Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 114: IBADAH KORBAN: MENJAWAB DAKWAAN SITI KASSIM

Mukadimah

Kami mendapat beberapa maklumat melalui media sosial, di samping banyak persoalan yang diajukan oleh masyarakat berkenaan satu kenyataan dan dakwaan daripada saudari Siti Kasim[1] yang agak berat diberikan terhadap ibadah korban yang merupakan suatu tuntutan syariat kepada umat Islam. Kami meneliti satu demi satu dakwaan dan kenyataan di dalam tulisan tersebut. Sebagai pihak yang mempunyai kuasa autoriti agama, maka kami berasa bertanggungjawab untuk memberikan komentar balas dan juga pencerahan bagi menghilangkan kekeliruan yang berlaku. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan hanya memfokuskan berkenaan jawapan balas kepada dakwaan dan kenyataan tersebut.

Jadikan Al-Quran dan Al-Sunnah Sebagai Rujukan

Bagi umat Islam, al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber paling utama untuk menjelaskan sebarang kekeliruan dan juga percanggahan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

Maksudnya: Sekiranya kalian saling bercanggah terhadap sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan juga Rasul.

Surah al-Nisa’ (59)

Kata al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini: Ini adalah perintah daripada Allah S.W.T. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah S.A.W serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah S.A.W, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik.

Islam sangat meraikan fungsi akal sebagai penyokong dan penguat kepada nas wahyu ilahi dan juga nas nabawi. Namun, fungsi akal hendaklah dipandu dengan al-Kitab dan al-Sunnah serta menjadikan ia sebagai pengikut kepada syariat. Ini berdasarkan kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib R.Anh yang berikut:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْىِ لَكَانَ أَسْفَل الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلاَهُ 

Maksudnya: Sekiranya agama itu berdasarkan kepada logik akal semata, nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya.

Riwayat Abu Daud (162)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa akal yang sejahtera sama sekali tidak akan bercanggah dengan agama yang sahih. Justeru, apabila sesuatu nas itu sahih lagi sarih (jelas), adalah tidak mungkin untuk saling berlawanan dengan akal yang sihat lagi jelas. Boleh jadi akal tidak mampu untuk mencapainya, namun tidak berlaku sebarang percanggahan dengan agama.

Imam Mulla ‘Ali al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kalaulah agama ini hanya sekadar berdasarkan logik akal semata, iaitu sekadar menggunakan akal tanpa merujuk kepada riwayat dan juga naqal (al-Quran dan al-Sunnah), nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu kerana hampirnya bahagian tersebut dengan kotoran dan juga najis berbanding bahagian atasnya kerana jauhnya ia dari kotoran. Kata beliau lagi: Sekiranya kamu memahami perkara ini, maka ketahuilah bahawa akal yang sempurna adalah mengikut kepada syariat. Ini kerana, akal itu secara bersendirinya tidak mampu untuk memahami semua hikmah ilahi. Maka hendaklah ia ta’abbud (mengabdikan diri) sebagai tanda ‘ubudiyyah. Dan tidaklah sesat golongan yang sesat melainkan kerana mereka terlalu menurut akal mereka dan dalam masa yang sama meninggalkan naqal (al-Kitab dan al-Sunnah). Lihat Mirqaat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (2/479).

Konsep Pengorbanan Bukan Rukun Islam

Dakwaan yang menyatakan bahawa pengorbanan atau ibadah korban adalah tidak termasuk di dalam rukun Islam adalah kenyataan yang tepat dari satu sudut. Ini kerana, rukun Islam yang disepakati oleh kebanyakan para fuqaha adalah lima rukun sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah bin Umar R.anhuma beliau berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam dibina di atas lima perkara, persaksian bahawa tidak ada Tuhan yang diabdikan diri kepadanya selain Allah dan persaksian bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba Allah dan juga Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan ibadah haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadan.

Riwayat Muslim (16)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa rukun Islam adalah lima perkara seperti yang telah disebutkan. Walaupun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa terdapat sebahagian ulama fekah yang memasukkan ibadah jihad sebagai rukun Islam yang keenam. Di antaranya adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin al-Qasim Rahimahullah: Sebahagian ulama memasukkan jihad sebagai rukun yang keenam bagi agama Islam. Oleh yang demikian itulah, mereka memasukkan perbahasan berkenaan jihad setelah rukun islam yang lima. Rujuk Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ (4/253).

Justeru, ibadah jihad yang melibatkan pengorbanan nyawa, harta, tenaga, dan selainnya kerana Allah ini turut dimasukkan oleh sebahagian ulama sebagai salah satu tiang bagi agama Islam. Walaupun kami lebih cenderung kepada pendapat majoriti ulama yang menyatakan bahawa rukun Islam itu adalah sebanyak lima perkara. Namun perkara yang perlu difahami adalah, sesuatu ibadah itu sekalipun tidak termasuk sebagai rukun Islam, ia tetap perlu dilaksanakan oleh Islam sama ada tuntutan melakukannya itu datang dalam bentuk wajib ataupun bentuk sunat.

Ibadah korban adalah termasuk di dalam tuntutan ke atas umat Islam. Perintah ini datang sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W yang bersabda:

 إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.

Riwayat Muslim (1977)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat sahaja. Ini kerana, perlaksanaan ibadah ini disifatkan sebagai memenuhi muraad (kehendak dan kemahuan) seseorang itu. Justeru, jika seseorang mahu melaksanakannya maka dia telah melakukan suatu perbuatan sunnah yang sangat digalakkan.

Mendapatkan Redha Allah S.W.T Dengan Menumpahkan Darah Yang Lain

Di dalam kenyataan tersebut, penulis menyatakan; “(Demikian juga tidak terdapat di dalam al-Quran) idea memperoleh atau mendapatkan bantuan melalui persembahan nyawa sesuatu yang lain kepada Tuhan”.

Pada hakikatnya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ibadah korban ada dinyatakan di dalam al-Qur'an dan terdapatnya tuntutan melakukan korban yang dibalas dengan pahala sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: Nescaya aku akan membunuh kamu. Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa.

Surah Al-Maidah (27)

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa perbuatan korban ada dinyatakan di dalam al-Quran. Sekiranya kita melihat kepada tafsiran para ulama terhadap ayat ini, ia sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash R.anhuma beliau berkata: Sesungguhnya dua anak Adam yang melaksanakan korban lalu diterima korban salah seorang dari mereka dan tidak diterima korban dari yang satu lagi. Salah seorangnya (Qabil) adalah merupakan pemilik kebun dan yang satu lagi merupakan pemilik kambing. Keduanya diperintahkan untuk melakukan korban. Pemilik kambing mempersembahkan kambing paling bernilai, paling gemuk, dan yang terbaik yang dimilikinya. Manakala pemilik kebun mmempersembahkan hasil tanamannya yang paling buruk dan tidak elok. Lalu Allah S.W.T menerima korban pemilik kambing dan tidak menerima korban pemilik kebun tersebut. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (3/82).

Demikian juga firman Allah S.W.T:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan.

 

Surah al-Kauthar (2)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin A’isyah R.Anha, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Hadis ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. Lihat Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (5/61).

Benarkah Al-Quran Tidak Menyebut Allah Memerintahkan Ibrahim Untuk Menyembelih Anaknya ?

Dakwaan yang menyatakan bahawa tidak terdapat di dalam al-Quran suatu ayat yang menunjukkan Allah S.W.T memberi arahan kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya adalah suatu yang tidak tepat. Ini jelas kontradik dengan firman Allah S.W.T:

يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ 

Maksudnya: (Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar.

Surah al-Saaffat (102)

Berdasarkan ayat ini, terdapat beberapa perkara penting yang perlu untuk kita teliti yang kami simpulkan seperti berikut:

Pertama: Mimpi Para Nabi Adalah Wahyu

Perkara ini dinyatakan oleh beberapa tokoh ulama yang menafsirkan ayat tersebut. Kata al-Imam Qatadah Rahimahullah: Mimpi para Nabi adalah benar, mereka melihat perkara-perkara yang telah mereka lakukan. Begitulah juga yang disebutkan oleh ‘Ubaid bin ‘Umair yang berkata: Mimpi para Nabi adalah wahyu. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (21/73).

Manakala Imam al-Qurthubi Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini beliau menukilkan kenyataan  Syeikh Muhammad bin Ka’ab yang berkata: Adalah para Rasul itu, datang kepada mereka wahyu dalam keadaan mereka sedar dan juga ketika mereka tidur. Ini kerana para Nabi itu jantung hati mereka tidak tidur. Ini sabit berdasarkan sebuah khabar daripada Nabi S.A.W beliau bersabda: “Sesungguhnya kami para Nabi, mata-mata kami tidur tetapi jantung hati kami tidak tidur”. Manakala Ibn Abbas R.anhuma berkata: Mimpi para Nabi adalah wahyu.

Kemudian Imam al-Qurthubi menukilkan sebuah riwayat yang mengatakan: Sesungguhnya Nabi Ibrahim melihat pada malam tarwiyah seakan-akan ada seseorang yang berkata: Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu untuk menyembelih anak kamu. Apabila Nabi Ismail sedar, beliau berfikir adakah itu mimpi dari Allah atau dari syaitan ? Pada malam berikutnya pula, dikatakan kepadanya: Suatu janji. Maka Nabi Ibrahim mengetahui yang ia adalah perintah Allah. Keesokan harinya pula baginda bermimpi perkara yang sama, maka fahamlah baginda bahawa Allah S.W.T memerintahkan kepadanya untuk menyembelih anaknya. Rujuk al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (15/90).

Maka berdasarkan riwayat di atas, jelaslah kebatilan dakwaan individu yang mengatakan bahawa mimpi Nabi Ibrahim tersebut bukan datang daripada Allah S.W.T.

Kedua: Mimpi Nabi Ibrahim Adalah Perintah Allah

Berdasarkan kepada siyaaq (konteks) ayat tersebut, Nabi Ismail apabila memberikan pandangan dan kenyataan terhadap mimpi ayahnya Nabi Ibrahim, beliau mengatakan: ‘’Wahai bapaku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu’’. Maka jelas di sini bahawa Nabi Ismail A.S. memahami bahawa mimpi bapanya itu adalah satu perintah daripada Allah S.W.T. Justeru, ternafilah dakwaan bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan bahawa Allah S.W.T memberi arahan kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Dalam ayat ke 104-105, Allah sendiri membenarkan dan mengiktiraf mimpi arahan untuk menyembelih Ismail. Firman Allah SWT:

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَاإِبْرَاهِيمُ  قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan."

Jelas bahawa ia cuma sekadar satu bentuk ujian untuk melihat samada Nabi Ibrahim benar-benar beriman dan taat akan perintah-Nya ataupun tidak. Nabi Ibrahim tidak menyembelih Ismail kerana Allah SWT telah menggantikan dengan seekor kibasy yang gemuk untuk disembelih. Jika penulis tersebut membaca kisah-kisah Nabi Ibrahim yang dinyatakan dalam beberapa surah, sudah barang pasti beliau akan memahami naratif pengkisahannya yang kesemuanya memfokuskan kepada tema Tauhid dan ketaatan kepada Allah.

Demikian jugalah dalam membenarkan kenyataan kami ini, kami berhujahkan kepada firman Allah S.W.T dalam ayat yang berikutnya:

 إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ

Maksudnya: Sesungguhnya hal tersebut adalah merupakan ujian yang jelas lagi nyata.

Surah Al-Saaffat (106)

Ibn Jarir al-Thabari Rahimahullah berkata: Allah S.W.T berfirman: Sesungguhnya perintah Kami kepada kamu untuk menyembelih anak kamu adalah merupakan suatu bala’. Iaitu ujian bagi sesiapa yang berfikir bahawa yang demikian itu adalah satu bala yang pedih dan juga ujian yang berat. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (21/76).

Kami turut tertarik dengan kenyataan penulis yang mengatakan al-Quran mengajar kita bahawa Allah S.W.T tidak pernah mempromosi atau menggalakkan sebarang bentuk kejahatan. Beliau berhujah menggunakan ayat ke 28 daripada surah al-A’raaf yang menyebut:

قُلْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ ۖ أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya Allah tidak memerintahkan perbuatan faahisyah (yang keji). Apakah kamu mengatakan tentang Allah S.W.T sesuatu yang kamu tidak ketahui.

Surah Al-A’raaf (28)

Secara asasnya, kami bersetuju bahawa Allah S.W.T tidak memerintahkan kita untuk melakukan kejahatan. Walaubagaimanapun, untuk mendakwa seolah-olah ayat ini kontradik dengan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim A.S supaya menyembelih anaknya adalah suatu yang tidak tepat. Bahkan ia termasuk juga di dalam larangan pada bahagian akhir ayat yang dikongsikan oleh penulis tersebut: Apakah kamu mengatakan tentang Allah S.W.T sesuatu yang kamu tidak ketahui !

Demikian jika dilihat kepada tafsiran ayat tersebut, konteksnya menceritakan berkenaan perbuatan masyarakat musyrikin Makkah terdahulu yang melakukan tawaf di baitullah dalam keadaan telanjang. Perbuatan ini dikategorikan sebagai faahisyah (suatu yang keji). Justeru, al-Quran menyatakan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T tidak memerintahkan kepada suatu yang keji.

Berbalik kepada persoalan, adakah perintah Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim A.S supaya menyembelih anaknya itu dianggap menggalakkan kejahatan ? Jawabnya sudah tentu tidak, kerana itu merupakan perintah Allah S.W.T dan Allah S.W.T sama sekali tidak akan memerintahkan sesuatu melainkan Dia suka kepada perkara tersebut dan Dia meredhainya.

Begitu juga penulis menyatakan bahawa hanya Syaitan yang menggalakkan kejahatan, berdasarkan ayat ke 21 daripada surah al-Nur berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang mengikut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya ia itu memerintahkan kepada perkara keji dan juga kemungkaran.

Surah Al-Nur (21)

Ayat ini juga benar dalam konteks Syaitan menyuruh manusia melakukan perkara keji dan mungkar yang dinyatakan oleh Allah S.W.T dan juga Rasul-Nya sendiri sebagai perkara mungkar dan keji. Namun tidak tepat untuk memasukkan sesuatu perbuatan yang dianggap jahat dan keji pada logik pemikiran manusia semata-mata.

Larangan Berkata Tentang Allah Tanpa Ilmu

Kami melihat bahawa dakwaan-dakwaan seperti ini adalah termasuk di dalam perbuatan berkata-kata tentang Allah S.W.T tanpa ilmu. Perbuatan ini termasuk dalam perkara yang dilarang di dalam al-Quran. Firman Allah S.W.T:

قلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya Tuhanku telah mengharamkan perbuatan-perbuatan keji apa-apa yang zahir dan yang tersembunyi darinya. (Juga Tuhan) mengharamkan dosa, melampaui batas tanpa sebarang hak, serta mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah dengannya, dan kamu bercakap tentang Allah S.W.T ke atas sesuatu yang kamu tidak ada ilmu tentangnya.

Surah Al-A’raaf (33)

Maka jelas daripada ayat di atas ini bahawa bercakap sesuatu tentang Allah S.W.T tanpa ilmu itu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan dalam al-Quran. Justeru, jauhilah kenyataan-kenyataan dan dakwaan berkaitan dengan Allah S.W.T sama ada terhadap isu akidah ataupun dalam isu syariat.

Penumpahan Darah Yang Tidak Perlu Dan Kerosakan Alam Sekitar

Kenyataan ini pada pada pandangan kami adalah suatu yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Ini kerana, hikmah daripada ibadah korban adalah memberi makan kepada yang memerlukan. Daripada hasil korban, daging-daging tersebut dapat diagihkan kepada masyarakat. Kebanyakan fuqaha berpendapat bahawa daging korban ini satu pertiganya dimakan, sepertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin, dan bakinya dihadiahkan kepada orang lain seperti jiran tetangga dan seumpamanya. Bagaimana kebaikan seperti ini yang dihasilkan dari ibadah korban dianggap sebagai penumpahan darah yang tidak perlu ?

Bahkan realiti yang berlaku pada hari ini  lebih 56 billion penyembelihan binatang ternakan dilakukan setiap tahun oleh masyarakat seluruh dunia.[2] Adakah ini juga dianggap sebagai penumpahan darah yang tidak perlu, walhal ia dilakukan pada setiap hari berbanding dengan ibadah korban yang hanya berlaku pada empat hari iaitu pada hari raya Aidiladha dan tiga hari tasyriq (11,12,13 Zulhijjah) selepasnya. Sepatutnya kempen mengurangkan pengambilan daging merah dan penyembelihan dilakukan untuk penyembelihan haiwan ternakan yang berlaku pada hari-hari biasa, bukan pada hari-hari yang digalakkan oleh syarak untuk menyembelih dan menyedekahkan daging korban kepada orang ramai.

Berkaitan dengan kerosakan alam sekitar pula, ini juga suatu dakwaan jahat yang tidak berpijak pada dunia realiti. Tidak ada kajian atau fakta kukuh yang menyatakan bahawa environmental destruction di mana-mana negara umat Islam berpunca daripada penyembelihan korban.

Demikian juga ketika menyembelih haiwan korban, Islam sangat menuntut supaya ia dilakukan dengan penuh rahmat dan ihsan. Kerana itulah dituntut kepada penyembelih untuk menajamkan pisau, supaya sembelihan itu berlaku dengan pantas dan tidak terlalu menyeksakan haiwan yang bakal disembelih. Tambahan pula haiwan tersebut perlu diberikan kerehatan dan ketenangan yang cukup sebelum ia disembelih. Ini dinyatakan di dalam sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah S.W.T mewajibkan berbuat ihsan ke atas setiap sesuatu. Maka apabila kamu membunuh, berlaku ihsanlah dalam membunuh. Dan apabila kamu menyembelih, maka berlaku ihsanlah semasa menyembelih. Hendaklah seseorang itu menajamkan pisaunya, dan merehatkan haiwan sembelihannya.

Riwayat Muslim (1995)

Imam al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis di atas beliau berkata: “Hendaklah direhatkan haiwan sembelihan itu dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihan ke atas haiwan itu. Dan disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih serta disunatkan juga agar tidak menyembelih haiwan, dengan keberadaan haiwan yang lain”. Rujuk Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, Al-Nawawi (13/92).

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan kepada pandangan dan pengamatan kami dengan pelbagai kenyataan oleh saudari Siti Kasim, maka kami berpendapat bahawa kenyataan beliau adalah menyimpang daripada fahaman yang sebenar.

Dalam membicarakan berkenaan isu agama, rujuklah kepada sumber yang muktamad dan thiqah (terpercaya) serta badan-badan berautoriti. Logik akal semata-mata bukanlah suatu yang tepat apabila ia bercanggah dengan nas. Kami dengan ini berharap supaya saudari Siti Kasim merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan maklumat yang sebenar lagi tepat berkenaan sesuatu isu. Fahamilah bahawa dalam mencari dan mengkaji sesuatu ilmu, kita juga perlu menginsafi diri yang penuh dengan kekurangan dan keterbatasan akal fikiran.

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan hidayah dan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Kami tutupkan kenyataan ini dengan sepotong doa :

اللهم أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارَزُقَنَا اتِّباعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu sebagai batil dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya.

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

15 SEPTEMBER 2017 BERSAMAAN 24 ZULHIJJAH 1438 H

 

 

 

 

 

[1] Beliau merupakan salah seorang peguam yang berada di dalam Jawatankuasa Majlis Peguam (Bar Council’s Committee) dan merupakan salah seorang aktivis yang memperjuangkan hak orang asli. Beliau juga merupakan lulusan undang-undang daripada Queen Mary University of London.

[2] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2367646/#b14-ehp0116-000578