Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-129: STATUS HADITH MENGHIDUPKAN SUNNAH DI AKHIR ZAMAN

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

مَنْ أَحْيَا سُنَّتِيْ بَعْدَ فَسَادِ أُمَّتِيْ فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيْدٍ

Maksudnya:“Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku ketika rosaknya umatku maka baginya pahala 100 orang syahid”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjelaskan berkaitan status hadith berikut. Pertamanya, kami tidak menjumpai matan seperti disebutkan di atas, melainkan kami menjumpai matan yang hampir serupa dengan matan di atas iaitu dengan lafaz yang berlainan tetapi maksudnya sama:

 

  • Daripada Abdullah bin Abbas RA, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيدٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika umatku di dalam kerosakan maka baginya ganjaran 100 orang yang syahid”. [Lihat: al-Zuhud al-Kabir, no. Hadith 207, 118/1]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيدٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika umatku di dalam kerosakan maka baginya ganjaran 100 orang yang syahid”. [Lihat: Mishkah al-Masabih, no. Hadith 176, 62/1]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الْمُتَمَسِّكُ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي لَهُ أَجْرُ شَهِيدٍ

 Maksudnya: “Orang yang berpegang dengan sunnahku ketika umatku sedang rosak maka baginya ganjaran syahid”.  [Lihat: Mu’jam al-Awsath, no. Hadith 5414, 315/5 dan al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 9171, 357/2]

 

Hukum Hadith

Antara pendapat ulama’ dalam menilai hadith ini adalah:

 

  • Telah berkata al-Zahabi bahawa al-Hasan Ibn Qutaibah di dalam riwayat Ibn Abbas adalah seorang yang perosak (هالك). Walaupun Ibn Adiy mengatakan bahawa aku mengharapkan tiada apa-apa padanya (أرجو أنه لا بأس به). Selain itu, imam al-Zahabi mendatangkan beberapa pendapat ulama’ terhadap al-Hasan Ibn Qutaibah ini. Antaranya ialah: [Lihat: Mizan al-I’tidal fi Naqdi al-Rijal, 519/1]

 

  • Imam al-Daraquthni menilai dia (perawi tersebut) adalah Matruk al-Hadith.
  • Imam Abu Hatim mengatakan dia (perawi tersebut) adalah seorang yang dhaif.
  • Imam al-Azdiy menilai dia (perawi tersebut) adalah seorang yang lemah dalam hadith.
  • Imam al-Uqailiy mengatakan dia (perawi tersebut) adalah seorang yang banyak melakukan kesalahan.

 

  • Telah berkata imam al-Haithami pada riwayat Abu Hurairah RA bahawa padanya (sanad) terdapat Muhammad bin Soleh al-Adawiy serta aku tidak melihat sesiapa yang menterjemahkannya (menceritakan perihal perawi tersebut) dan selain daripadanya (Muhammad bin Soleh) adalah thiqah atau dipercayai. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 172/1]

 

  • Imam al-Munziri berkata bahawa sanad pada riwayat Abu Hurairah RA tidak mempunyai apa-apa masalah tetapi dalam riwayat tersebut hanya menyebut “فَلَهُ أَجْرُ شَهِيدٍ” (tanpa perkataan seratus “مِائَةِ”). [Lihat: al-Targhib al-Tarhib, 41/1]

 

  • Imam al-Dhimyathi mengatakan bahawa sanad daripada jalur Abu Hurairah RA tidak mempunyai masalah. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, no. Hadith 50, 31]

 

Setelah melihat pendapat para ulama’ dalam menilai hadith di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith tersebut adalah dhaif. Ini kerana, walaupun riwayat Abu Hurairah RA dikatakan sanadnya baik atau tidak mempunyai masalah tetapi kedua riwayat tersebut masih terdapat padanya perkara yang boleh diperkatakan sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Haithami pada riwayat Abu Hurairah RA. Selain itu, ini juga adalah pendapat al-Albani ketika menilai hadith ini.

 

Petunjuk Nabawi

Walaupun hadith ini dhaif, akan tetapi berpegang pada sunnah Nabi SAW adalah satu perkara yang penting lebih-lebih lagi di akhir zaman seperti sekarang. Antara cara-cara untuk kita memelihara atau menjaga sunnah ini adalah dengan:

 

  • Memastikan akan kesahihan atau status sesebuah hadith Nabi SAW sebelum kita menyebarkannya kepada orang lain.

 

  • Memahami dan menghayati setiap hadith-hadith yang dibaca atau didengar dengan kefahaman yang betul dan tepat agar ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an mahupun al-Sunnah.

 

  • Menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai panduan dan rujukan dalam setiap perkara atau masalah yang berlaku.

 

  • Mengamalkan dan mempelajari sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW membolehkan seseorang itu terselamat daripada fitnah akhir zaman.

 

Penutup

Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga kalamnya (hadithnya). Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksdunya: “Barangsiapa yang sengaja berkata-kata dusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di neraka”. [Muttafaqun ‘Alaih] [al-Bukhari (108) dan Muslim (2)]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’alam