sisi Allah (berdasarkan ayat al-Quran): “Janganlah kalian menyembunyikan penyaksian kamu.”[1]

 

Pendapat Tokoh-Tokoh

  • Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah

Beliau berkata undi rosak adalah bersalahan dengan semangat demokrasi di Malaysia. Sekalipun tidak dinyatakan spesifik sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya, tindakan merosakkan undi bukanlah satu pilihan yang bijak. Ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan akan merugikan semua pihak.[2]

 

  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak perlu merosakkan undi dan terpengaruh dengan kempen undi rosak yang dijalankan oleh pihak tertentu yang berpendapat parti politik kerajaan dan pembangkang tidak menguntungkan rakyat. Beliau mengulas sekalipun terdapat kekurangan di kedua-dua belah pihak, namun rakyat boleh membuat pilihan antara kerajaan sedia ada dan pembangkang dengan menilai pembangunan yang telah dilaksanakan.[3]

 

  • Presiden Parti Islam Malaysia (PAS), Dato’ Seri Abdul Hadi Awang

Seorang tokoh orientalis, Snouck Hurgronje (Orientalis asal Belanda), yang menegaskan usaha yang mesti dilakukan oleh penjajah barat terhadap Islam ialah menjauhkan penganutnya daripada Islam, secara khususnya ajaran politik. Tujuannya supaya membiarkan ajaran penjajah terus menakluk umat Islam.

Menyedari perkara ini, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata: “Maka seruan ke arah memulau pilihan raya atau undi rosak adalah sebahagian daripada agendanya, supaya kuasa politik umat Islam dilemahkan atau diserahkan kepada pihak lain, sama ada memilih bukan Islam atau memberi peluang kepada pihak lain menguasai negara melalui pilihan raya. Ini berlaku apabila beranggapan politik tidak penting atau dikatakan sebagai amalan kotor yang mesti ditinggalkan oleh umat Islam.

Adapun kelemahan dan salah lakunya pula hendaklah dibetulkan, bukannya membatalkannya atau dipulaukan. Di mana tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat. Laksana kebodohan terhadap seorang yang memilih perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak bersetuju dengan jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna.”[4]

 

  • Peguam dan Aktivis Badan Bukan Kerajaan ProGuam, Dr. Haji Zulqarnain Luqman

Beliau berkata sekalipun undang-undang negara Malaysia tidak menjadikan perbuatan merosakkan undi sebagai satu kesalahan jenayah. Namun, ini bertentangan dengan semangat demokrasi yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau mengulas tujuan daripada gerakan undi rosak ini adalah kononnya untuk mengajar Barisan Nasional  dan Pakatan Harapan supaya mendengar suara mereka. Namun, mereka ini juga yang akan rugi kerana walau bagaimana kuat pun gerakan undi rosak ini dibuat pastinya sebuah kerajaan baharu akan terbentuk selepas PRU ke-14.

 

  • Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek

Beliau berkata, kempen undi rosak ini adalah melanggar undang-undang. Selain Akta Pilihanraya, menurut beliau, mereka juga boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan. Meskipun begitu, setakat hari ini tiada pertuduhan jenayah difailkan atau kes yang membicarakan melibatkan perbuatan undi rosak berdasarkan akta-akta yang disebutkan.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti keterangan di atas, kami dengan ini menyatakan bahawa:

  1. Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.
  2. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan bahkan tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.
  3. Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
  4. Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar'iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
  5. Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.

Justeru, usaha memadam ketidakstabilan ini hanya mampu dilakukan oleh seorang pemerintah Islam yang adil. Seorang pemerintah yang dapat menggariskan jalan yang betul kepada umat Islam dan mengingatkan mereka supaya tidak terpesong ke jalan yang lain. Ketika itu, umat Islam tidak akan terjebak dalam kekeliruan dan kebingungan disebabkan kejahilan mereka. Ini kerana mengikut hukum Allah SWT, perintah yang dikeluarkan oleh pemerintah adalah wajib dilaksanakan.

Namun, ketika pemerintah ini tidak wujud, para pendokong pelbagai fahaman sudah tentu akan berusaha menjadikan umat Islam berada dalam kebingungan tanpa sebarang penyelesaian. Akhirnya umat Islam akan berpecah kepada beberapa puak dan kelompok yang saling bercakaran. Mereka akan hancur disebabkan pertelagahan dan perpecahan itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/491-493)

Justeru, berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah, makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi. Sehubungan dengan itu, kami menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi agar mendaftarkan diri dengan segera untuk mengundi sempena PRU 14 dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon-calon yang diyakini menjaga Dharuriyyat al-Khams yang lima itu iaitu agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat dan kebaikan untuk Malaysia dan warganegaranya yang tercinta.

 

Akhukum fillah,

SS. Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan.

26 Jamadil Awal 1439H bersamaan 12 Februari 2018.

 

Pautan berkaitan:

[1] https://www.al-qaradawi.net/node/1135

[2] Utusan Online. 28 Januari 2018. “Undi rosak bukan amalan demokrasi”. http://www.utusan.com.my/berita/terkini/undi-rosak-bukan-amalan-demokrasi-1.598769#ixzz56rQumEcu

[3] Tidak Perlu Undi Rosak, Pilih Kerajaan Berdasarkan Pembangunan – Najib. 9 Februari 2018. http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1434832

[4] Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. 3 Februari 2018. “Kempen Undi Rosak: Musuh Islam dan Musuh Negara pada”. http://berita.pas.org.my/kempen-undi-rosak-musuh-islam-dan-musuh-negara/.