Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf maka Allah akan memutuskannya.” [Riwayat Abu Daud (666) dan Ahmad (5724)]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Perbuatan meluruskan dan memenuhkan saf merupakan perbuatan yang dituntut sebelum seseorang itu mendirikan solat. Ini kerana, terdapat banyak hadith yang menceritakan akan kelebihan perbuatan tersebut. Selain itu, perbuatan ini termasuk di dalam perkara yang sunat dilakukan sebelum solat. [Lihat: Taqrirat al-Sadidah, 236]

 

Di samping itu juga, Nabi SAW sentiasa memastikan saf para sahabat RA yang solat bersama Baginda SAW berada dalam keadaan yang sempurna sebelum solat jemaah itu didirikan. Untuk itu, meluruskan saf ini adalah satu perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh para imam. Antara hadith yang menceritakan akan kepentingan meluruskan saf adalah:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam mendirikan solat.” [Riwayat al-Bukhari (723)]

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ، مِنْ تَمَامِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat.” [Riwayat Muslim (433)]

 

Berdasarkan persoalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa pendapat para ulama’ dalam menilai hukum hadith ini:

 

  • Imam al-Hakim (405 H) mengatakan bahawa hadith ini adalah sahih mengikut syarat Imam Muslim. [Lihat: al-Mustadrak, 333/1]
  • Imam al-Nawawi (676 H) menilai sanad hadith ini adalah sahih. [Lihat: al-Majmu’, 227/4]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menghukum hadith ini adalah sahih di dalam al-Jami’. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 104/1]
  • Syeikh Ahmad Syakir sanadnya adalah sahih.
  • Syeikh Syuaib al-Arnaouth menilai sanad hadith adalah sahih dan perawinya adalah thiqah.

 

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan hadith di atas, maka kami cenderung mengatakan bahawa hadith tersebut adalah sahih dengan melihat atau berpandukan kepada beberapa pendapat di atas.

 

Makna Hadith

Hadith ini membicarakan berkaitan kepentingan meluruskan saf ketika solat dan memenuhi ruang saf yang kosong adalah termasuk di dalam meluruskan saf. Di dalam Aun al-Ma’bud, penulis menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa maksud sesiapa yang menyambung saf itu adalah datang pada saf tersebut serta memenuhi ruang kosong yang ada padanya. Adapun yang dimaksudkan dengan Allah menyambungnya adalah Allah SWT akan menyambungnya dengan rahmat-Nya. Barangsiapa yang memotong saf pula bermaksud sesiapa yang tidak datang ke saf tersebut dan tidak memenuhi ruang yang kosong itu atau meletakkan sesuatu benda yang menghalang (daripada dirapatkan saf). Selain itu juga, Allah akan memotongnya bermaksud terputus daripada rahmat Allah dan penjagaan-Nya yang sempurna. [Lihat: Aun al-Ma’bud, 258/2]

 

Penutup

Kesimpulannya, meluruskan dan memenuhkan saf mempunyai banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa melazimi perkara tersebut. Selain itu juga, hadith memberi isyarat kepada kita bahawa pentingnya solat secara berjemaah kerana banyak kelebihan yang ada padanya berdasarkan hadith yang sahih. Akhirnya, marilah sama-sama kita melazimi perkara ini di dalam kehidupan seharian kita agar kita memperolehi setiap ganjaran dan kelebihan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya apabila melakukan hal tersebut. Amin.

 

Wallahua’lam