Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Husain bin ‘Ali RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ مَعَالِيَ الأُمُوِر وَأَشرَافَهَا، وَيَكَرهُ سَفْسَافَهَا 

Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci perkara-perkara (akhlak-akhlak) yang keji ”.

(Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir, no. hadith : 2894) [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilahnya, no. hadith : 1890].

 

Fiqh al-Hadith

Berdasarkan hadith ini, kita dapat mengeluarkan beberapa fiqh al-Hadith :

  • Maksud معالي الأمور ialah sifat dan akhlak yang terpuji serta mulia. Barangsiapa yang bersifat dengan sifat-sifat ini akan dikasihi oleh Allah SWT. Manakala maksud سفسافها adalah perkara atau sifat yang buruk dan keji. Barangsiapa yang bersifat dengan sifat demikian akan dibenci oleh Allah SWT.
  • Di dalam Al-Qur’an, terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa Allah SWT sentiasa menggalakkan hamba-hambanya untuk sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan jika melakukan sesuatu perkara hendaklah melakukannya sebaik mungkin.
  • Nabi SAW adalah sebaik-sebaik contoh ikutan sebagaimana disebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW dan firman Allah SWT : “ Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu adalah contoh ikutan yang terbaik”. (surah al-Ahzab : 21) Oleh itu, kita hendaklah menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh di dalam segala aspek kehidupan kita samada berkaitan dunia dan akhirat.

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang mempunyai akhlak dan sifat yang terpuji. Amin.

Wallahua`lam.