Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-348: KETETAPAN QADAR MANUSIA

 

ih348_15291523.png

 

 

 

Soalan: Adakah setiap kejadian manusia telah ditentukan amalannya, kadar rezeki dan juga ajalnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang sahih berkaitan hal tersebut dan di dalam hadith tersebut juga ada diceritakan tentang kejadian manusia:

 

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.” [Riwayat Muslim (2643)]

 

Di akhir hadith ini ada diceritakan berkaitan qadar atau ketentuan manusia itu telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak di alam rahim lagi. Akan tetapi, masalah qadar ini perlu difahami dengan sebaiknya supaya tidak terjadi seperti golongan al-Jabariyyah dan juga golongan al-Qadariyyah. Kedua golongan ini memahami konsep qadar dengan pemahaman yang salah sehinggakan dua golongan ini dihukum terkeluar daripada ahli sunnah wa al-Jama’ah.

Dalam memahami masalah ini, kita wajib beriman bahawa Allah SWT bersifat Maha Mengetahui. Allah SWT Maha Mengetahui keadaan setiap manusia sebelum Allah SWT menciptakan mereka lagi. Hal ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَا مِنْ نَفْسٍ مَنْفُوسَةٍ إِلَّا كُتِبَ مَكَانُهَا مِنَ الجَنَّةِ وَالنَّارِ، وَإِلَّا قَدْ كُتِبَ شَقِيَّةً أَوْ سَعِيدَةً

Maksudnya: “Tidak ada jiwa yang bernyawa melainkan telah ditulis (atau ditentukan) akan tempatnya di syurga atau neraka dan telah ditulis (atau ditentukan) juga bahawa dia akan menderita atau bahagia.” [Riwayat al-Bukhari 1362)]

 

Secara zahirnya, seluruh kehidupan manusia ini telah ditentukan oleh Allah SWT seakan-akan tidak ada ruang untuk manusia membuat pilihan. Mereka hanya menerima dan menjalankan sahaja secara bulat-bulat taqdir yang telah ditetapkan kepada mereka. Akan tetapi, Allah SWT bersifat dengan Maha Adil iaitu dengan memberi pilihan kepada hamba-Nya untuk memilih jalan yang diingininya sama ada jalan ke syurga atau ke neraka tetapi dalam masa yang sama Allah SWT mengetahui pilihan yang akan dibuat oleh manusia itu berdasarkan kepada sifat Maha Mengetahui Allah SWT. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quran:

  • Firman Allah SWT:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

al-Syams:8

Maksudnya: “Serta (Allah SWT) mengilhamkannya iaitu manusia (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan yang dikehendakinya. Tambahan pula, antara bukti lain bahawa Allah SWT memberi pilihan kepada manusia dalam menentukan kehidupan mereka adalah berdasarkan suruhan (tuntutan) Allah SWT kepada manusia agar mereka beriman kepada Allah SWT serta mencegah mereka daripada melakukan syirik kepada-Nya. Sekiranya manusia itu tidak mempunyai pilihan, maka larangan dan tegahan Allah SWT ini adalah sia-sia. [Lihat: al-Wafi fi Syarh al-Arbain al-Nawawiyyah, 27-28]

 

Di samping itu juga, dalam memahami masalah qadar ini, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu qadar yang bersifat mubram (مبرم) dan qadar yang bersifat mu’allaq (معلق). Qadar mubram adalah qadar yang muktamad dan ia tertulis di Luh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada taqdir ini.. Manakala qadar mu’allaq adalah yang tertulis di dalam catatan malaikat. Dengan kehendak Allah, taqdir ini boleh tetap dan boleh berubah bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia seperti berdoa atau menyambung hubungan silaturrahim sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith bahawa perbuatan tersebut boleh memanjangkan usia seseorang itu. Namun, semua perubahan tersebut sudah diketahui oleh Allah SWT di dalam Ilmu-Nya.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apabila mengetahui bahawa Allah SWT telah menentukan tempat setiap manusia itu di akhirat kelak. Kata lelaki tersebut, sekiranya semua itu telah ditentukan oleh Allah SWT, maka adakah kita perlu berpada (mengikut sahaja) apa yang terkandung di dalam kitab kita (iaitu ketentuan kita) serta tidak perlu lagi untuk beramal (kerana semuanya telah ditentukan). Baginda SAW menjawab pertanyaan tersebut dengan bersabda:

 

مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ

Maksudnya: “Barangsiapa daripada kalangan orang yang bahagia, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang bahagia. Adapun, sekiranya dia daripada kalangan orang yang derita, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang derita. Sabda Nabi SAW lagi: “Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita.” [Riwayat Muslim (2647)]

 

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata, hadith ini melarang kita untuk meninggalkan beramal dan berpada pada apa yang termaktub di dalam qadar sahaja. Bahkan, wajib untuk beramal serta menunaikan segala tanggungjawab yang telah diberikan oleh syara’. Setiap orang itu akan dimudahkan (untuk beramal) berdasarkan apa yang telah diciptakan baginya dan bukannya pada ketentuan orang lain. Oleh itu, orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita pula akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita. [Lihat: al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 196/16]

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap yang telah berlaku adalah ketetapan daripada Allah SWT dan manusia wajib menerimanya dengan sabar atau syukur serta mencari hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Dalam masa yang sama, manusia perlulah berusaha demi masa depannya dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang ditegah oleh Syarak.

Justeru itu, kita dituntut untuk sentiasa melakukan amal soleh agar dengannya akan menyelamatkan kita daripada api neraka dan dunia ini merupakan tempat untuk mengumpul bekalan untuk dibawa ke hari Akhirat berdasarkan firman Allah SWT:

 

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

al-Syura:20

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

 

Tambahan pula, di sana terdapat sebuah hadith yang mana Nabi SAW sentiasa berdoa dengannya agar ditetapkan hati di dalam keimanan:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi SAW banyak membaca:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.” [Riwayat al-Tirmizi (2140)][Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Di samping itu, agar Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-Nya yang bahagia di dunia dan juga di Akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam