Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih356_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah di antara tanggungjawab anak terhadap kedua ibubapa mereka menurut perspektif Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT:

 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

al-Isra’:23

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 8/3932]

Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

 

  • Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]

 

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk membahagikan tanggungjawab tersebut kepada dua, iaitu:

1) Semasa kedua ibubapa masih hidup

  • Berlaku baik kepada mereka dan tidak meninggikan suara di hadapan mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan di atas:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

al-Isra’:23

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

  • Membantu mereka dari sudut kemampuan setakat yang mampu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah berasal daripada usahanya dan sesungguhnya anak seseorang adalah berasal daripada usahanya.” [Riwayat al-Nasa’ie (4449)]

 

Di dalam hadith yang lain pula, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Apabila Allah SWT memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” [Riwayat Muslim (1822)]

Imam Ibn al-Munzir telah menyatakan bahawa telah berlaku ijma’ di atas kewajipan diambil sebahagian daripada harta atau pendapatan anak untuk dinafkahkan kepada ibubapa yang tidak mempunyai pendapatan atau harta. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 74/41]

  • Taat kepada mereka dan tidak sesekali menderhakai mereka. Adapun berkaitan perintah taat dan tidak sesekali menderhakai ibubapa boleh dilihat pada firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ di atas.
  • Sentiasa berdoa kepada mereka. Perkara ini juga jelas berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.” [Riwayat Muslim (1631)]

 

2) Selepas kematian kedua ibubapa

  • Tunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya. Di antara dalilnya adalah, daripada Ibn Abbas R.anhuma:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” [Riwayat al-Bukhari (1953)]

  • Langsaikan hutang-hutang ibubapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu.
  • Sentiasa berdoa kepada mereka. Ini kerana, doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya yang telah pergi merupakan amalan yang tidak terputus berdasarkan kepada hadith yang kami nyatakan di atas. Tambahan pula, al-Quran menuntut agar seorang anak itu sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan buat kedua ibubapanya melalui firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

al-Isra’:24

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

  • Menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibubapa. Agama kita amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan bukan sahaja sesama ahli keluarga sahaja. Ini berdasarkan kepada umum nas, daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” [Riwayat al-Bukhari (5986)]

  • Bersedekah untuk mereka walaupun selepas ketiadaan mereka. Hal ini juga ada dinyatakan di dalam sebuah hadith. Daripada Ibn Abbas RA bahawa Sa’ad pernah bertanya Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تُوصِ، أَفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat. Maka bolehkah aku bersedekah untuknya? Baginda SAW menjawab: Ya.” [Riwayat al-Nasa’ie (3654)]

 

  • Tunaikan dan penuhi wasiat-wasiat ibubapa yang telah pergi dengan baik.

 

Penutup

Kesimpulannya, ibubapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik. Ini kerana, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” [Riwayat al-Hakim (7263)]

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka. Amin.

 

Wallahua’lam