Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى الْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا حَجَّ خَمْسِينَ حَجَّةً مَعَ آدم

Maksudnya: “Sesiapa yang solat Fajar (subuh) secara berjemaah, maka seumpama dia telah menunaikan 50 kali haji bersama nabi Adam.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Solat Subuh mempunyai banyak kelebihan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menunaikannya dengan sebaiknya. Disebabkan itu, di dalam sebuah hadith yang sahih dinyatakan bahawa solat Subuh merupakan salah satu solat yang berat untuk dilaksanakan buat orang munafiq. Ini kerana, ia memerlukan usaha dan keazaman yang tinggi kerana ketika itu manusia baru sahaja bangun daripada tidur mereka. Hal ini disebutkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya: “Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Riwayat Muslim (651)]

 

Hukum Hadith

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nyatakan pendapat para ulama’ yang menilai atau menghukum hadith di atas:

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) juga menukilkan riwayat ini di dalam kitabnya dengan menyatakan ia adalah palsu. [Lihat: Lisan al-Mizan, 454/2]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: Zail al-La’aliy al-Masnu’ah, 223]
  • Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani (963 H) menghukum hadith ini adalah palsu. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 42/2]
  • Imam al-Fattani (986 H) menilai hadith ini adalah palsu. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 106]
  • Imam al-Syaukani (1250 H) juga menilai hadith ini adalah bathil (palsu). [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 32]

 

Melihat kepada beberapa pandangan ulama’ dalam menilai riwayat atau hadith di atas, maka kami menyatakan bahawa hadith tersebut adalah tidak sabit daripada Nabi SAW. Untuk itu, kita sama sekali tidak dibenarkan untuk meriwayatkannya dengan menyandarkannya kepada Rasulullah SAW melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa solat Subuh mempunyai kelebihan dan ganjarannya yang istimewa bagi sesiapa yang berjaya menunaikannya. Lebih-lebih lagi, bagi sesiapa yang menunaikannya secara berjemaah. Ini kerana, terdapat hadith lain yang hampir sama dengan riwayat di atas tetapi hadith ini adalah sahih dalam menyatakan ganjaran sesiapa yang solat subuh secara berjemaah. Antaranya adalah:

 

  • Daripada Uthman bin al-Affan RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” [Riwayat Muslim (656)]

 

Akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha dan berazam untuk menunaikan solat-solat fardhu secara berjemaah. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga solat agar dengannya kita akan digolongankan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya. Amin.

 

Wallahua’lam