Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Soalan

Saya ingin bertanya mengenai hadis “perlu menerima nasihat walaupun daripada seorang pelacur”. Adakah hadis ini sahih? Bagaimana kalau nasihat yang diberikan itu tidak seiring  dengan usaha untuk berubah ? Bukankah Allah SWT tidak menyukai manusia yang hipokrit?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkenaan hadis perlu menerima nasihat walaupun daripada seorang pelacur, setelah kami meneliti dan mencarinya di dalam kitab-kitab hadis, kami tidak menjumpai asalnya. Ini kerana, hadis ini tidak diketahui akan matannya dan rawi hadis tersebut.

Persoalan seterusnya yang diajukan, bahawa Allah SWT tidak menyukai manusia yang hipokrit, dalam erti kata, orang tersebut sering menasihati orang lain tetapi dirinya sendiri tidak merubah dan mengikuti apa yang dinasihatkan itu.

Benar, bahawa Allah SWT tidak menyukai orang yang berkata-kata tetapi tidak melakukan seperti apa yang dituturkan, berdasarkan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّـهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ 

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya .Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Surah al-Saf, Ayat  2, 3

Daripada ayat ini, kita memahami bahawa setiap apa yang kita tuturkan perlulah diselangi dengan amal kerana Allah SWT membenci orang yang tidak beramal dengan apa yang dituturkan.

Selain itu, Nabi SAW telah memberi dan menunjukkan kepada kita panduan dalam beramal, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

يا أيها الناسُ! عَلَيْكم مِنَ الأعْمالِ ما تُطِيقون. فإنَّ اللهَ لا يَمَلُّ حتى تَمَلُّوا. وإنَّ أحبَّ الأعمالِ إلى اللهِ ما دُووِمَ عَلَيْهِ وإنْ قَلّ

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! hendaklah kalian beramal menurut kemampuan kamu kerana Allah SWT tidak akan pernah bosan sehingga kalian sendiri yang bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah SWT, adalah amalan yang dikerjakan secara berterusan meskipun sedikit”.

Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Musafir dan Qasar, Bab Kelebihan Istiqamah dalam melaksanakan solat malam dan selainnya

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang-orang yang istiqamah dalam beramal dan melakukan setiap apa yang dituturkan. Amin.

Wallahua`lam.