Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-392: BERENDAM DI DALAM PELUH PADA HARI KIAMAT

 

ih392_15291523.png

 

Soalan: Apakah benar dakwaan menyatakan bahawa di hari akhirat manusia akan berendam di dalam peluh sebelum mereka dihisab oleh Allah SWT?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini pasti akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat nanti berkaitan dengan amalan yang telah mereka lakukan ketika hidup mereka di dunia dulu. Ada di antara mereka yang dipermudahkan proses hisab mereka dan ada juga sebaliknya.

Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat sebuah riwayat daripada Imam Muslim bahawa matahari akan didekatkan kepada manusia pada hari akhirat sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW daripada al-Miqdad bin al-Aswad RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

فَيَكُونُ النَّاسُ عَلَى قَدْرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ، فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى كَعْبَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَى حَقْوَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ إِلْجَامًا، قَالَ: وَأَشَارَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى فِيهِ

Maksudnya: “Manusia itu akan berada di dalam peluh mengikut tahap amalan mereka. Ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke tumit, ada di antaranya juga yang peluhnya sehingga ke lutut, ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam di dalam peluhnya. al-Miqdad berkata lagi bahawa Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda SAW ke mulutnya.” [Riwayat Muslim (2864)]

 

Di samping itu juga, terdapat riwayat yang lain di dalam Sahih al-Bukhari berkaitan dengan isu ini:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَعْرَقُ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتَّى يَذْهَبَ عَرَقُهُمْ فِي الأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُلْجِمُهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ آذَانَهُمْ

Maksudnya: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.” [Riwayat al-Bukhari (6532)]

 

Imam al-Qustholani menyatakan ketika mensyarahkan hadith ini bahawa isyarat sampai ke kedua telinga adalah menunjukkan tahap yang tertinggi sampainya air dan tidak dinafikan bahawa air juga sampai pada tahap-tahap yang lain. Hal ini, sepertimana di dalam hadith ‘Uqbah Ibn ‘Amir yang mana ia diriwayatkan secara marfu’ bahawa di antara manusia ada yang air peluhnya sampai ke buku lalinya. Ada juga yang air peluhnya sampai ke pertengahan betisnya, ada yang air peluhnya sampai ke lututnya, ada yang air peluhnya sampai ke pehanya, ada yang air peluhnya sampai ke pinggangnya, ada yang air peluhnya sampai ke mulutnya dan ada yang air peluhnya menenggelamkannya serta tangannya memukul di atas kepalanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim. [Lihat: Irsyad al-Sari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 9/310]

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap yang bernyawa pasti akan dihisab atau dihitung oleh Allah SWT. Adapun berkaitan dakwaan di hari akhirat ada manusia yang tenggelam di dalam peluhnya adalah benar kerana ia sabit daripada hadith-hadith yang sahih sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Di samping itu, keadaan manusia itu adalah berbeza-beza bergantung kepada amalannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dipermudahkan hisab di hari akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam