Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-331: HADITH KEHINAAN MEMBUJANG

 

ih331.png

 

 

Soalan: Apakah status dan makna hadith ini jika ia sahih?

 

إِنَّ سُنَّتَنَا النِّكَاحُ، شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، وَأَرَاذِلُ مَوْتَاكُمْ عُزَّابُكُمْ

Maksudnya:“Sesungguhnya di antara sunnah kami adalah bernikah, sehina-hina kamu adalah orang yang bujang dalam kalangan kamu dan sehina-hina mayat di antara kamu adalah orang yang membujang daripada kalangan kamu”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT telah menciptakan lelaki dan wanita serta Allah SWT mensyariatkan perkahwinan di antara mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

al-Rum:21

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

 

Tambahan pula, hukum asal atau secara umumnya bagi perkahwinan ini adalah sunat kerana ia berkait-rapat dengan fitrah dan keinginan yang ada pada diri manusia itu. [Lihat: al-Muktamad, 16/4]

Justeru itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjelaskan berkaitan status hadith di atas terlebih dahulu sebelum pergi kepada maknanya:

Berkaitan sumber hadith ini adalah, hadith di atas merupakan sepotong atau sebahagian daripada sebuah hadith yang panjang yang mana ia telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada Abu Zar RA dengan matan (teks) yang panjang.

 

Selain itu juga, Imam al-Thabarani ada mendangkan dua riwayat iaitu yang diriwayatkan sebahagian matannya (teksnya) oleh Abu Hurairah RA di dalam al-Mu’jam al-Awsath dan diriwayatkan juga secara panjang oleh ‘Ukkaf bin Wada’ah al-Hilaliy RA di dalam al-Mu’jam al-Kabir.

Adapun berkaitan dengan statusnya, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan dan penilaian para ulama atau para sarjana dalam bidang hadith berkaitan dengan hadith ini:

  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menilai riwayat Abu Hurairah RA sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 258/2]
  • Imam al-Haithami (807 H) menyatakan riwayat Abu Zar RA terdapat padanya perawi yang tidak dikenali tetapi selain daripadanya adalah perawi yang thiqah (dipercayai). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 250/4] Adapun, berkaitan riwayat ‘Ukkaf bin Wada’ah RA di dalam sanadnya terdapat perawi yang dhaif iaitu Mu’awiyah bin Yahya al-Sadafiy dan berkaitan riwayat Abu Hurairah RA pula di dalam sanadnya terdapat perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 251/4]
  • Imam al-Fattani (986 H) menghukum kedua sanad hadith tersebut (riwayat Abu Hurairah RA dan Abu Zar RA) di dalamnya terdapat perawi yang dhaif dan matruk. Begitu juga, setiap yang datang pada bab ini (bab berkaitan keburukan membujang) tidak terlepas daripada kedhaifan dan percanggahan tetapi ia tidaklah sampai ke tahap palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 125]
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’outh (1438 H) menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat perawi yang tidak dikenali dan juga berlaku pertembungan atau perselisihan dengan riwayat-riwayat yang lain. [Lihat: Musnad Ahmad, 355/35]

Setelah melihat beberapa pandangan para ulama di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah dhaif dan tidak sampai ke tahap palsu. Walaupun begitu, ia perlulah difahami dengan baik supaya tidak berlaku salah faham terhadap golongan yang tidak berkahwin dan sebaiknya kita tidak menyandarkannya secara pasti bahawa ia datang daripada Rasulullah SAW.

 

Makna Hadith

Di antara maksud hadith ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-San’ani (1182 H) ketika mensyarahkan hadith-hadith di dalam al-Jami’ al-Saghir bahawa lelaki bujang bermaksud lelaki yang tidak mempunyai wanita (isteri) dan bagi wanita pula adalah wanita yang tidak mempunyai suami. Orang yang bujang ini dikatakan sebagai orang yang hina adalah disebabkan mereka itu mendedahkan dirinya kepada keburukan (maksiat) dan dia juga tidak selamat daripada terkena fitnah walaupun dia merupakan orang yang soleh. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Baihaqi. Selain itu juga, mereka dikatakan sebagai mayat yang hina adalah disebabkan mereka tidak mampu mendapatkan ganjaran dan kemuliaan yang banyak daripada Allah SWT. [Lihat: al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 49/6]

Akan tetapi, kita tidak boleh menganggap orang yang bujang itu kesemuanya adalah seburuk-buruk atau sehina-hina manusia. Ini kerana, ramai daripada kalangan ulama terdahulu yang tidak bernikah termasuklah tokoh-tokoh yang besar di dalam Islam. Di samping itu juga, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417 H) ada menulis serta menghimpunkan nama-nama ulama yang tidak pernah berkahwin di dalam sebuah kitab yang khusus iaitu “العلماء العزاب” seperti Imam al-Nawawi (676 H). Justeru itu, mungkin yang boleh difahami daripada hadith ini juga adalah orang bujang yang hina adalah orang yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi dia masih bergelumang atau melakukan perbuatan yang haram seperti zina dan sebagainya.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan keburukan orang yang bujang adalah hadith yang dhaif dan tidak sampai ke tahap yang palsu sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu juga, kami menasihati kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk berkahwin kerana itu akan memelihara dirinya daripada terjebak dengan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara diri kita daripada melakukan maksiat serta menjadikan kita daripada kalangan hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua'lam