Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Irsyad al-Hadith Siri Ke-5: Hadith Berkenaan Penyakit Ain

 

Soalan:

Adakah sahih hadith mengenai penyakit ‘ain?

 

Jawapan:

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Hadith mengenai ‘ain[1] ada diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang masyhur dan hukumnya sahih. Al-Imam al-Bukhari dan Muslim ada memuatkannya di dalam kitab Sahih mereka. Takhrij hadithnya adalah seperti berikut:

 

  1. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab al-‘Ain Haq. No Hadith (5740):

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ الْعَيْنُ حَقٌّ ‏"‏‏.‏ وَنَهَى عَنِ الْوَشْمِ‏

Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW telah berkata: al-‘ain itu adalah benar dan Nabi SAW melarang dari melakukan tattoo.

 

  1. Sahih Muslim, Kitab al-Salam, Bab al-Tib wa al-Maradhi wa al-Ruqa. No. Hadith (2188):

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا ‏"

 

Maksudnya: Dari Ibn Abbas R.Anhuma dari Nabi SAW telah berkata: al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika di minta kepada kalian untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah kalian.

 

 

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang salih. Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata: ‘Ain adalah pandangan hasad dari tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya. [Fath al-Baari, 10/200]

 

Maka kami katakan di sini bahawa penyakit ‘ain ini ada asasnya dan ianya disebut di dalam hadith dan diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim (Muttafaqun ‘alain) bahkan ianya berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan pernah menimpa sahabat Nabi SAW, Sahl bin Hunaif tatkala terkena ‘ain Amir bin Rabi’ah.

Wallahu a’lam.

 

[1] ‘Ain adalah penyakit