Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

 

 

 

Soalan: Apakah terdapat doa apabila keluar mani ketika sedang bersetubuh bersama isteri?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Di dalam Islam diajar berkaitan adab-adab daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara dan ini menunjukkan akan kesempurnaan agama Islam. Di samping itu juga, antara tujuan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Ini kerana, sebelum daripada diutusnya Nabi SAW, masyarakat pada waktu itu hidup dalam keadaan jahil dan tidak bertamadun.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, no. Hadith 273][Lihat juga: al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 2584]

 

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak menemui mana-mana doa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW pada saat keluarnya mani seseorang itu ketika bersama dengan isterinya. Akan tetapi, Imam al-Ghazali (505 H) ada menyebut satu doa ketika keluarnya mani ketika membahaskan berkaitan adab-adab berkahwin. Kata Imam al-Ghazali:

 

Apabila hampirnya atau inzal (keluar mani) maka sebutlah di dalam hati kamu dan jangan kamu gerakkan bibir kamu:

 

الْحَمْدُ لِلَّـهِ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menjadikan manusia daripada air mani, lalu dijadikannya mempunyai zuriat dan pertalian keluarga. Dan Sememangnya Tuhanmu itu berkuasa mencipta apa jua yang dikehendakinya.” [Lihat: Ihya’ ‘Ulum al-Din, 50/2]

 

Doa ini diambil daripada sepotong ayat al-Quran iaitu:

 

  • Firman Allah SWT:

 

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا ۗ وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

al-Furqan:54

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan) dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).”

 

Di dalam kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ada disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (974 H) berkaitan doa di atas:

 

قَالَ بَعْضُهُمْ وَيُسَنُّ أَنْ يَقْرَأَ قَبْلَ ذَلِكَ الْإِخْلَاصَ ثَلَاثًا وَيُسَبِّحَ وَيُهَلِّلَ وَيُكَبِّرَ وَيُجْرِي عَلَى قَلْبِهِ عِنْدَ الْإِنْزَالِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ مِنْ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَلَا يَتَلَفَّظُ بِهِ

Maksudnya: “Sebahagian mereka (ulama’ bermazhab al-Syafie) mengatakan disunatkan membaca surah al-Ikhlas sebanyak 3 kali, bertasbih, bertahlil dan bertakbir serta sebutlah di dalam hati ketika inzal (keluarnya mani) “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ مِنْ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا” dengan tidak melafazkannya (dibibir).” [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 107/4]

 

Tambahan pula, kita dianjurkan atau disunatkan sebelum mendatangi isteri (sebelum melakukan persetubuhan) agar membaca satu doa yang dianjurkan oleh Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

 

  • Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma , bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:

 

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.

 

Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [Riwayat al-Bukhari (6388)]

 

Doa ini juga disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan zikir ketika ingin bersetubuh bersama isteri dan ia juga disunatkan bagi isteri untuk membacanya atau keduanya sekalipun pasangan itu pada kebiasaannya tidak mendapat anak (seperti mandul atau sebaginya) kerana di sana sentiasa ada kemungkinan pasangan tersebut mendapat anak, juga hikmahnya bahawa rezeki Allah itu lebih umum berbanding untuk mendapatkan anak sahaja. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 107/4]

 

Satu perkara yang perlu dititikberatkan ketika setiap pasangan itu sedang melakukan persetubuhan adalah tidak dibenarkan untuk membaca al-Quran kerana pada waktu itu pasangan tersebut berada di dalam keadaan berjunub melainkan ia dibaca di dalam hati tanpa melafazkannya di bibir sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di atas.

 

Penutup

Kesimpulannya, di sana terdapat banyak lagi adab-adab atau doa-doa yang boleh diamalkan walaupun ia tidak diajar secara langsung oleh Nabi SAW kerana di dalam berdoa ini terdapat keluasan selagimana makna doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, Islam amat menitikberatkan elemen-elemen seperti di dalam kekeluargaan agar tujuan atau matlamat perkahwinan itu tercapai iaitu untuk mendapatkan sakinah, rahmah dan mawaddah. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang soleh atau solehah serta menganugerahkan kepada kita semua zuriat-zuriat yang menjadi penyejuk mata buat setiap orang yang melihatnya. Amin.

 

Wallahua’lam