Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-279 : WANITA,MINYAK WANGI DAN DIJADIKAN PENYEJUK MATA KETIKA SOLAT

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz. Apakah status hadis berikut.”Aku suka pada tiga perkara iaitu perempuan, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.”. Terima kasih

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menjawab persoalan yang dikemukakan, hadis tersebut diriwayatkan menerusi pelbagai jalan periwayatan. Antaranya yang direkodkan oleh Imam Ahmad. Kata beliau:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ أَبُو عُبَيْدَةَ عَنْ سَلَّامٍ أَبِي الْمُنْذِرِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حُبِّبَ إِلَيَّ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya :” Telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid Abu Ubaidah  daripada Sallam Abu Munzir daripada Thabit daripada Anas sesungguhnya Nabi saw bersabda Perkara yang aku suka ialah wanita, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku ketika solat.”

Riwayat Imam Ahmad ( 12293) di dalam Musnad

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang hasan.

Rujuk Talkhis al-Habir Fi Takhrij Ahadis al-Rafi’ie al-Kabir (3/249)

Sheikh Shuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanad ini adalah sanad yang hasan kerana perawi yang bernama Sallam Abi Munzir. Imam Ahmad menyatakan bahawa beliau adalah perawi yang hasan.

Rujuk Musnad Ahmad (19/305-306), Mizan al-‘Itidal (2/370)

Hadis ini juga direkodkan oleh al-Nasaie dengan dua sanad berikut :

  • أَخْبَرَنَا الْحُسَيْنُ بْنُ عِيسَى الْقُوْمَسِيُّ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَفَّانُ بْنُ مُسْلِمٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا سَلاَّمٌ أَبُو الْمُنْذِرِ ، عَنْ ثَابِتٍ ، عَنْ أَنَسٍ

Maksudnya :” al-Husain Bin Isa al-Qumasi telah mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Affan Bin Muslim menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Sallam Bin Abi Munzir menceritakan kepada kami daripada Thabit daripada Anas”

  • أَخْبَرَنَا عَلِيُّ بْنُ مُسْلِمٍ الطُّوسِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا سَيَّارٌ قَالَ حَدَّثَنَا جَعْفَرٌ قَالَ حَدَّثَنَا ثَابِتٌ عَنْ أَنَسٍ

Maksudnya :” Ali Bin Muslim al-Tusi mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Sayyar menceritakan kepada kami. Jaafar menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Thabit menceritakan kepada kami daripada Anas.”

Riwayat al-Nasaie (2940)

al-Daruqutni(w.385 H) menyatakan bahawa riwayat Jaafar daripada Thabit menyerupai ketepatan.

al-Baihaqi juga merekodkan hadis ini dengan sedikit tambahan. Kata beliau :

أَخْبَرَنَا أَبُو مُحَمَّدٍ : عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا أَبُو بَكْرٍ : مُحَمَّدُ بْنُ الْحُسَيْنِ بْنِ الْحَسَنِ الْقَطَّانُ حَدَّثَنَا عَلِىُّ بْنُ الْحَسَنِ بْنِ أَبِى عِيسَى الْهِلاَلِىُّ حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ ح وَأَخْبَرَنَا الإِمَامُ أَبُو إِسْحَاقَ : إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا مُطَيَّنٌ حَدَّثَنَا عَلِىُّ بْنُ الْجَعْدِ قَالاَ حَدَّثَنَا سَلاَّمٌ أَبُو الْمُنْذِرِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ : إِنَّمَا حُبِّبَ إِلَىَّ مِنْ دُنْيَاكُمُ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ وَجُعِلَتْ قُرَّةُ عَيْنِىَ فِى الصَّلاَةِ

Maksudnya :”Abu Muhammad Abdullah Bin Yusuf mengkhabarkan kepada kami. Abu Bakar Muhammad Bin al-Husain Bin al-Hasan al-Qattan mengkhabarkan kepada kami. Ali Bin al-Hasan Bin Abi Isa al-Hilali menceritakan kepada kami. Musa Bin Ismail menceritakan kepada kami (H) Imam Abu Ishak Ibrahim Bin Muhammad Bin Ibrahim mengkhabarkan kepada kami. Ahmad Bin Ibrahim Bin Ismail mengkhabarkan kepada kami. Mutayyan menceritakan kepada kami. Ali bin al-Ja’d meceritakan kepada kami. Kedua-duanya berkata (Musa Bin Ismail dan Ali Bin al-Ja’d) : Sallam Bin al-Munzir menceritakan kepada kami. Daripada Thabit daripada Anas Bin Malik r.a. Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : Perkara yang lebih aku sukai dari dunia kalian. Iaitu wanita, minyak wangi dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.”

Riwayat al-Baihaqi ( 8836) di dalam Sunan al-Kubra

Seorang tokoh hadis terkemuka iaitu al-Hafiz al-Iraqi (w.806 H) yang merupakan guru kepada Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa sanad hadis ini bertaraf jayyid

Rujuk al-Mughni ‘an Hamli al-Asfar fi al-Asfar (hlm 378)

Berkenaan dengan penambahan perkataan ثلاث  yang bermaksud tiga adalah penambahan yang tiada asalnya. Kami tidak menjumpainya pada mana-mana jalan periwayatan atau kitab-kitab hadis yang muktabar. Ini juga dinyatakan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir. Kata beliau :

“Kami tidak menjumpai lafaz ‘tiga’ pada mana-mana jalan periwayatan yang bersanad.”

Rujuk Talkhis al-Habir Fi Takhrij Ahadis al-Rafi’ie al-Kabir (3/249)

Kami menyimpulkan bahawa hadis yang dinyatakan adalah hadis yang bertaraf hasan seperti mana yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Iraqi, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Daruqutni. Adapun lafaz ثلاث yang bermakna tiga adalah lafaz yang tiada asal.

Wallahu’alam.