Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-363 : HUKUM PENYERTAAN INDIVIDU DALAM PERTANDINGAN RATU CANTIK TRANSGENDER

BY.jpeg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Bolehkah SS Mufti memberikan pandangan hukum berkenaan isu seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender baru-baru ini? Hal ini kerana perkara sedemikian dilihat semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat apatah lagi program-program seperti ini dipromosikan secara terang terangan. Mohon pandangan SS Mufti

Ringkasan Jawapan :

Hukum menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta menukar jantina adalah haram dan tergolong dalam dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Sehubungan dengan itu, sebarang penglibatan, sokongan atau promosi terhadap pertandingan dan gaya hidup transgender adalah haram di sisi syarak, sama ada secara langsung dengan melakukan tasyabbuh, mahupun secara tidak langsung sebagai perantara dan pendorong maksiat.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

HUKUM TASYABBUH

Hukum menyerupai jantina berlawanan atau tasyabbuh adalah haram bahkan ia termasuk dalam salah satu dosa besar kerana telah sabit banyak nas-nas syarak bahawa Allah SWT melaknat orang-orang yang melakukannya. Berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”

(Sahih Bukhari)

 

Imam al-Syaukani dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis ini merupakan suatu petunjuk akan pengharaman bagi lelaki untuk menyerupai wanita dan pengharaman wanita untuk menyerupai lelaki sama ada dari sudut percakapan, pemakaian, cara berjalan dan sebagainya.[1]

Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982, hukum mengubah jantina menurut syarak adalah diharamkan. Jika seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan.

 

HUKUM MENYERTAI DAN MEMPROMOSIKAN PERTANDINGAN YANG MELIBATKAN TRANSGENDER

 

Selain itu, penyertaan mana-mana individu dalam pertandingan berteraskan transgender adalah haram, sekalipun individu berkenaan tidak membuat sebarang pertukaran jantina. Hal ini kerana penglibatan dalam pertandingan sedemikian secara tidak langsung menunjukkan sokongan kepada penganjuran program berkenaan. Syarak melarang sebarang bantuan mahupun sokongan terhadap perbuatan yang disyariatkan haram berpandukan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Maidah (2)

Di samping itu, memberikan galakan atau mempromosikan gaya hidup transgender agar terus kekal sedemikian adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas bahawa sesiapa yang menyokong atau memudah cara perbuatan maksiat dan kemungkaran akan menanggung beban dosa yang seumpama dengan pelaku kemungkaran tersebut. Hal ini dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan, dia akan memperoleh dosa sebesar jumlah dosa mereka yang melakukan perkara kesesatan tersebut, dan dosa mereka tidak akan berkurang walau sedikitpun.

Sahih Muslim

 

Peringatan daripada hadis ini amat jelas bahawa mana-mana pihak yang mencetuskan, menyebarkan atau menjadi asbab kepada berlakunya perbuatan mungkar akan turut memikul dosa perbuatan tersebut, di samping menanggung dosa mereka yang mengikutinya. Ini bersesuaian dengan kaedah syarak bahawa setiap perantara atau wasilah yang membawa kepada perkara haram adalah dilarang.[2]

KESIMPULAN

Hukum menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta menukar jantina adalah haram dan tergolong dalam dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Sehubungan dengan itu, sebarang penglibatan, sokongan atau promosi terhadap pertandingan dan gaya hidup transgender adalah haram di sisi syarak, sama ada secara langsung dengan melakukan tasyabbuh, mahupun secara tidak langsung sebagai perantara dan pendorong maksiat.

[1] Al-Syaukani, Muhammad bin Ali. Nail al-Awtar Syarh Muntaqa al-Akhbar. (Mesir: Dar al-Mesir, 1993). Jld 6 hlm 230.

قوله: (لعن الله المتشبهين من الرجال. . . إلخ) فيه دليل على أنه يحرم على الرجال التشبه بالنساء، وعلى النساء التشبه بالرجال في الكلام واللباس والمشي وغير ذلك

[2] Prof. Musa Syahin Lasyin. Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. (T.tp: Dar Al-Syuruq, 2002) Jld. 10 Hlm. 214-215)

ومن فتح باب شر كان عليه من الوزر مثل وزر من عمل به لأنه سبب ووسيلة في الخير أو الشر والسبب والوسيلة تعطي حكم الغاية