PERCERAIAN SECARA BAIK: JALAN TERHORMAT DALAM MENGAKHIRI PERKAHWINAN
Mukadimah
Perceraian bukan suatu amalan yang digalakkan dalam Islam. Namun begitu, syariat tetap mengiktirafnya sebagai jalan penyelesaian terakhir apabila tujuan perkahwinan gagal dicapai. Dalam kerangka syariat, perceraian bukan sekadar memutuskan hubungan tetapi satu proses yang terikat dengan adab, tanggungjawab dan keadilan. Islam menekankan agar perpisahan dilakukan secara baik, penuh ihsan dan tanpa kezaliman terhadap mana-mana pihak.
Perceraian selalunya digambarkan sebagai medan pertempuran yang penuh dengan emosi dan dendam. Namun, dalam kerangka undang-undang keluarga Islam terutamanya di Wilayah Persekutuan melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam wujud ruang untuk bercerai secara baik.
Perceraian di sisi Syarak
Hukum asal perceraian adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi wajib, sunat, makruh atau haram bergantung kepada keadaan. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:
أبْغض الْحَلال إِلَى الله الطَّلاق
Maksudnya: “Perkara yang paling dibenci Allah adalah Talak”
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menjadi peringatan bahawa walaupun talak diharuskan, ia bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa keperluan. Perceraian hendaklah menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha perdamaian dan islah dilaksanakan. Dalam perundangan keluarga Islam di Malaysia, perceraian hendaklah diputuskan melalui Mahkamah Syariah bagi memastikan hak kedua-dua pihak terpelihara.
Antara bentuk perceraian yang diiktiraf ialah talak yang dilafazkan oleh suami, perceraian melalui tebus talak (khuluk) serta fasakh yang diputuskan oleh hakim syar’i atas sebab-sebab tertentu seperti pengabaian nafkah atau kemudaratan.
Talak Bukan Sekadar Emosi
Allah SWT berfirman:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”
Surah al-Baqarah (229)
Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan bahawa talak menurut syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan menggunakan lafaz tertentu. Asas syariahnya banyak dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah serta disepakati oleh seluruh umat Islam malah oleh seluruh kaum dan bangsa.
Hukum talak berbeza mengikut keadaan hubungan suami isteri tersebut dan sebabnya. Talak boleh menjadi wajib seperti talak seorang suami yang tidak ingin melakukan hubungan suami isteri dan dua hakim mengesahkannya. Begitu juga, hukumnya akan menjadi sunat seperti apabila seseorang tidak mampu menunaikan hak-hak isterinya walaupun tidak berniat menzalimi atau apabila isteri tidak menjaga kesucian diri dan suami khuatir berlaku kemaksiatan.[1]
Talak adalah hak suami, namun ia bukan alat untuk melampiaskan kemarahan. Lafaz talak yang jelas dan memenuhi syarat akan membawa implikasi hukum yang besar. Justeru, suami dituntut agar mempertimbangkan secara matang sebelum melafazkannya.
Talak bukan bertujuan menyakiti pasangan tetapi sebagai langkah untuk mencegah kemudaratan atau maksiat, justeru syarak memberi panduan agar ia dijalankan secara adil dan rasional. Perceraian yang dilakukan dengan tertib dan adab lebih mendekati maksud pensyariatan talak.
Imam al-Ghazali menegaskan bahawa talak adalah harus dalam Islam tetapi ia termasuk perkara harus yang paling dibenci di sisi Allah SWT. Ia hanya dibenarkan jika tidak menzalimi pihak lain. Setiap kali talak dijatuhkan, suami boleh menyebabkan kesakitan kepada isteri dan menyakiti orang lain hanya dibenarkan jika ada sebab yang sah atau keperluan yang wajar.[2] Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا
Maksudnya: “Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.”
Surah al-Nisa (34)
Khuluk Jalan Damai bagi Isteri
Khuluk ialah bentuk perceraian yang berlaku atas permintaan isteri dengan persetujuan suami, biasanya dengan bayaran tebus talak. Ia memberi ruang kepada isteri yang tidak lagi mampu meneruskan perkahwinan untuk berpisah secara baik tanpa perlu menunggu kemudaratan lebih besar. Dalil jelas sepertimana firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ
Maksudnya: “Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”
Surah al-Baqarah (229)
Perkara ini menunjukkan bahawa Islam tidak menutup jalan keluar kepada wanita bahkan menyediakan mekanisme yang adil dan berimbang demi menjaga kebajikan kedua-dua pihak.
Di Wilayah Persekutuan, peruntukan mengenai khuluk terdapat dalam seksyen 49, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah persekutuan) 1984. Dengan melalui peruntukan ini, permohonan khuluʿ hendaklah dibuat di Mahkamah Syariah. Jika kedua-dua pihak bersetuju tentang jumlah tebusan, mahkamah akan merekodkan perceraian tersebut sebagai sah. Jika terdapat pertikaian, mahkamah boleh menentukan jumlah tebusan yang adil menurut hukum syarak. Ini memastikan perceraian berlaku secara teratur, sah di sisi undang-undang dan melindungi hak kedua-dua pihak.
Prinsip Ihsan dalam Perpisahan
Al-Quran menggariskan prinsip penting dalam perceraian iaitu sama ada mempertahankan rumah tangga dengan cara yang baik atau melepaskan dengan cara yang baik. Perceraian yang dilaksanakan secara baik selaras dengan maqasid syariah kerana ia bertujuan memelihara agama, jiwa dan keturunan daripada terus terdedah kepada kemudaratan yang berpanjangan. Prinsip ini ditekankan dalam firman Allah SWT:
فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ
Maksudnya: “Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Surah al-Baqarah (229)
Islam sangat menjaga umatnya dan tidak dibenarkan untuk berbuat zalim atau dizalimi haknya. Prinsip ini menjadi hujah kuat bahawa ihsan bukan pilihan moral semata-mata tetapi merupakan tuntutan syarak yang harus dilaksanakan dalam hubungan suami isteri walaupun bersetuju untuk berpisah.
Dalam perceraian, prinsip ihsan dapat dirangkumi dalam beberapa perkara penting:
- Tidak membuka aib pasangan kecuali bertujuan mendapatkan keadilan di mahkamah kerana maruah suami atau isteri wajib dijaga.
- Menunaikan hak nafkah dan mutaah isteri dengan sewajarnya.
- Mengutamakan kebajikan anak-anak seperti hak hadanah (penjagaan anak) perlu ditentukan berdasarkan kemaslahatan mereka bukan dendam ibu bapa.
- Mengelakkan pertikaian berpanjangan dengan mengadakan rundingan secara damai lebih utama daripada perbalahan terbuka.
Peranan Mahkamah Syariah
Di Malaysia, setiap perceraian bagi pasangan Islam perlu didaftarkan dan disahkan oleh Mahkamah Syariah. Proses ini penting bagi memastikan:
- Status perkahwinan jelas di sisi undang-undang
- Hak nafkah, harta sepencarian dan penjagaan anak diputuskan secara adil
- Tiada manipulasi atau penafian hak berlaku
Perceraian di luar mahkamah tanpa pengesahan boleh menimbulkan implikasi undang-undang dan kesukaran pada masa hadapan.
Di Malaysia, setiap perceraian bagi pasangan Islam hendaklah didaftarkan dan disahkan oleh Mahkamah Syariah bagi memastikan kesahannya di sisi undang-undang. Proses ini penting supaya status perkahwinan jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan pada masa hadapan, khususnya dalam urusan dokumen rasmi, perkahwinan semula dan tuntutan hak.
Sebelum sesuatu perceraian diputuskan, mahkamah lazimnya melalui proses sulh iaitu sesi perbincangan dan perdamaian yang dikendalikan oleh pegawai sulh. Proses ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang secara teratur dan tertutup bagi mencari penyelesaian terbaik, sama ada untuk berdamai atau mencapai persetujuan bersama berkaitan perceraian serta tuntutan lain. Pendekatan ini membantu mengurangkan pertikaian berpanjangan dan memelihara keharmonian, terutama apabila melibatkan anak-anak.
Melalui pengesahan mahkamah juga, perkara-perkara seperti nafkah, harta sepencarian dan penjagaan anak dapat diputuskan secara adil menurut hukum syarak dan undang-undang. Perceraian yang berlaku di luar mahkamah tanpa pengesahan boleh menimbulkan implikasi undang-undang, termasuk kesukaran dalam tuntutan hak serta risiko penafian tanggungjawab oleh mana-mana pihak pada masa hadapan. Oleh itu, penglibatan Mahkamah Syariah adalah langkah penting untuk memastikan keadilan dan perlindungan hak kedua-dua pihak terjamin.
Perceraian Bukan Kegagalan Mutlak
Dalam realiti kehidupan, tidak semua perkahwinan dapat diselamatkan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Islam melihat perceraian sebagai jalan terakhir setelah proses nasihat, perdamaian dan campur tangan keluarga gagal mencapai penyelesaian. Dalam konteks undang-undang di Wilayah Persekutuan, sebelum sesuatu perceraian diputuskan oleh Mahkamah Syariah, pasangan juga akan melalui proses Majlis Sulh iaitu sesi perbincangan dan pendamaian yang memberi ruang untuk mencari jalan damai atau mencapai persetujuan secara baik.
Bercerai secara baik bermaksud berpisah tanpa permusuhan, menerima ketentuan Allah dengan reda dan meneruskan kehidupan dengan penuh tanggungjawab. Ia bukan medan untuk membalas dendam tetapi ruang untuk memperbaiki masa depan dengan lebih matang dan berhemah.
Penutup
Perceraian yang dilakukan secara baik mencerminkan kematangan iman dan akhlak. Walaupun hubungan suami isteri berakhir, tanggungjawab sebagai ibu bapa dan sebagai Muslim tetap berterusan. Dengan mematuhi syariat dan undang-undang, perceraian dapat dilaksanakan secara tertib, adil dan berperikemanusiaan.
Akhirnya, ukuran sebenar bukan pada berakhirnya perkahwinan, tetapi pada bagaimana ia diakhiri. Islam mengajar bahawa perpisahan juga boleh menjadi ibadah – jika dilaksanakan dengan taqwa dan ihsan.
[1] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983). 8:2.
هُوَ لُغَةً حَلُّ الْقَيْدِ وَشَرْعًا حَلُّ قَيْدِ النِّكَاحِ بِاللَّفْظِ الْآتِي وَالْأَصْلُ فِيهِ الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ، وَإِجْمَاعُ الْأُمَّةِ بَلْ سَائِرُ الْمِلَلِ، وَهُوَ إمَّا وَاجِبٌ كَطَلَاقِ مُولٍ لَمْ يُرِدْ الْوَطْءَ وَحَكَمَيْنِ رَأَيَاهُ. أَوْ مَنْدُوبٌ كَأَنْ يَعْجِزَ عَنْ الْقِيَامِ بِحُقُوقِهَا وَلَوْ لِعَدَمِ الْمَيْلِ إلَيْهَا أَوْ تَكُونَ غَيْرَ عَفِيفَةٍ مَا لَمْ يَخْشَ الْفُجُورَ بِهَا
[2] Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad. Ihya ‘Ulum al-Din. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, t.t.). 2:55.
الطلاق وليعلم أنه مباح ولكنه أَبْغَضُ الْمُبَاحَاتِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى وَإِنَّمَا يَكُونُ مباحاً إذا لم يكن فيه إِيذَاءٌ بِالْبَاطِلِ وَمَهْمَا طَلَّقَهَا فَقَدْ آذَاهَا وَلَا يُبَاحُ إِيذَاءُ الْغَيْرِ إِلَّا بِجِنَايَةٍ مِنْ جَانِبِهَا أو بضرورة من جانبه