Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-214: ANCAMAN PENAFSIRAN AL-QUR’AN TANPA ILMU

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan ancaman orang yang menafsirkan al-Qur’an tanpa ilmu?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW

 

Berkaitan soalan di atas, memang terdapat ancaman terhadap orang-orang yang menafsirkan al-Qur’an tanpa ilmu. Ini kerana, al-Qur’an merupakan kalam Allah SWT dan untuk memahami kalam Allah SWT ini memerlukan kepada ilmu agar apa yang difahami bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Di dalam al-Qur’an juga terdapat ayat-ayat yang jelas iaitu yang diboleh fahami tanpa perlu merujuk kepada sumber-sumber yang lain dan padanya juga terdapat ayat-ayat yang mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang sukar difahami dan memerlukan kepada sumber yang lain. Ini dinyatakan di dalam firman-Nya:

 

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ

Ali-Imran:7

 Maksudnya: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Qur’an. Sebahagian besar daripada al-Qur’an itu ialah ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya), ayat-ayat Muhkamaat itu adalah ibu (atau pokok) isi al-Qur’an. Dan yang lain lagi adalah ayat-ayat Mutasyabihat (yang samar-samar atau tidak terang maksudnya).”

 

Maka tidak dapat tidak, al-Qur’an perlu ditafsirkan dengan berpandukan kepada sumber-sumber yang lain seperti hadith Nabi SAW atau athar daripada kalangan para sahabat kerana mereka hidup pada zaman Nabi SAW dan juga semasa al-Qur’an itu diturunkan. Untuk itu, mereka lebih memahami makna-makna atau maksud setiap ayat yang turun itu.

 

Kembali kepada soalan di atas, di sana terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan ancaman atau akibat orang yang menafsirkan al-Qur’an tanpa ilmu.

 

  • Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata (menafsirkan) pada al-Qur’an tanpa ilmu maka siaplah tempatnya di neraka.” [Riwayat al-Tirmizi (2950) dan Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan][Riwayat Ahmad (2069) dan Syeikh al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini dhaif disebabkan dhaifnya perawi bernama Abd al-A’la al-Tha’labi, Adapun ia dihasankan oleh Imam al-Tirmizi dan juga disahihkan oleh Ibn al-Qatthan]

 

Walaubagaiamanapun, kami berpandangan walaupun hadith ini sanadnya dhaif tetapi ia boleh menjadi hasan kerana terdapat sokongan atau syahid daripada riwayat yang lain walaupun ianya juga dhaif.

  • Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَالَ فِي كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِرَأْيِهِ فَأَصَابَ، فَقَدْ أَخْطَأَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata (menafsirkan) pada kitab Allah ‘Azza Wa Jal (al-Qur’an) dengan menggunakan pendapatnya (tanpa ilmu) meskipun benar (pendapatnya itu) maka dia telah melakukan kesilapan.” [Riwayat Abu Daud (3625) dan Syeikh al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini dhaif disebabkan dhaifnya perawi bernama Suhail bin Mihran]

 

Makna Hadith

Hadith ini menceritakan berkaitan orang yang menafsirkan al-Qur’an atau mengatakan sesuatu pada makna al-Qur’an sedangkan dia bukanlah ahlinya akan terjerumus kepada kesalahan ketika menafsirkan ayat al-Qur’an dan perbuatan ini juga akan menyesatkan manusia daripada kebenaran. Hal ini kerana, berkemungkinan orang tersebut akan tersalah dalam membicarakan hal halal dan haram seperti menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal. Di samping itu juga, hal ini juga akan membawa kepada kekufuran dan pengakhirannya adalah di neraka Allah SWT disebabkan kejahilan.

 

Pada asalnya, sebaik-baik penafsiran al-Qur’an adalah ditafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an. Kemudian, ditafsirkan al-Qur’an dengan hadith. Seterusnya, ditafsirkan al-Qur’an dengan pendapat para sahabat. Jika tidak didapati pada pendapat para sahabat, maka dirujuk juga pendapat para tabi’in (generasi selepas daripada sahabat Nabi SAW). Dengan itu, sesiapa yang tidak mengikuti disiplin ini maka dia telah melakukan kesilapan walaupun apa yang diungkapkan benar.

 

Penutup

Kesimpulannya, sebelum seseorang itu ingin berkata atau menafsirkan sesuatu daripada makna atau lafaz al-Qur’an, ia perlulah didasari dengan ilmu pengetahuan bukannya sekadar mengemukan pendapat atau tafsiran sendiri tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang diperlukan untuk memahami al-Qur’an dengan tepat. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan memelihara lidah kita daripada mengungkapkan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam