Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-303: PROSES PENGELUARAN FATWA DI WILAYAH PERSEKUTUAN

PROSES_PENGELUARAN_FATWA_DI_WILAYAH_PERSEKUTUAN.jpg

 

Pendahuluan

Baru-baru ini, timbul sedikit kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat berhubung tatacara pengeluaran fatwa di Wilayah Persekutuan. Terdapat segelintir pihak yang mendakwa bahawa keputusan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti merupakan keputusan yang dibuat secara individu dan bukan dibincangkan secara bersama. Tuduhan ini ternyata jauh sama sekali dari realiti. Hal ini kerana pada dasarnya apabila suatu fatwa itu hendak dikeluarkan, ia perlu dibincangkan dan diputuskan dalam suatu mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak sebelum dikeluarkan sebagai jawapan rasmi mufti kepada awam.

Hal ini ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta 505, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang mana subseksyen 37(5) memperuntukkan:

Apabila Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 34 dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.”

Proses Pengeluaran Fatwa

Bukan itu sahaja, sebelum kertas fatwa ini dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, ia perlu melalui beberapa proses kajian dan penyelidikan yang mendalam seterusnya ditapis dalam mesyuarat pra. Ringkasnya, proses pengeluaran fatwa boleh dilihat dalam carta alir seperti berikut:

 

 Proses_Pengeluaran_Fatwa.png

 

 

Proses Pewartaan Fatwa

Mufti juga berkuatkuasa untuk menyiarkan fatwanya dalam Warta Kerajaan yang mana ia merupakan fatwa yang diakui oleh mahkamah dan mengikat semua pihak dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan. Fatwa ini juga dikenali sebagai Fatwa Warta. Perkara ini jelas sebagaimana yang termaktub melalui peruntukan Akta Pentadbiran Undang- Undang Islam (Wilayah–Wilayah Persekutuan) 1993 Akta 505 di bawah Seksyen 34.

Apabila sesuatu fatwa itu ingin diwartakan, ia perlu melalui beberapa proses tambahan termasuklah mengadakan perbincangan sighah fatwa di peringkat dalaman. Setelah itu, ia dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk tujuan semakan awal sighah fatwa tersebut sebelum diadakan bengkel semakan bersama pihak-pihak yang berkaitan. Tatacaranya boleh dilihat dalam carta alir berikut:

 

 Proses_Pewartaan_Fatwa.png

 

 

Penutup

Jika kita melihat kepada proses dan tatacara pengeluaran fatwa di Wilayah Persekutuan, ia menunjukkan bahawa fatwa bukan sekadar keputusan individu tetapi melalui perbincangan yang diadakan secara kolektif. Sehubungan dengan itu, dakwaan menyatakan bahawa Mufti mengeluarkan fatwa atas keputusannya secara sendirian adalah tidak benar sama sekali. Wallahu A‘lam.