Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

POLIS

Mukadimah

Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato' Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu, ASTRO yang berhajat untuk meminta saya memberikan sedikit pandangan dan buah fikiran berkenaan file Polis Evo 2. Ini adalah berikutan rentetan daripada kontroversi yang timbul berkenaan filem ini.

Saya mencadangkan kepada beliau untuk membenarkan saya dan para pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menonton terlebih dahulu filem ini sebelum membuat sebarang ulasan yang terburu-buru berdasarkan trailer. Ini berdasarkan kaedah:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Maksudnya: Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.

Maka, pada hari ini (19 November 2018), kami telah diberi kesempatan untuk menonton tayangan khas Polis Evo 2. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami namakan dengan “Pendirian Mufti Wilayah Persekutuan Berhubung Isu Filem Polis Evo 2”

Sinopis

Sekumpulan pengganas telah menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduk sebagai tebusan. Pasukan Khas dari Malaysia dan Indonesia telah ditugaskan untuk mengendalikan kes itu tetapi misi mereka gagal. Kini ia semua terserah kepada Inspektor Khai dan Inspektor Sani untuk menyelamatkan tebusan dan pada masa yang sama cuba untuk menumpaskan kumpulan pengganas itu. [1]

Ulasan

Filem Polis Evo 2 yang memakan masa 2 jam 5 minit ini, menimbulkan sedikit kegusaran segelintir masyarakat berikutan beberapa watak dan babak yang seolah-olah memburukkan imej Islam dan menyamakan Islam sebagai pengganas. Filem ini merupakan lanjutan daripada filem Polis Evo yang keluar pada tahun 2015.

Secara umumnya, Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad. Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.

Begitu juga, tidak ada langsung padanya ciri-ciri yang sering dibayangkan pada sosok pengganas atas nama agama dalam filem-filem Barat seperti berjambang, ucapan yang penuh dengan nukilan dalil, konsisten dengan ibadah dan lain-lain. Watak Hafsyam digambarkan sebagai pemimpin ajaran sesat yang tegar merokok, mengedar dadah, kejam, akhlak bermasalah, tidak ada langsung babak solat dan lain-lain babak yang boleh menguatkan keyakinan kita bahawa beliau adalah benar-benar seorang pengganas atas nama agama.

“Kalau Aku Ahli Neraka, Kenapa Tuhan Takdirkan Aku Berdiri dan Engkau Melutut Depan Aku?!”

Kenyataan di atas adalah apa yang dilontarkan oleh watak antagonis Hafsyam ketika mana berhadapan dengan Inspektor Sani (Zizan Razak).

Idea dalam kenyataan di atas, tidak dijelaskan dengan terperinci sehingga selesai filem. Ianya hanya disampaikan dalam bentuk subteks di akhir jalan cerita dan mungkin tidak dapat dikesan oleh sebilangan besar penonton. Kesannya, ia boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qadha dan qadar. Dalam kerangka yang lebih besar, ia melibatkan isu permasalahan kejahatan atau mushkilat al-shar (the problem of evil) yang sering dibangkitkan oleh kelompok Ateis dan juga Agnostik. Kami telah kupas dengan panjang lebar dalam ruangan al-Afkar di sini [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/2757-al-afkar-25-tuhan-maha-pengasih-tetapi-membenarkan-kejahatan]

Idea ini sebenarnya adalah cebisan pemikiran Muktazilah yang melihat apa yang telah ditakdirkan buat seseorang, adalah kebaikan sahaja kerana Allah SWT sama sekali tidak akan melakukan keburukan. (Lihat al-Munyah wa al-Amal, m. 117.). Ini berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah sebagaimana kata Imam Abd al-Qadir al-Baghdadi yang melihat apa yang dilakukan oleh Allah SWT adalah adil samada ianya baik atau buruk pada pandangan manusia. (Lihat Usul al-Din, m. 26.)

Ini menyebabkan pertembungan naratif baik dan buruk tidak seimbang antara watak protagonis dan antagonis. Penonton mungkin akan kekeliruan dalam menghadam subteks, dalam situasi teks yang lebih mengenengahkan ideologi fanatik dan sesat, tanpa naratif balas yang kukuh daripada watak protagonis.

Dalam Islam, orang zalim yang memperolehi satu nikmat seperti kekuasaan itu bukan petanda Allah redha terhadap orang itu. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Taftazani dalam Syarah al-‘Aqidah al-Nasafiyyah, segala apa yang diizinkan-Nya terjadi, tidak semestinya diredhai-Nya. Keburukan dan kebaikan perlulah difahami melalui Neraca Syarak.

Boleh jadi perkara yang disangka baik itu adalah istidraj yang menjadikan orang zalim itu semakin ingkar dan kufur terhadap nikmat tersebut, seperti Firaun dan Namrud. Firman Allah SWT:

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى (24) فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الْآخِرَةِ وَالْأُولَى (25)

Maksudnya: Apabila Fir’aun berkata: "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.".

 (Surah al-Nazi’at: 24-25)

Pujian Atas Sisi Positif

Antara beberapa perkara yang kami lihat sebagai unsur positif dalam filem ini adalah:

  1. Satu pengiktirafan kepada wanita apabila watak SACC Dato’ Azizat (Erra Fazira) memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan misi menumpaskan ajaran sesat. Watak polis, apatah lagi yang mengetuai misi-misi penting biasanya dimainkan oleh lelaki. Namun, apa yang ditunjukkan oleh Polis Evo 2 adalah berbeza. 
  2. Pendedahan aurat dan juga ikhtilat yang sangat minima. Ini perkembangan baru yang sangat baik dalam filem tempatan. Adapun hukum melihat aurat dalam media sosial dan filem misalnya, kami telah ulas pada 21 Mei 2018. Lihat di sini [http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/117-artikel/irsyad-fatwa/2412-irsyad-al-fatwa-227-hukum-memuat-naik-gambar-tidak-menutup-aurat-di-media-sosial]
  3. Semangat berpasukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan tanahair dan keamanan adalah mesej yang jelas dizahirkan. Mereka juga digambarkan sebagai individu yang kuat pegangan agama dan mengutamakan solat berjemaah. Malah, SACC Dato’ Azizat juga seorang wanita yang lengkap bertudung dan berpakaian sopan serta menutup aurat.

Kesimpulan

Secara umumnya, kami berpandangan filem ini tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam. Sebaliknya lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama. Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salahfaham terhadap agama.

Akhir kalam, bukanlah niat dan tugas kami untuk menapis semua filem-filem tanahair. Namun, ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair. Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

Institusi agama khususnya mufti bukanlah satu tempat yang eksklusif sehingga sukar untuk ditembusi. Tanggapan kepada institusi fatwa sebagai terlalu keras, tidak mesra dengan seni, sentiasa mengharamkan itu dan ini, hanyalah andaian semata-mata. Kami sejak dahulu lagi konsisten membuka ruang seluas-luasnya untuk membina jambatan antara institusi fatwa dan industri kreatif dalam mencorakkan Dasar Industri Kreatif Negara ke arah yang lebih baik.

Semoga kenyataan ini meredakan ketegangan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di Malaysia berkenaan Polis Evo 2. Kami memohon seribu kemaafan andainya apa yang tertulis ini, mengguris hati mana-mana pihak. Apa yang telah terjadi ini, merupakan satu ingatan bagi pihak dalam industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya. Kami pasti krew produksi Polis Evo 2 sudah melakukan yang terbaik. Ucapan penghargaan kepada YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh dan wargakerja ASTRO yang mengambil inisiatif ini.

Wallahu a’lam.

 

[1] http://www.cinema.com.my/bm/movies/details.aspx?search=2018.13986.polisevo2.27875#XRJKhtLZRIqHKTUJ.97