Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

 

 

Soalan: Apakah terdapat doa apabila pulang daripada permusafiran?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Permusafiran merupakan satu perkara yang biasa dilakukan oleh setiap insan apabila mereka mempunyai masa lapang. Kebanyakan manusia akan menghabiskan masa lapang mereka bersama keluarga tercinta dengan bermusafir ke tempat-tempat yang menarik. Walaubagaimanapun, agama kita Islam tidak pernah sesekali meninggalkan setiap umatnya itu tanpa memberitahu atau mengajar mereka akan adab-adab atau garis panduan yang boleh atau perlu dilakukan sebelum sesuatu perkara itu dilakukan termasuklah permusafiran.

 

Berdasarkan soalan di atas, kebiasaannya kita selalu mendengar akan doa-doa yang diajar atau dibaca sebelum bermulanya permusafiran. Namun, ramai daripada kalangan kita terlupa atau mungkin terlepas pandang berkaitan satu doa yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila pulang daripada permusafiran.

 

Doa tersebut ada disebutkan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA dan hadith tersebut ada dinukilkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya:

 

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Ketika kami pulang bersama Nabi SAW, Abu Talhah serta Safiyyah yang menunggang unta dan apabila kami menghampiri kota Madinah, Nabi SAW membaca:

 

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya: “Kami kembali dengan bertaubat, tetap beribadah dan selalu memuji Tuhan kami.”

 

Nabi SAW membaca doa tersebut sehinggalah kami tiba di Madinah. [Riwayat Muslim (1345)] [Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam bab doa apabila seseorang itu ingin bermusafir atau pulang]

 

Tambahan pula, hadith ini dimuatkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang masyhur iaitu al-Azkar pada bab apa yang patut diucapkan apabila pulang daripada permusafiran serta di dalam kitab al-Minhaj Syarah bagi Sahih Muslim pada bab apa yang patut diucapkan apabila pulang daripada haji atau selain daripada itu.

 

Menurut Syeikh Muhyiddin al-Mistu, doa ini sunat dibaca atau memperbanyakkan membacanya apabila tiba kembali di tempat kediaman kita. Ini kerana, doa ini menggambarkan bahawa kita nikmat keselamatan yang dikurniakan oleh Allah SWT, berazam untuk bertaubat (daripada perkara-perkara maksiat yang dilakukan) dan taat serta bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. [Lihat: Lawami’ al-Anwar, 29/2]

 

Penutup

Kesimpulannya, doa merupakan senjata dan kekuatan buat orang yang beriman. Untuk itu, banyak doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita supaya dapat kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. Di samping itu juga, doa merupakan satu ibadah yang mudah untuk dilakukan, tidak seperti ibadah-ibadah yang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam