Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-457: BERLAKU KIAMAT PADA HARI JUMAAT

 

 

ih457_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menyatakan bahawa benar Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Beriman dengan hari Kiamat adalah termasuk di dalam rukun-rukun Iman. Justeru, wajib ke atas kita untuk beriman dengannya. Akan tetapi, Allah SWT menyembunyikan saat atau waktu akan berlaku Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam firman-Nya:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Taha:15

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.”

 

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang sahih daripada Imam Muslim di dalam kitab sahihnya bahawa Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari ialah pada hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam, padanya juga dimasukkan Adam ke dalam syurga dan padanya juga dikeluarkannya (Adam AS) daripada syurga serta tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.” [Riwayat Muslim (854)]

 

Dalam memaham hadith ini, para ulama berbeza pendapat berkaitan perkara-perara yang disebutkan ini merupakan kelebihan hari Jumaat atau sebaliknya. Hal ini ada disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini ketika menukilkan pandangan daripada al-Qadhi ‘Iyad bahawa secara zahirnya kelebihan-kelebihan yang disebutkan ini bukanlah kelebihan sebenarnya kerana keluarnya Adam AS (dari syurga) dan berlaku Kiamat tidaklah dikira sebagai kelebihan. Bahkan, itu semua untuk menjelaskan akan berlakunya perkara-perkara yang besar agar manusia bersedia dengan amalan-amalan soleh untuk mendapatkan rahmat Allah dan terselamat daripada hukuman-Nya.

Tambahan pula, Abu Bakar bin al-I’zzi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini mengatakan bahawa kesemua yang disebutkan di dalam hadith ini adalah kelebihan. Datangnya hari Kiamat adalah untuk mempercepatkan balasan kepada para nabi, siddiqin, awliya’ dan selain daripada mereka serta mengzahirkan keistimewaan serta kemulian mereka. [Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/142]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menyatakan bahawa hari Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat adalah hadith yang sahih riwayat Imam Muslim. Di samping itu juga, kita perlu sentiasa bersedia untuk bertemu dengan hari Kiamat yang akan datang pada bila-bila masa sahaja dengan mempersiapkan sebanyak yang mungkin daripada amalan soleh. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di hari akhirat kelak serta memasukkan kita ke dalam syurga. Amin.

 

Wallahua’lam