Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-301: ADAKAH MELANGGAR FATWA MERUPAKAN SATU KESALAHAN?

ADAKAH_MELANGGAR_FATWA_MERUPAKAN_SATU_KESALAHAN.jpg

Pendahuluan

Secara asasnya, sesuatu fatwa yang telah diwarta di Wilayah Persekutuan adalah mengikat semua orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Justeru, sesuatu fatwa yang telah diwarta mestilah dihormati sebagai satu hukum syarak yang telah diputuskan sebagai undang-undang yang mengikat. 

Selain itu, Mahkamah-Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan juga mestilah menerima dan mengiktiraf fatwa-fatwa yang diwarta di Wilayah Persekutuan dalam perkara-perkara yang membabitkan penentuan hukum syarak.

Justeru dapat difahami bahawa sesuatu fatwa yang mengikat itu hanyalah fatwa-fatwa yang telah diwartakan sahaja. Sekiranya sesuatu fatwa itu tidak diwartakan di Wilayah Persekutuan, maka fatwa tersebut hanya menjadi panduan kepada orang Islam di Wilayah Persekutuan tanpa mempunyai kuasa undang-undang untuk mengikat seseorang kepada fatwa tersebut.

Kesalahan Melanggar Fatwa Yang Diwartakan

Oleh kerana sesuatu fatwa yang diwarta di Wilayah Persekutuan mengikat semua orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan, maka perbuatan melanggar fatwa ini dianggap sebagai satu kesalahan. Justeru, setiap orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan mestilah mengikut dan mematuhi setiap fatwa yang telah diwartakan.

Selain itu, perbuatan memberikan, mengembangkan atau menyebarkan pandangan mengenai hukum syarak yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang diwarta Wilayah Persekutuan adalah dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 12, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 [Akta 559].

Seseorang yang melakukan perkara ini boleh dipertuduhkan di mahkamah-mahkamah syariah Wilayah Persekutuan. Sekiranya mahkamah berpuas hati dan mensabitkan seseorang melakukan kesalahan di bawah peruntukan ini, seseorang itu boleh didenda dengan bayaran tidak melebihi RM3,000.00, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau boleh dihukum dengan kedua-dua hukuman tersebut.

Bukan sekadar itu, orang yang melanggar sesuatu fatwa juga boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 [Akta 559] juga, dan boleh dianggap sebagai menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

Di bawah Seksyen 9, Akta 559 ini juga, apabila Mahkamah Syariah berpuas hati dan mensabitkan seseorang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang ini, mahkamah juga boleh mengenakan denda dengan bayaran tidak melebihi RM3,000.00, atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau boleh dihukum dengan kedua-dua hukuman tersebut.

Kepentingan Peruntukan Undang-Undang Terhadap Kesalahan Melanggar Fatwa

Peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan melanggar fatwa bertujuan antaranya untuk memastikan pematuhan terhadap sesuatu fatwa yang dikeluarkan, dan juga untuk menjaga kepentingan agama Islam, serta memastikan kesatuan pandangan dalam kalangan umat Islam berhubung dengan isu-isu yang berkaitan dengan sesuatu fatwa.

Sesuatu fatwa adalah merupakan panduan rasmi yang berdasarkan Quran, Sunnah, dan prinsip-prinsip syarak. Dengan adanya peruntukan undang-undang yang mengikat sesuatu fatwa, keadaan ini dapat memastikan keputusan-keputusan yang berkaitan dengan isu agama sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh seluruh umat Islam.

Selain itu, kesatuan pandangan dalam aspek-aspek tertentu dalam agama Islam juga sangat penting, terutamanya bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan perpecahan terhadap kesatuan masyarakat Islam.

Peruntukan undang-undang yang mengikat sesuatu fatwa juga dapat mengukuhkan kedudukan institusi agama terutamanya di Wilayah Persekutuan dan dapat memastikan bahawa segala panduan dan peraturan berkaitan agama Islam yang dikeluarkan sentiasa dihormati oleh masyarakat seluruhnya.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

  1. Subseksyen 34(3), Akta 505: “Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu...”.
  2. Subseksyen 34(4), Akta 505: “Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya”.
  3. Seksyen 12, Akta 559: “Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, Hukum Syarak atau apa-apa isu yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.
  4. Seksyen 9, Akta 559: “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.